SHANGHAI, 17 Februari 2017 /PRNewswire/ -- Antai College of Economics and Management di Shanghai Jiao Tong University, meraih tempat ke-34 dalam Penarafan MBA Global 2017 oleh organisasi berita perniagaan utama Financial Times (FT) berhubung 100 program global terbaik yang dilancarkan pada 30 Januari, mendaki lima anak tangga berbanding pada tahun lalu dan mengesahkan semula kedudukannya sebagai salah sebuah sekolah perniagaan terkemuka di China.
Antai kini merupakan satu-satunya sekolah perniagaan Cina yang telah melayakkannya untuk berada dalam keempat-empat penarafan utama FT bagi 40 program terbaik seluruh dunia: tempat ke-34 dalam Penarafan MBA Global 2017, tempat ke-7 dalam Penarafan MBA Eksekutif Global FT 2016, tempat ke-9 dalam Penarafan Pendidikan Tersuai Eksekutif Global FT 2016 dan tempat ke-33 dalam Penarafan Sarjana Pengurusan Global FT 2016.
Program MBA Antai kekal komited untuk membantu para pelajar membangunkan dan melaksanakan laluan kerjaya mereka, yang hasilnya dapat dilihat menerusi penunjuk pembangunan kerjaya siswazah teras bagi penarafan FT. Kadar pengambilan pekerja dalam tempoh tiga bulan, kenaikan gaji, khidmat kerjaya, perkembangan kerjaya, nilai untuk wang dan gaji berwajaran di Antai masing-masing meraih tempat pertama, kedua, ke-17, ke-23, ke-31 dan ke-52.
Purata gaji alumni MBA tiga tahun setelah tamat pengajian di Antai ialah USD 123,330, meningkat 11 peratus berbanding pada tahun 2016 dan 32 peratus berbanding pada tahun 2015, menunjukkan alumni MBA Antai semakin diiktiraf oleh syarikat-syarikat meskipun berlaku kelembapan ekonomi global.
Selain latar belakang akademik yang hebat, para pensyarah program MBA Antai bertindak sebagai eksekutif kanan atau pengarah bebas, atau memimpin projek-projek kolaboratif dengan syarikat-syarikat tempatan. Di sebalik prospek antarabangsa, mereka turut terlibat secara aktif dalam memahami perniagaan pada peringkat tempatan. Penarafan FT mengesahkan peningkatan stabil Antai dalam penunjuk akademik mereka, dengan 92 peratus pensyarah memegang ijazah kedoktoran, dan bilangan siswazah PhD menduduki tempat kedua bagi penarafan ini.
Antai sentiasa komited terhadap globalisasi selama bertahun-tahun, dibuktikan menerusi peratusan peningkatan pelajar antarabangsa dalam program-programnya. Bagi penarafan ini, pengalaman kursus antarabangsa meraih tempat ke-27 di peringkat global. Program MBA Antai, hasil gabungan antara lawatan sambil belajar ke luar negara, pertukaran pelajar antarabangsa dan kursus dwi-ijazah, terus diperhebat menerusi sumber-sumber pendidikan antarabangsa yang amat banyak. Hampir 80 peratus daripada pelajarnya berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Sebagai sekolah perniagaan pertama di Tanah Besar China yang mendapat tiga akreditasi sekolah perniagaan paling berpengaruh -- AACSB, AMBA dan EQUIS – Antai telah memperlihatkan kepimpinannya dari segi penarafan berwibawa dunia, pengajian perniagaan dan pengurusan Shanghai Jiao Tong University meraih kedudukan ke-43 dalam penarafan universiti mengikut subjek QS World 2016, dengan empat daripada subjek berkaitan pengurusan tersenarai antara 100 yang terbaik di dunia.