omniture

Perbaiki kehidupan hampir 2 juta pekerja, H&M group bakal galakkan pembekal bayar pekerja secara digital

Better Than Cash Alliance
2017-03-08 23:29 634

H&M group jadi jenama fesyen global pertama sertai Better Than Cash Alliance Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

NEW YORK, 8 Mac 2017 /PRNewswire/ -- Syarikat fesyen Sweden H&M group hari ini mengumumkan ia akan menggalakkan pembekalnya membayar pekerja melalui wang mudah alih atau bentuk digital lain bagi meningkatkan punca pendapatan tenaga kerjanya, menambah baik ketelusan dan mengurangkan kos kilang.

Better Than Cash Alliance  www.betterthancash.org
Better Than Cash Alliance www.betterthancash.org

Usaha ini dibuat sewaktu syarikat dengan rasminya menyertai Better Than Cash Alliance, perkongsian berasaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang terdiri daripada badan kerajaan, syarikat dan organisasi antarabangsa yang mempercepatkan usaha peralihan daripada pembayaran tunai kepada digital.

"Pembayaran digital merupakan kaedah yang cekap dan boleh diperluas bagi memperbaiki kehidupan kakitangan pembekal kami. Mereka menawarkan kaedah yang lebih pantas, lebih selamat dan lebih telus untuk menerima gaji mereka, meningkatkan rangkuman kewangan dan menyokong kebebasan ekonomi wanita," kata Gustav Loven, Pengurus Kemampanan Sosial di H&M group. "Selain itu, untuk pembekal kami, pembayaran gaji secara digital dapat menambah simpanan, meningkatkan keselamatan dan menyediakan data lebih tepat tentang gaji."

Enam puluh lima peratus daripada 1.6 juta individu yang diambil bekerja dalam rantaian bekalan H&M group ialah wanita, yang kebanyakan mereka mempunyai akses terhad terhadap perkhidmatan kewangan yang mereka perlukan untuk memulakan kehidupan yang lebih baik buat diri dan keluarga mereka. Banyak pekerja kilang di seluruh dunia dibayar penuh secara tunai, yang membabitkan proses yang sukar, mahal dan berbahaya untuk kilang dan pekerja. Galakan kepada pembekal untuk membayar gaji melalui saluran digital, seperti akaun bank, kad atau wang mudah alih, akan meneruskan komitmen kemampanan H&M group untuk bekerjasama dengan rakan niaganya demi menggalakkan suasana bekerja yang baik, gaji yang adil untuk meneruskan kehidupan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Memandangkan kebanyakan manfaat akan direalisasikan oleh pekerja wanita, usaha ini adalah contoh utama yang dilakukan sebuah syarikat yang berusaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari terhadap Kesaksamaan Jantina (SDG 5) dan Kerja yang Memuaskan dan Pertumbuhan Ekonomi (SDG 8).

 "H&M group mengambil langkah berani bagi mengakui sejauh mana rantaian bekalan secara tunai mengehadkan usaha untuk memperkasa pekerja dan mengelakkan syarikat daripada meningkatkan ketelusan. Selain itu, ia tidak cekap," kata Dr. Ruth Goodwin-Groen, Pengarah Urusan Better Than Cash Alliance. "Kepimpinan H&M group akan membantu menginspirasikan syarikat-syarikat lain dalam industri, dan selanjutnya, untuk beralih kepada pembayaran digital dan menyumbang kepada pertumbuhan inklusif, selain Matlamat Pembangunan Lestari, dalam pasaran-pasaran baru muncul."

Selain itu, H&M group ialah salah satu pengguna utama kapas organik dan Better Cotton di dunia, dan ia berpegang teguh kepada piawaian dan tindakan mampan terhadap sosial dan alam sekitar. Usaha meluaskan pembayaran digital kepada rantaian bekalan kapas dunia berpotensi mencapai 250 juta orang, termasuk petani pekebun kecil yang kini mempunyai akses terhad kepada sistem pembayaran digital dan perkhidmatan kewangan secara amnya. Pendigitan pembayaran, apabila diwujudkan secara bertanggungjawab dan responsif terhadap keperluan pengguna, membolehkan H&M group memperluas kumpulan pembekalnya dan membantu mewujudkan sektor pertanian yang mampan dan produktif, suatu galakan yang menjadi asas kepada Agenda Pembangunan Lestari.

Better Than Cash Alliance telah menerbitkan kajian baharu yang memeriksa beberapa kilang pembuatan pakaian di Bangladesh yang telah membuat peralihan pembayaran gaji pekerja daripada tunai kepada digital sejak lima tahun lalu. Daripada perspektif kilang, analisis menunjukkan usaha peralihan kepada pembayaran digital boleh memberi penjimatan kepada kilang kira-kira 750 jam pengeluaran sebulan, memandangkan pekerja tidak perlu menghabiskan masa yang lama di luar barisan pengeluaran dan mengurangkan kos sebanyak lebih 85 peratus dalam masa dua tahun membayar pekerja melalui model wang mudah alih hibrid/akaun bank. Dalam masa yang sama, usaha ke arah ekonomi digital turut menyokong rangkuman kewangan dengan mengambil pekerja yang sebelum ini tidak mempunyai akaun bank ke dalam sistem kewangan formal dan mengasah kemahiran kewangan.

H&M group turut serta bersama 55 ahli Better Than Cash Alliance yang lain dan akan mendapat akses terhadap ilmu pengetahuan dan kepakaran teknikal yang ditawarkan oleh Pakatan dan ahli-ahlinya bagi mempercepatkan usaha peralihan kepada pembayaran digital, membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan memperluas rangkuman kewangan.

Latar Belakang Better Than Cash Alliance
Better Than Cash Alliance ialah satu kerjasama antara kerajaan, syarikat dan organisasi antarabangsa yang mempercepatkan usaha peralihan daripada pembayaran tunai kepada digital bagi membasmi kemiskinan dan mendorong pertumbuhan yang inklusif. Kumpulan Wang Pembangunan Modal Bangsa-Bangsa Bersatu berperanan sebagai sekretariat. Untuk mengetahui lebih lanjut, layari www.betterthancash.org, ikuti @BetterThan_Cash dan langgan bagi mendapatkan berita.

Logo - http://photos.prnewswire.com/prnh/20120919/CG77018LOGO

Source: Better Than Cash Alliance
Keywords: Banking/Financial Service Computer/Electronics Fashion Retail Licensing/marketing agreements New products/services Not for profit