omniture

HOYA Corporation Selesaikan Pengambilalihan Performance Optics, LLC

HOYA Vision Care
2017-08-02 14:51 611

TOKYO, 2 Ogos 2017 /PRNewswire/ --

HOYA Vision Care ialah kongsi global yang kukuh untuk Industri Penjagaan Mata dan Pelanggannya

HOYA Corporation (HOYA) hari ini mengumumkan penyelesaian pengambilalihan Performance Optics, LLC (Performance Optics), termasuk subsidiarinya VISION EASE dan Daemyung Optical. Performance Optics ialah pengeluar kanta oftalmik global yang pakar dalam kanta cermin mata polikarbonat, fotokroma, berpolar dan berindeks tinggi. Pengambilalihan ini melengkapi portfolio HOYA Life Care, memperluas lagi capaian lokasi dan tawaran produk HOYA bagi divisyen HOYA Vision Care.

"Dalam apa jua yang kami laksanakan, kami fokus terhadap keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh Golongan Profesional Penjagaan Mata dan Industri. Kami merupakan rakan kongsi sejati, membantu membezakan mereka dalam persaingan dengan membawakan nilai untuk perniagaan mereka, dan bukannya bertindak sebagai pesaing mereka," kata Girts Cimermans, Ketua Pegawai Eksekutif HOYA Vision Care. "Performance Optics menyediakan HOYA dengan keupayaan tambahan dan tawaran untuk teknologi kanta polikarbonat, fotokroma dan berpolar, serta memperluas kehadiran kami dalam segmen penyalut kanta berindeks tinggi. Ia memperkukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju teknologi global dan menawarkan sokongan jualan dan pemasaran kepada lebih ramai Golongan Profesional Penjagaan Mata dan Industri mengikut kehendak dan keperluan mereka."

Performance Optics ialah sebuah syarikat pengeluaran kanta cermin mata bertaraf global, menggaji lebih 2,000 kakitangan di seluruh dunia. Memiliki kemudahan pengeluaran di Amerika Syarikat, Korea Selatan, China, Thailand dan Indonesia, Performance Optics berusaha memenuhi keperluan pelanggan cermin mata peringkat global. "Subsidiari Performance Optics, VISION EASE dan Daemyung Optical mempunyai keupayaan dan budaya inovasi, kualiti dan perkhidmatan yang sangat melengkapi pengaruh HOYA dan reputasinya yang telah lama bertapak dalam industri cermin mata," kata John Weber, Ketua Pegawai Eksekutif Performance Optics. "Dengan penggabungan tenaga ini, kami dapat memenuhi keperluan pelanggan global dengan cara yang lebih baik merentasi lokasi geografi."

"Penyelesaian pengambilalihan Performance Optics merupakan satu lagi pencapaian penting untuk segmen Life Care kami," kata Augustine Yee, Ketua Pegawai Undang-undang dan Ketua Pembangunan dan Hal Ehwal Korporat Global di HOYA Corporation. "Performance Optics kini menyertai HOYA Vision Care dalam usaha mereka mempromosikan dan menyokong Golongan Profesional Penjagaan Mata dan Industri dengan produk, perkhidmatan dan sokongan berkualiti tinggi. Kami juga berharap dapat meningkatkan keupayaan penyelidikan & pembangunan global kami menerusi penubuhan pusat kecemerlangan teknologi baharu di luar Thailand dan Jepun."

Latar Belakang HOYA

Ditubuhkan pada tahun 1941 di Tokyo, Jepun, Hoya ialah sebuah syarikat teknologi dan teknologi perubatan bertaraf global serta pembekal utama bagi produk berteknologi tinggi dan perubatan yang inovatif. HOYA bergiat aktif dalam bidang penjagaan kesihatan dan teknologi maklumat, menyediakan cermin mata, endoskop perubatan, kanta intraokular, kanta optik serta komponen-komponen utama untuk peranti semikonduktor, panel LCD dan juga HDD. Menerusi lebih 150 pejabat dan subsidiari di seluruh dunia, Hoya kini menggaji tenaga kerja multinasional seramai lebih 36,000 kakitangan. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.hoya.com.

Latar Belakang HOYA Vision Care 

Selama lebih 60 tahun, HOYA Vision Care menjadi peneraju global bagi perniagaan kanta cermin mata. Berada di lebih 50 negara, Hoya Vision Care memiliki kepakaran terbukti dalam reka bentuk kanta dan teknologi permukaan bentuk bebas digabungkan dengan kedudukan utama bagi penyalut AR berprestasi tinggi dan berkualiti. Portfolio pasaran HOYA Vision Care yang mantap merangkumi kanta optik SEIKO dan PENTAX, dan juga produk-produk inovatif seperti Yuniku, kaca mata pertama dunia yang berpusatkan penglihatan dan disesuaikan dengan 3D. Syarikat menggaji lebih 16,000 kakitangan di seluruh dunia dengan kemudahan pengeluaran besar-besaran terletak di Asia & Eropah serta lebih 40 makmal Rx tempatan di seluruh dunia.

Latar Belakang Performance Optics, LLC 

Performance Optics, LLC ialah sebuah syarikat portfolio Wind Point Partners yang memberi tumpuan terhadap pelaburan syarikat optik. Ia merangkumi pengeluar kanta oftalmik VISION EASE dan Daemyung Optical Co. Ltd., dan kemudahan pengeluaran di Amerika Syarikat, Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan China.

VISION EASE ialah pemasar dan pengeluar kanta oftalmik global yang menawarkan kanta yang kini menjadi piawaian industri - termasuk kanta polikarbonat, fotokroma dan berpolar.

Daemyung Optical Co., Ltd. ialah pengeluar kanta optik kedua terbesar di Korea dan pakar bagi kanta plastik berindeks tinggi.

Maklumat tambahan disediakan di http://www.visionease.com dan m.dmo.co.kr

Para pelabur dan pemegang sekuriti boleh mendapatkan maklumat tambahan dan dokumen-dokumen lain berkaitan pengambilalihan, yang difailkan oleh Syarikat dengan Bursa Saham Tokyo, secara percuma di http://www.hoya.com.

Source: HOYA Vision Care
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical Equipment Acquisitions, mergers, takeovers