Pemimpin yang sangat dihormati yang komited kepada keadilan sosial dan merupakan orang yang bertanggungjawab dalam memperoleh sokongan kedua-dua parti serta membina perkongsian awam-swasta untuk usaha-usaha inovatif bagi membantu masyarakat seluruh dunia negara membangun
NEW YORK, 6 Januari 2017 /PRNewswire/ -- Yayasan Rockefeller hari ini mengumumkan pemilihan Dr. Rajiv Shah, mantan Pentadbir Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) dan kini merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Rockefeller, sebagai presiden ketiga belas yayasan itu. Shah amat dikenali atas usaha meningkatkan pembangunan antarabangsa dalam dasar luar negara, membawakan hasil menerusi perkongsian antara sektor awam-swasta dan penghormatan yang beliau peroleh ketika bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan rakan sejawat dari Afghanistan ke Amerika Tengah dan dengan para pemimpin kedua-dua parti dalam Kongres Amerika Syarikat.
Sebagai ketua USAID, Dr. Shah memimpin respons terhadap beberapa krisis kemanusiaan terbesar masa kini, termasuk gempa bumi yang teruk di Haiti pada tahun 2010 dan wabak Ebola di Afrika Barat pada tahun 2014. Usaha dan tugas beliau untuk mengubah dan menggiatkan semula USAID membolehkan beliau meraih sanjungan dan sokongan daripada kedua-dua parti. Pada tahun 2014, Dr. Shah menyampaikan ucaptama untuk Sarapan Pagi Doa Kebangsaan bagi mengembangkan idea bahawa Amerika Syarikat mampu memimpin dunia untuk membanteras masalah kemiskinan tegar. Sebagai presiden baharu untuk Yayasan Rockefeller, Shah memanfaatkan pengalaman beliau yang luas dalam hal ehwal luar negeri, kesihatan global, pembangunan global dan tindak balas kemanusiaan. Pengalaman beliau selaku pelabur dalam sektor swasta, sebagai pengasas Latitude Capital, turut memberikan Dr. Shah suatu perspektif dan pengalaman yang diperlukan untuk memeterai kerjasama yang kukuh dan berpanjangan antara sektor swasta dan awam.
Selain tugas beliau di luar negara, Shah turut menubuhkan Institut Makanan dan Pertanian Kebangsaan dan bertindak sebagai Ketua Saintis di Jabatan Pertanian AS dan terdahulu pernah berkhidmat dalam lembaga Perpustakaan Awam Seattle dan Kolej Komuniti Seattle. Beliau menyandang jawatan presiden dengan memiliki pengetahuan tentang Yayasan Rockefeller dan operasinya, setelah berkhidmat dalam Lembaga Pemegang Amanah sejak Mac 2015.
Pada usia 43 tahun, Shah akan menjadi presiden termuda dan warga India-Amerika pertama menyandang jawatan presiden yayasan ini. Shah akan memulakan tugas beliau pada 1 Mac, menggantikan Dr. Judith Rodin yang menjawat jawatan presiden selama hampir dua belas tahun.
"Lembaga Pemegang Amanah begitu teruja dengan kedinamikan dan pengalaman yang dibawakan oleh Raj Shah kepada institusi amal yang hebat ini," kata Dick Parsons, Pengerusi Lembaga. "Raj merupakan pilihan sebulat suara oleh pihak Lembaga Pemegang Amanah setelah menjalankan proses pencarian yang amat kompetitif. Judith Rodin mengubah Yayasan Rockefeller dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju dunia bagi kerja-kerja amal yang inovatif. Kami tidak menemui pihak lain yang lebih baik berbanding Raj Shah bagi memimpin usaha inovatif untuk institusi ini menuju masa depan."
"Selama lebih seabad, Yayasan Rockefeller menjadi pelopor dalam usaha menyediakan penyelesaian bagi menangani cabaran paling mendesak di dunia," kata Dr. Rajiv Shah. "Saya berbesar hati dan terinspirasi dengan peluang untuk membina kejayaan atas hasil usaha dan impak berterusan yang berlangsung selama 103 tahun ini. Saya berharap dapat menyediakan pelan tindakan untuk Yayasan Rockefeller agar dapat bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menggalakkan kesejahteraan umat manusia, dan untuk menyahut cabaran masa kini serta masa depan di Amerika Syarikat dan juga di seluruh dunia."
"Saya berasa teruja untuk menyerahkan tanggungjawab ini kepada Raj Shah," kata Dr. Judith Rodin, presiden semasa Yayasan Rockefeller. "Saya berpeluang bekerjasama dengan Raj selama beberapa tahun: ketika beliau berkhidmat dengan Yayasan Bill & Melinda Gates, sebagai Pentadbir USAID serta pemegang amanah Yayasan Rockefeller. Daripada kesemua kolaborasi kami, saya berpeluang melihat kebijaksanaan beliau, semangat beliau untuk memberi impak yang besar dan komitmen beliau terhadap manusia sejagat. Saya yakin babak Yayasan Rockefeller yang seterusnya menjanjikan kejayaan dengan adanya Raj Shah ditampuk kepimpinan."
DR. RAJIV SHAH
Dr. Shah memanfaatkan pengalaman beliau selama lebih dua puluh tahun dalam bidang perniagaan, kerajaan dan aktiviti amal ke dalam peranan baharu beliau di Yayasan Rockefeller. Dilantik sebagai Pentadbir USAID oleh Presiden Obama pada tahun 2009, dan disahkan sebulat suara oleh Senat, Dr. Shah dipertanggungjawab untuk merevolusi operasi agensi yang bernilai $20 bilion demi memberi bantuan lebih baik terhadap cabaran pembangunan yang semakin mendesak di seluruh dunia. Dengan mengangkat kepentingan inovasi, meningkatkan perkongsian sektor awam-swasta, menggalakkan pemikiran semula amalan dalaman, dan mengubah cara wang dibelanjakan demi memberi hasil yang lebih utuh, Shah memperoleh sokongan daripada kedua-dua parti yang membolehkan USAID mempercepat usaha untuk membasmi kemiskinan tegar dengan ketara. Meskipun berhadapan jalan buntu partisan dalam banyak isu, dua keutamaan Presiden yang penting – Feed the Future dan Power Africa – diluluskan oleh Dewan dan Senat menerusi sokongan kedua-dua parti dan dimaktubkan sebagai undang-undang oleh Presiden Obama, dan Akta Keselamatan Makanan Global ialah undang-undang pembangunan global kedua terbesar selepas PEPFAR. Usaha Shah membuahkan hasil untuk negara-negara yang berhadapan dengan isu peralihan demokratik, situasi pasca konflik, dan krisis kemanusiaan, serta mendapat penghargaan meluas atas usaha menyediakan sumber yang dapat menyelamatkan nyawa, iaitu makanan, kesihatan dan air untuk berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia.
Pada tahun 2014, Shah menubuhkan Makmal Pembangunan Global Amerika Syarikat yang menghimpunkan rakan-rakan kerjasama sektor awam dan swasta bagi membangunkan penyelesaian inovatif untuk menangani pelbagai cabaran peringkat antarabangsa melibatkan air, kesihatan, keselamatan makanan, nutrisi, tenaga dan perubahan cuaca. Beliau juga bertanggungjawab terhadap pembaharuan dalaman yang komprehensif yang memberi impak terhadap seluruh bahagian agensi, mengembalikan tugas menyemak belanjawan dan dasar kepada USAID daripada Jabatan Negeri selain merekrut bakat terbaik daripada pelbagai bidang untuk agensi. Atas jemputan kumpulan pemimpin kongres kedua-dua parti, Dr. Shah menyampaikan ucaptama untuk Sarapan Pagi Doa Kebangsaan pada tahun 2014.
Apabila Dr. Shah berundur daripada USAID pada tahun 2015, beliau terus mengikut minat beliau untuk mewujudkan peluang-peluang kepada komuniti agar dapat berkembang maju di negara-negara sedang membangun dengan menubuhkan Latitude Capital, sebuah firma ekuiti persendirian yang menumpu pada projek-projek kuasa dan prasarana di Afrika dan Asia.
Dibesarkan di luar Detroit, Michigan, Dr. Shah merupakan siswazah lulusan University of Michigan di Ann Arbor, University of Pennsylvania School of Medicine, dan Wharton School of Business. Sebelum menyandang jawatan di USAID, Shah berkhidmat sebagai Ketua Saintis dan Setiausaha Rendah bahagian Penyelidikan, Pendidikan dan Ekonomi di Jabatan Pertanian Amerika Syarikat. Beliau juga pernah menjawat beberapa jawatan kepimpinan di Yayasan Bill & Melinda Gates, yang mana beliau membantu melancarkan Perikatan untuk Revolusi Hijau di Afrika (satu usaha sama Yayasan Gates dan Rockefeller) serta Kemudahan Pembiayaan Antarabangsa untuk Imunisasi (dipuji kerana berjaya mengumpul lebih $5 bilion untuk imunisasi kanak-kanak di seluruh dunia), dan beliau turut menyokong pewujudan Program Pembangunan Global. Kini, beliau merupakan Felow Kehormat Residen di Georgetown University dan tinggal bersama isteri beliau Shivam Mallick Shah, dan tiga orang anak mereka di Washington DC.
Latar Belakang Yayasan Rockefeller. Selama lebih 100 tahun, misi Yayasan Rockefeller adalah untuk menggalakkan kesejahteraan umat manusia di seluruh dunia. Hari ini, Yayasan Rockefeller meneruskan misi ini menerusi dua matlamatnya: memajukan ekonomi inklusif yang mengembangkan peluang-peluang demi kemakmuran yang dikongsi bersama dengan lebih meluas, selain memupuk ketahanan dengan membantu orang ramai, masyarakat dan institusi agar bersedia, bertahan dan menjadi lebih utuh rentetan daripada kejutan akut serta tekanan kronik. Bagi mencapai kedua-dua matlamat ini, Yayasan Rockefeller berusaha pada titik pertemuan dalam empat bidang utama—meningkatkan tahap kesihatan, menilai semula ekosistem, menjamin punca pendapatan dan mengubah bandar-bandar—untuk menangani akar umbi punca cabaran-cabaran yang baru muncul dan seterusnya mencetuskan perubahan sistemik. Menerusi gandingan bersama rakan-rakan kerjasama dan penerima geran, Yayasan Rockefeller berusaha memangkin dan memperluas inovasi yang bersifat transformatif, menjalin kerjasama yang tidak disangka-sangka merentasi sektor-sektor, serta mengambil risiko yang tidak dapat atau tidak akan diambil oleh pihak lain. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari www.rockefellerfoundation.org .