omniture

Lancet Infectious Diseases Terbit Kajian Dwibuta Bebas Sahkan Keupayaan Ujian Darah Immunoxpert(TM) MeMed Bezakan dengan Tepat Jangkitan Bakteria dan Virus dalam Kanak-kanak

MeMed Ltd
2016-12-23 01:30 519

TIRAT CARMEL, Israel, 23 Disember 2016 /PRNewswire/ --

Penggunaan ImmunoXpert berpotensi tambah baik pengurusan pesakit dan kurangkan resistan ubat disebabkan penggunaan antibiotik berlebihan 

ImmunoXpert atasi ujian rutin dengan ketara 

MeMed Ltd. hari ini mengumumkan penerbitan keputusan oleh Lancet Infectious Diseases daripada OPPORTUNITY, satu kajian klinikal dwibuta luaran, berbilang pusat di peringkat antarabangsa dalam kalangan kanak-kanak yang dipimpin oleh barisan penyelidik daripada Pusat Perubatan Universiti, Utrecht. OPPORTUNITY menemui titik akhir utamanya, mengesahkan secara bebas ujian darah baharu daripada MeMed, ImmunoXpert dapat membezakan dengan tepat antara jangkitan bakteria dan virus dalam kalangan kanak-kanak. ImmunoXpert juga menunjukkan ia mampu mengatasi ujian-ujian rutin dengan ketara.

(Logo: http://mma.prnewswire.com/media/451805/MeMed_Ltd_Logo.jpg )

"Keputusan yang ditunjukkan melangkaui jangkaan kami," kata Professor Louis J. Bont, MD, PhD, Bahagian Imunologi Pediatrik dan Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti, Utrecht, Belanda dan Penyelidik Utama. "Kami mengesahkan secara bebas bahawa ujian ini adalah amat tepat untuk kanak-kanak, dengan diagnosis yang jauh lebih baik berbanding mana-mana ujian rutin yang kita gunakan pada hari ini. Ia berpotensi membantu kami dengan ketara dalam usaha mengurangkan penggunaan antibiotik yang berlebihan serta menangani masalah kekebalan bakteria. Berdasarkan pengetahuan kami, kajian ini merupakan kajian pengesahan prospektif pertama untuk cerakinan diagnostik yang membezakan antara jangkitan bakteria dan virus yang diuji secara dwibuta."

"MeMed mengambil risiko luar biasa dengan membenarkan pakar-pakar terkemuka menilai secara bebas ujian-ujian tersebut melalui ujian dwibuta. Kami berasa teruja kerana keputusan baharu ini menyokong penemuan daripada kajian CURIOSITY kami yang terdahulu," kata Eran Eden, PhD, Ketua Pegawai Eksekutif MeMed. "Ia merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha berterusan kami untuk mendapatkan bukti klinikal dengan kualiti tertinggi dalam menyokong ujian-ujian kami."

"Tidak seperti kebanyakan ujian diagnostik tradisional yang fokus untuk mengenal pasti virus atau bakteria punca penyakit, ImmunoXpert menumpu pada sistem imun yang bertujuan untuk mengenal pasti penanda yang menunjukkan sekiranya pesakit itu sedang melawan jangkitan daripada bakteria atau virus," kata Kfir Oved, MD, PhD, Ketua Pegawai Teknologi MeMed. "Pendekatan berasaskan sistem imun ini dapat mengatasi had sedia ada yang terdapat dalam kebanyakan alat diagnostik tradisional. Pendekatan ini tepat dan pantas, selain mampu mendiagnos jangkitan yang tidak mudah diakses, seperti pneumonia."

Kajian ini menilai 577 kanak-kanak berusia antara 2 – 60 bulan yang mengalami jangkitan pada saluran pernafasan bawah atau demam tanpa mengetahui puncanya. ImmunoXpert adalah amat tepat dalam membezakan antara jangkitan bakteria dan virus yang jelas dengan tahap kepekaan setinggi 88%, kespesifikan 93% dan nilai prediktif negatif sebanyak 98%. ImmunoXpert mampu mengatasi ujian-ujian rutin, mengurangkan jumlah kes yang mana jangkitan virus tersalah diagnos sebagai jangkitan bakteria, pada kadar melebihi 50%. Dapatan ini menunjukkan potensi penting ImmunoXpert dalam membantu mengurangkan preskripsi antibiotik yang tidak perlu.

Jangkitan bakteria dan virus seringkali tidak dapat dibezakan secara klinikal, dan ini membawa kepada penggunaan antibiotik secara berlebihan dan menyumbang terhadap penularan masalah resistan antibiotik, yang menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, semakin menuju ke arah krisis.[1] Apa yang mengejutkan ialah ketidakupayaan untuk membezakan jangkitan dengan pantas boleh membawa kepada tahap penggunaan antibiotik yang rendah, dianggarkan berlaku antara 20-40% daripada seluruh jangkitan bakteria, menjadikan pesakit berisiko mengalami komplikasi dan meningkatkan kos penjagaan kesihatan. [2] Ujian yang dapat membezakan dengan tepat dan pantas antara jangkitan bakteria atau virus berpotensi menambah baik pengurusan pesakit dengan memberi maklumat kepada pakar-pakar perubatan bagi membantu dan menyokong keputusan berkaitan penjagaan, selain mengurangkan masalah penggunaan antibiotik yang berlebihan atau yang tidak memadai.

MeMed terus berkolaborasi dengan pakar-pakar bidang klinikal menerusi siri kajian klinikal yang bersaiz besar dan berbilang pusat, mendaftarkan lebih 10,000 pesakit dan sedang membuat perancangan untuk menjalankan kajian-kajian klinikal di A.S. pada tahun 2017. Syarikat ini bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan antarabangsa daripada industri dan kerajaan bagi memudahkan ketersediaan ujian-ujian ini di peringkat global.

Latar Belakang MeMed
MeMed dikhususkan untuk menambah baik kehidupan pesakit melalui penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan ujian-ujian rintis yang memantau keadaan imun tubuh. Ujian-ujian yang dijalankan mentafsir respons berbeza daripada sistem imun mengikut keadaan kesihatan dan penyakit yang berbeza. Syarikat ini fokus dalam menyediakan penyelesaian diagnostik yang pantas, tepat dan boleh diambil tindakan bagi penyakit berjangkit akut dan gangguan radang di hospital dan juga komuniti. Ujian pertamanya, ImmunoXpert menunjukkan keupayaan pengesanan tepat sama ada pesakit mendapat jangkitan yang berpunca daripada bakteria atau virus, dengan tujuan untuk memperkasa pakar-pakar perubatan dalam membuat keputusan rawatan antibiotik termaklum yang lebih baik. ImmunoXpert sah digunakan untuk tujuan klinikal di Kesatuan Eropah, Switzerland dan Israel. Kini, ia dalam fasa pengagihan rintis di kawasan-kawasan ini dan pelancaran komersial yang lebih luas sedang diusahakan. Ujian generasi kedua daripada MeMed untuk pengujian di-tempat-jagaan yang pantas (dalam masa beberapa minit) juga sedang dibangunkan. Untuk mendapatkan maklumat tambahan, sila layari http://www.me-med.com.

1.  WHO | Taklimat Ketua Pengarah WHO kepada PBB berhubung resistan antimikrob di http://www.who.int/dg/speeches/2016/antimicrobial-resistance-un/en/

2. Craig, J.C. et al. BMJ 340, c1594 (2010).

Maklumat Perhubungan Media:
Betsy Stevenson
(M) +1-860-984-1424
stevenson.betsy@gmail.com


Maklumat Perhubungan Pembangunan Perniagaan:
Asi Cohen-Dotan, PhD
Telefon: +972-4-8500302
asi.cohen@me-med.com

Sumber: MeMed Ltd

Source: MeMed Ltd
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Clinical Trials/Medical Discoveries Survey, Polls & Research