SHANGHAI, 14 Mac 2017 /PR Newswire/ -- Ekspo Perkakasan & Barangan Elektronik Dunia (AWE) 2017, sebuah acara utama yang meramalkan industri perkakasan rumah dan barangan elektronik pengguna Cina, secara rasminya membuka tirai pada hari Khamis, 9 Mac 2017 di Pusat Ekspo Antarabangsa Baharu Shanghai, menampilkan lebih 700 jenama perkakasan rumah dan barangan elektronik pengguna merangkumi lapan dewan pameran utama dengan jumlah kawasan seluas 1.18 juta kaki persegi. Lebih 220,000 golongan profesional dianggarkan menghadiri ekspo yang melabuhkan tirai pada 11 Mac 2017.
Ekspo tahun ini memberi tumpuan terhadap kediaman pintar dan kehidupan pintar, bersama jenama-jenama utama seperti Midea, Hisense, Haier dan GE Appliances yang mempamerkan produk-produk terkini mereka bermula daripada perkakasan rumah tradisional dan barangan elektronik pengguna kepada barangan bilik mandi dan dapur. Jenama-jenama utama dalam industri ini mengukuhkan kedudukan mereka dengan mengambil langkah penyepaduan antara perkakasan rumah dan teknologi ke peringkat lebih tinggi.
Tinjauan semasa tentang industri perkakasan rumah pintar
En. Zhu Jun, setiausaha agung Persatuan Peralatan Elektronik Rumah China (CHEAA), membuka tirai AWE 2017 dengan memberi liputan keadaan semasa industri perkakasan rumah pintar.
Zhu berkata, "Prestasi keseluruhan pasaran perkakasan rumah pada tahun 2016 adalah kurang memberangsangkan disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pemulihan ekonomi global yang lemah, turun naik kadar pertukaran dan penggunaan overdraf. Namun begitu, inovasi yang prolifik dan pelarasan struktur produk yang aktif bagi perusahaan perkakasan isi rumah memacu trend yang jelas dalam menaik taraf penggunaan perkakasan kediaman."
Matlamat perkakasan pintar adalah untuk memperkaya kehidupan individu
AWE 2017 adalah bukti bahawa perkakasan pintar masa depan akan memberi penekanan tambahan terhadap kepintaran buatan dan data besar untuk memahami keperluan pengguna dan membolehkan kehidupan harian dalam rumah pintar masa depan yang lebih mudah dengan mengurus aktiviti harian seseorang secara automatik. Para pempamer akan memberi tumpuan untuk mendemonstrasi pelbagai perkakasan rumah pintar termasuk penyaman udara, televisyen dan barangan bilik mandi dan dapur. Matlamatnya adalah untuk akhirnya menyepadukan perkakasan rumah dan barangan elektronik pengguna dengan lancar demi gaya hidup yang lebih cekap.
Hisense melancarkan TV pintar definisi tinggi ultra 4K Tianji, subkawasan dinamik 560 terbenam demi merealisasikan kawalan lampu belakang yang canggih dengan pemalapan halus tahap 4096 bagi memperoleh pengalaman visual imersif 75 inci yang belum pernah terjadi sebelum ini. "Menggunakan alat kawalan jauh, pengguna juga dapat melaraskan cahaya bilik, suhu, mengikut senario kehidupan yang pelbagai menerusi arahan suara," kata Jianyong Hu, Pengurus Besar Hisense.
Pada sesi demonstrasi dapur pintar baharu Midea, En. Zachary Hu, naib presiden syarikat, menekankan, "Melangkah seiring dengan dapur pintar kami adalah peralatan kesihatan pengguna yang fokus terhadap beberapa segmen utama termasuk obesiti, diabetes dan kardiologi. Pengguna yang berhasrat untuk menurunkan berat badan mereka, contohnya, boleh memasukkan data ke dalam alat pengesan kesihatan yang kemudiannya akan menyegerakkan dengan dapur pintar. Seterusnya, dapur pintar akan menawarkan cadangan makanan yang disuai khusus mengikut data tersebut bagi membantu pengguna mencapai matlamat penurunan berat mereka."
Ketua Pegawai Teknologi dan naib presiden Haier Group, En. Zhao Feng, berkata konsep bersifat menyeluruh pada barisan U-home Haier baharu mereka di AWE 2017 ialah 'Selamat Berhibur'. Haier bermatlamat untuk meningkat maju melangkaui kaedah kawalan jauh semasa melalui pengecaman suara dan telefon bimbit serta berkhidmat secara proaktif kepada pengguna kami. Ia dijalankan dengan menggunakan data besar dan teknologi kepintaran buatan terkini bagi membolehkan produk kami melihat, mendengar dan memahami keperluan pengguna," jelas beliau. "Sebagai contoh, peti sejuk baharu kami bukan sahaja mampu mengesan segala yang anda masukkan ke dalamnya, tetapi juga memantau tarikh luput makanan anda dan mengetahui jenama makanan yang anda gemar hasil bantuan pembaca RFID dan pembaca kawalan pintar."
Menggalakkan inovasi dengan Taman Teknologi AWE pertama seumpamanya
Taman Teknologi membolehkan pengunjung mendapatkan gambaran hidup yang pintar pada masa depan melalui paparan format gaya hidup baharu seperti perjalanan pintar, hiburan pintar, kehidupan pintar, sukan dan kesihatan, berserta pertarungan robot secara langsung dan juga pengalaman permainan AR/VR.
Salah satu pempamer, RoboMasters ialah pertandingan robotik global tahunan yang berusaha melahirkan penginovasi daripada kalangan pelajar kejuruteraan di seluruh dunia. Dihasilkan dan dibangunkan oleh DJI, pengeluar dron terbesar dunia yang dikenali dengan siri dron ikoniknya, Phantom, RoboMasters menyepadukan teknologi canggih, pengautomatan komputer dan mekanik dengan melagakan pasukan robot yang direka cipta oleh jurutera muda terhadap satu sama lain.
Freda Lu, pakar pemasaran DJI berkata, "Pertandingan ini ialah satu pengalaman sekali seumur hidup untuk para pelajar kejuruteraan memandangkan ia bukan sahaja memanfaatkan segala yang telah mereka pelajari di sekolah, bahkan turut menguji semangat kerja berpasukan dan kecerdasan mental mereka."
Menurut Biro Statistik Kebangsaan China, jumlah perolehan bagi perkakasan isi rumah pada tahun 2016 ialah RMB 1.46 trilion, meningkat 3.78 peratus berbanding pada tahun 2015, manakala jumlah keuntungan mencecah RMB 119.69 bilion, melonjak 20.37 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Zhu Jun di CHEAA berkata, "Meskipun kurang memberangsangkan pada tahun 2016, kecekapan operasi industri perkakasan rumah pintar masih meningkat dan begitu banyak kerja keras telah dilaburkan dalam mengukuhkan kecanggihan produk demi menjamin gaya hidup yang lebih mudah untuk pengguna. AWE bertindak sebagai platform penting yang menghimpunkan pihak pengedar serantau dengan perusahaan pengeluaran perkakasan antarabangsa, membantu mereka mencari peluang-peluang perniagaan yang lebih banyak dan kekal mengikut perkembangan industri terkini."
Latar Belakang AWE
Dianjurkan oleh Persatuan Peralatan Elektrik Rumah China, Ekspo Perkakasan & Barangan Elektronik Dunia (AWE) melakar sejarah selama lebih 20 tahun. AWE, berserta CES dan IFA, dikenali sebagai tiga pameran utama dalam industri perkakasan dan barangan elektronik global.