ANNAPOLIS, Maryland, 2 Disember 2016 /PRNewswire/ -- TRACE International, organisasi penetapan standard antisogokan terkemuka dunia, telah mengumumkan penerbitan edisi baharu TRACE Matrix, indeks risiko sogokan perniagaan global. Dibuat secara kerjasama dengan RAND Corporation, TRACE Matrix ini pada awalnya diterbitkan pada tahun 2014 bagi memenuhi keperluan komuniti perniagaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih dipercayai dan terperinci tentang risiko sogokan dalam sektor awam di seluruh dunia.
Sejak tahun 1977, U.S. Foreign Corrupt Practices Act (FCPA) telah melarang syarikat daripada memberikan sogokan kepada kakitangan awam negara luar, secara langsung atau tidak langsung, dan negara lain telah mengikut langkah tersebut dengan perundangan yang serupa. Dengan hukuman keras bagi pelanggaran, tetapi sumber terhad untuk memastikan pematuhan, syarikat memerlukan akses kepada maklumat yang boleh digunakan tentang risiko sogokan yang mungkin dihadapi apabila mereka beroperasi dalam pasaran asing.
TRACE Matrix menyediakan syarikat sumber tersebut dengan mengkaji keadaan yang membolehkan rasuah sektor awam berkembang: (1) sifat dan takat interaksi kerajaan; (2) kewujudan dan penguatkuasaan undang-undang antisogokan; (3) tahap ketelusan kewangan yang diperlukan daripada kakitangan awam dan pekerja kerajaan; dan (4) keupayaan masyarakat sivil untuk memantau dan mendedahkan aktiviti rasuah.
Untuk setiap empat "domain" ini (dan subdomain yang berkaitan), TRACE Matrix menghimpunkan data relevan yang diperolehi daripada organisasi berkepentingan awam dan antarabangsa yang terkemuka, termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Bank Dunia dan Forum Ekonomi Dunia. Berdasarkan analisis statistik maklumat ini, setiap negara diberi bukan sahaja skor keseluruhan antara 1 dan 100—dengan 100 mewakili risiko paling besar—tetapi juga skor untuk setiap empat domain dan sembilan subdomain. Maklumat terperinci ini boleh membantu syarikat menilai risiko khusus yang ada dalam setiap negara dan membentuk program kepatuhan dan usaha wajar yang mensasarkan risiko tersebut.
"Dengan menyediakan butiran maklumat risiko sogokan perniagaan, TRACE Matrix telah membantu kami memperhalusi matriks risiko antisogokan dalaman kami untuk mengenal pasti jenis pasaran yang memerlukan kami menjalankan sendiri lawatan pemantauan antisogokan," jelas Gregory Bates, selaku Pengarah Etika & Pematuhan LATAM di Avon Products, Inc.
"Ketika pertama kali kami melancarkan TRACE Matrix, kami menyedari kepentingan komuniti perniagaan antarabangsa bagi mempunyai alat yang direka khusus untuk usaha pematuhan antisogokan mereka," ulas Alexandra Wrage, sebagai Presiden TRACE International. "Walaupun terdapat indeks lain yang berkaitan dengan rasuah, tiada satu pun yang menekankan keperluan penilaian risiko berkaitan sogokan tertentu untuk syarikat yang menjalankan perniagaan di luar negara. Semasa menerbitkan edisi 2016 Matrix, kami meneruskan komitmen kami untuk menyediakan maklumat yang paling terperinci dan boleh dipercayai bagi menyokong usaha pematuhan komuniti perniagaan."
Berbanding edisi 2014, TRACE Matrix 2016 menunjukkan penambahbaikan yang ketara untuk sesetengah negara dalam mengurangkan risiko sogokan sektor awam. Estonia mendahului; skor keseluruhannya jatuh daripada 33 kepada 17, menempatkannya dalam kalangan lima negara paling kurang risiko, bersama-sama dengan Sweden, New Zealand, Hong Kong dan Norway. Negara lain mengalami kekecewaan besar dalam persekitaran risiko sogokan mereka, terutamanya Syria, dengan skor keseluruhan meningkat daripada 73 kepada 88—satu daripada lapan buah negara paling berisiko sogokan di dunia, selepas Nigeria, Angola, Yemen, Guinea, Kemboja, Myanmar dan Sudan Selatan.
TRACE Matrix tersedia kepada orang ramai di https://www.traceinternational.org/trace-matrix.
Tonton video selama 90 saat tentang TRACE Matrix di sini.
Latar Belakang TRACE
TRACE International dan TRACE Incorporated adalah dua entiti berbeza dengan misi yang sama untuk mengembangkan ketelusan komersial seluruh dunia dengan menyokong usaha pematuhan syarikat multinasional dan perantara pihak ketiga mereka. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, lawati www.TRACEinternational.org.