![]() |
REDMOND, Washington, 19 Julai 2017 /PRNewswire/ -- Microsoft Corp. dan Baidu Inc. (NASDAQ: BIDU) hari ini mengumumkan rancangan untuk menjalin kerjasama bagi membawakan kemajuan teknikal dan penerimaan pemanduan berautonomi ke seluruh dunia. Sebagai ahli Apollo alliance, Microsoft akan menyediakan skala global untuk Apollo di luar China menerusi awan Microsoft Azure.
"Kami berasa teruja dapat bekerjasama dengan Baidu bagi mengambil langkah besar dalam usaha membantu pengeluar dan pembekal automotif merealisasikan sepenuhnya janji pemanduan berautonomi," kata Kevin Dallas, naib presiden korporat, Microsoft. "Kenderaan masa kini telahpun mencapai tahap kecanggihan mengagumkan dari segi kebolehannya menyimpan data. Dengan mengaplikasikan AI awan global kami, pembelajaran mesin dan keupayaan rangkaian neural mendalam terhadap data tersebut, kami dapat menggiatkan usaha yang telahpun dijalankan bagi menjadikan kenderaan berautonomi lebih selamat."
Menurut McKinsey, sehingga 15 peratus daripada kereta baharu yang dijual menjelang tahun 2030 akan bercirikan autonomi sepenuhnya1 yang mendorong keperluan terhadap ekosistem rakan kongsi untuk berkolaborasi demi menyokong matlamat yang sama. Seperti yang diumumkan oleh Baidu pada April tahun ini, Apollo ialah satu platform terbuka yang menyediakan penyelesaian komprehensif, selamat dan andal yang menyokong kesemua ciri dan fungsi pada kenderaan berautonomi. Projek ini, yang dinamakan sempena program pendaratan bulan bersejarah bagi menggambarkan skala dan kerumitannya, mengandungi perkhidmatan awan, tindanan perisian terbuka dan platform perkakasan dan kenderaan rujukan. Lebih 50 rakan kongsi daripada pelbagai sektor menyertai Apollo alliance, termasuk penyedia perkhidmatan navigasi dan pemetaan global, TomTom, pembekal tahap satu Bosch and Continental, serta platform panggilan-tumpang terkemuka Asia Tenggara, Grab.
"Kami berasa teruja dapat menarik Microsoft menjadi sebahagian daripada Apollo alliance. Matlamat kami dengan Apollo adalah untuk menyediakan platform terbuka dan hebat untuk industri automotif demi meneruskan matlamat kenderaan berautonomi," kata Ya-Qin Zhang, presiden Baidu. "Dengan menggunakan Azure, rakan-rakan kongsi kami di luar China akan mendapat akses kepada kemudahan awan awam yang dipercayai serta selamat, membolehkan mereka untuk memberi tumpuan terhadap usaha menginovasi dan bukannya membina infrastruktur berasaskan awan mereka sendiri."
Microsoft telahpun bekerjasama dengan para peneraju dalam industri automotif bagi membantu pengeluar menggunakan jumlah sensor dan penggunaan data yang besar daripada kenderaan terhubung, serta mengaplikasikan data tersebut bagi memberikan kecerdasan yang boleh diambil tindakan. Syarikat-syarikat seperti BMW, Ford, Renault-Nissan, Toyota dan Volvo kesemuanya menggunakan atau telah mengumumkan rancangan untuk mengguna pakai teknologi awan pintar Microsoft bagi membantu perkhidmatan seperti bantuan pemandu, penyelenggaraan prediktif dan media kawalan suara.
Sebagai sebahagian daripada perkongsian, Baidu dan Microsoft merancang untuk meninjau peluang-peluang bagi memberikan penyelesaian kenderaan terhubung dan pengalaman pelanggan unik yang bertujuan untuk mengubah industri pemanduan berautonomi secara digital.
Latar Belakang Baidu
Baidu, Inc. ialah penyedia carian Internet berbahasa Cina terkemuka. Baidu bermatlamat untuk menjadikan dunia yang rumit lebih mudah untuk para pengguna dan syarikat-syarikat perusahaan melalui teknologi. Dagangan ADS Baidu melalui NASDAQ Global Select Market adalah menerusi simbol "BIDU". Kini, sepuluh ADS mewakili satu saham biasa Kelas A.
Latar Belakang Microsoft
Microsoft (Nasdaq "MSFT" @microsoft) ialah platform utama dan syarikat yang menumpukan nilai produktiviti untuk dunia yang mengutamakan mudah alih serta awan, dan matlamatnya adalah untuk membantu memperkasa setiap individu dan organisasi di seluruh dunia bagi mencipta lebih banyak kejayaan.
Logo - https://mma.prnewswire.com/media/24227/microsoft_corp_logo226_9217jpg.jpg