omniture

JA Solar Bekalkan 100% Modul untuk Loji Tenaga Solar Berskala Utiliti Pertama di Malaysia

JA Solar Holdings Co., Ltd.
2017-07-13 19:07 726

BEIJING, 13 Julai 2017 /PRNewswire/ -- JA Solar Holdings Co., Ltd. (JASO) ("JA Solar"), salah satu pengeluar produk tenaga solar terbesar di dunia, hari ini mengumumkan ia memenangi kontrak untuk membekalkan modul 50 MW (AC) untuk projek tenaga solar berskala utiliti pertama negara di Malaysia.

Bertempat di Sabah, projek sulung berskala utiliti 50MW ini menandakan satu pencapaian penting dalam pembangunan tenaga solar di Malaysia, yang meraih banyak perhatian daripada Kementerian Tenaga, Suruhanjaya Tenaga, Sabah Electricity dan pegawai-pegawai kanan kerajaan. YB Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Malaysia) melawat tapak projek pada 26 Jun 2017. Beliau begitu memuji kualiti modul solar dan juga proses pembinaan, menyatakan harapan beliau agar loji tenaga solar ini dapat beroperasi tidak lama lagi dan menyumbang kepada industri tenaga hijau di Malaysia.

SPIC Energy Malaysia Sdn. Bhd., subsidiari State Power Investment Corporation ("SPIC"), menyediakan perkhidmatan EPC untuk projek ini. SPIC ialah pelabur dan pengendali kuasa solar terbesar di China, serta di seluruh dunia. JA Solar menyediakan modul mono Percium berprestasi tinggi 50 MW (AC) dengan kadar degradasi aruhan cahaya lebih rendah, prestasi anti-PID yang lebih baik dan output kuasa lebih tinggi, yang mampu beroperasi dalam persekitaran yang panas dan lembap. Menerusi kesemua modul disediakan oleh JA Solar, projek ini kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2017. Selain itu, projek solar ini dijangka dapat mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan dan menangani masalah kekurangan bekalan kuasa di Sabah.

En. Cao Bo, Naib Presiden JA Solar mengulas, "Kami berasa teruja dapat bekerjasama dengan salah satu pelanggan terbesar kami, SPIC, sekali lagi dalam pasaran luar negara. Kami percaya kemenangan kontrak ini dapat menonjolkan cadangan nilai dan inovasi teknikal kami menerusi modul tenaga solar berprestasi tinggi. Kami telah melabur sebanyak USD163 juta untuk operasi pengeluaran kami di Pulau Pinang, Malaysia untuk mengeluarkan sel-sel poli dan mono dengan kapasiti tahunan sebanyak 1000MW. Dari sudut pandangan hubungan China-Malaysia, pelaburan dalam kemudahan pengeluaran dan perkongsian kepakaran teknikal kami di Malaysia, iaitu sebuah pasaran yang pesat berkembang, kekal sebagai keutamaan tertinggi kami. Di samping itu, kami berharap dapat berkhidmat untuk rakan kongsi global dan para pelanggan kami dengan menyediakan produk serta perkhidmatan tenaga solar berkualiti tertinggi."

Source: JA Solar Holdings Co., Ltd.
Keywords: Alternative Energies Computer/Electronics Electronic Components Environmental Products & Services Green Technology Oil/Energy Utilities Contracts