omniture

AACSB Namakan Ketua Pegawai Akreditasi Baharu

AACSB International
2017-08-08 09:00 735

Dekan Kolej Perniagaan Missouri State University Stephanie Bryant Pegang Jawatan Januari 2018

TAMPA, Florida, 8 Ogos 2017 /PRNewswire/ -- AACSB International (AACSB) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Stephanie M. Bryant, Ph.D. sebagai Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Akreditasi mulai 2 Januari 2018. Kini, Bryant merupakan dekan Kolej Perniagaan di Missouri State University, yang menerima khidmat beliau selama enam tahun. Beliau akan menggantikan Robert D. Reid yang bersara pada Disember 2017 setelah lebih 30 tahun memperjuangkan pendidikan perniagaan, yang mana sejak lima tahun lalu, beliau telah berkhidmat sebagai naib presiden eksekutif dan ketua pegawai akreditasi AACSB.


"Stephanie memiliki kerjaya yang cemerlang dalam bidang pendidikan—selaku profesor dan penyelidik—selain meraih anugerah-anugerah pendidikan dan turut diiktiraf sebagai cendekiawan perakaunan terulung," kata Thomas R. Robinson, presiden dan ketua pegawai eksekutif AACSB. "Sebagai dekan sekolah perniagaan, ahli lembaga AACSB dan sukarelawan AACSB yang berdedikasi selama bertahun-tahun lamanya, beliau amat layak untuk meneruskan visi strategik AACSB tatkala kami terus meningkatkan akreditasi di seluruh dunia, menyokong keperluan sekolah-sekolah perniagaan dan syarikat-syarikat, serta memperluas portfolio produk dan perkhidmatan peningkatan kualiti kami."

Selaku ahli dalam pasukan kepimpinan eksekutif AACSB, Bryant akan memberikan visi, kepimpinan dan pengawasan untuk perkhidmatan berkaitan akreditasi AACSB, termasuk penyelarasan hampir 550 sukarelawan daripada sekolah-sekolah perniagaan dan syarikat-syarikat yang memainkan peranan penting dalam membantu sekolah-sekolah perniagaan mencapai matlamat mereka menerusi akreditasi. Sebagai pemimpin pemikiran yang mantap, Bryant akan bertindak sebagai jurucakap dan penyokong demi kemajuan pendidikan perniagaan dan perakaunan yang berkualiti dan menghubungkan pihak-pihak berkepentingan perniagaan untuk membantu sekolah-sekolah perniagaan mempersiapkan para pemimpin masa depan menerusi kemahiran dan penetapan minda yang tepat bagi memimpin dunia yang berubah-ubah, pelbagai dan bersifat global.

"Saya berasa teruja untuk menyertai sebuah organisasi yang begitu bersifat dinamik dan berprestij seperti AACSB. Saya berharap dapat bekerjasama erat dengan kesemua konstituen kami di seluruh dunia bagi menggalakkan inovasi dan kepimpinan pemikiran yang dapat memajukan pendidikan perniagaan dengan bermakna," kata Bryant.

Di bawah kepimpinan Bryant sebagai Dekan Kolej Perniagaan di Missouri State University, sekolah berakreditasi AACSB itu meningkat maju dan menjadi kolej perniagaan ke-34 terbesar di Amerika Syarikat. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, kemasukan pelajar meningkat dari 890 pelajar kepada 5,500 pelajar, menjadikannya salah satu kolej perniagaan terbesar di mana-mana universiti awam di pusat Tengah Barat. Terdahulu, beliau merupakan pengarah Sekolah Perakaunan University of South Florida, menyelia sebuah program yang terdiri daripada hampir 1,000 pelajar perakaunan sarjana muda, sarjana dan Ph.D. Mempunyai hampir dua dekad pengalaman sebagai profesor dan turut berada dalam bahagian pentadbiran kolej, beliau merupakan penyelidik dan ilmuwan yang amat disegani. Bidang kepakaran akademik beliau ialah keselamatan dan kawalan teknologi maklumat, dan beliau menjadi penulis bersama untuk dua buku teks dan lebih 30 artikel akademik. Beliau terlibat secara aktif dalam aktiviti-aktiviti sivik dan kemasyarakatan termasuk Beta Alpha Psi, sebuah organisasi kehormat untuk pelajar maklumat kewangan dan golongan profesional, serta Persatuan Perakaunan Amerika. Bryant menerima Ph.D dan B.S. beliau dalam bidang Perakaunan daripada Louisiana State University dan merupakan CPA Louisiana (tidak aktif). Seorang pemimpin, penginovasi dan pemikir dunia yang terbukti, Bryant ialah pengerusi 2016-17 untuk Jawatankuasa Akreditasi Perakaunan AACSB (AAC), ahli Lembaga Pengarah AACSB bagi tahun 2016-18 dan turut berkhidmat dalam Jawatankuasa untuk Dasar Akreditasi (CAP) AACSB serta Pasukan Petugas Akreditasi Perakaunan AACSB.

"Saya berpeluang bekerjasama erat dengan Stephanie selama bertahun-tahun memandangkan beliau telah menjadi sukarelawan AACSB yang aktif," kata Reid. "Penglibatan beliau dalam pasukan penilaian setara akreditasi kami dan pelbagai pasukan petugas dan jawatankuasa akreditasi terus menekankan komitmen beliau terhadap kecemerlangan akreditasi dan meletakkan beliau serta AACSB untuk meraih kecemerlangan tatkala beliau berusaha membantu membentuk masa depan dan impak pendidikan perniagaan di seluruh dunia."

Sebelum menyandang jawatan baharu beliau dalam AACSB, Bryant akan berucap tentang akreditasi perakaunan sempena Persidangan Akreditasi Tahunan akan datang, pada 24-26 September 2017 di Pittsburgh, Pennsylvania.

AACSB memberikan akreditasi khusus dan diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk program-program perniagaan dan perakaunan pada peringkat sarjana muda, sarjana dan kedoktoran. Piawaian Akreditasi AACSB mencabar pendidik pasca menengah untuk mencapai kecemerlangan dan peningkatan berterusan dalam program perniagaan mereka dan meraih kecemerlangan dalam bidang-bidang berkaitan pengurusan strategik dan inovasi; pelajar, fakulti dan kakitangan sebagai peserta aktif; pembelajaran dan pengajaran; serta penglibatan akademik dan profesional. Hanya sekolah-sekolah perniagaan terbaik dari seluruh dunia mendapat akreditasi AACSB, yang diiktiraf sebagai piawaian kualiti tertinggi dalam bidang pendidikan perniagaan.

Untuk maklumat lebih terperinci tentang Akreditasi AACSB, sila layari www.aacsb.edu/accreditation.

Latar Belakang AACSB International Sebagai rangkaian pendidikan perniagaan terbesar dunia, AACSB International—The Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) menghubungkan pendidik, pelajar dan perniagaan untuk mencapai matlamat yang sama: melahirkan generasi pemimpin hebat akan datang. Begitu sinonim dengan piawaian kecemerlangan tertinggi sejak tahun 1916, AACSB menyediakan jaminan kualiti, perisikan pendidikan perniagaan dan perkhidmatan pembangunan profesional kepada lebih 1,600 organisasi ahli dan 796 sekolah perniagaan diakreditasi di seluruh dunia. Menerusi ibu pejabat globalnya yang terletak di Tampa, Florida, AS; ibu pejabat Eropah, Timur Tengah dan Afrika yang terletak di Amsterdam, Belanda; dan ibu pejabat Asia Pasifik di Singapura; misi AACSB adalah untuk memupuk penglibatan, mempercepat usaha inovasi, dan menguatkan impak dalam pendidikan perniagaan. Untuk maklumat lanjut, layari aacsb.edu.

Sumber-sumber:   
Latar Belakang AACSB International  
Institusi-institusi Diakreditasi AACSB
Latar Belakang Akreditasihttp://www.aacsb.edu/accreditation  

 

Foto - https://mma.prnewswire.com/media/541793/AACSB_International_Stephanie_Bryant.jpg   
Logo - http://mma.prnewswire.com/media/492010/AACSB_International_Logo.jpg

 

Source: AACSB International
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Education Higher Education Personnel announcements Trade show news Women-related news