Kajian diterbitkan dalam majalah Science perlihat sejauh mana penanda epigenetik boleh kenal pasti subjenis sel dan unsur kawalan yang cetus kepelbagaian selular
ANN ARBOR, Michigan, 11 Ogos 2017 /PRNewswire/ -- Swift Biosciences, penyedia terkemuka bagi penyelesaian persediaan pustaka untuk penjujukan generasi seterusnya (NGS), hari ini mengumumkan pelancaran kaedah penjujukan pemetilan sel tunggal baharu berasaskan teknologi Accel-NGS® Adaptase™, satu penyelesaian persediaan NGS yang cekap dan mantap untuk penjujukan bisulfit seluruh genom pada resolusi sel tunggal. Kaedah baharu ini membolehkan analisis cekap dilakukan terhadap lokasi bermetil yang berbeza mencakupi ribuan sel daripada tisu heterogen, di samping turut menangani aplikasi, seperti pengelasan sel, pengawalan mekanisme selular pada tisu normal, perubahan epigenetik dalam keadaan penyakit dan pemuliharaan evolusi untuk pengawalan epigenomik.
Pemetilan ialah penanda bio stabil yang dapat digunakan untuk mengenal pasti jenis sel dan unsur-unsur kawalan yang mendasari fungsi sel. Apabila digandingkan dengan kajian ekspresi RNA sel tunggal, pemetilan sel tunggal dapat menjelaskan unsur-unsur kawalan, seterusnya mengawal profil ekspresi unik pada sel individu dan perbezaan antara sel. Selain itu, kajian klinikal terkini menemui pola pemetilan dalam penyakit—seperti kanser—yang mengenal pasti jenis tumor, menilai beban tumor dalam biopsi cecair dan mengaitkannya dengan perkembangan penyakit, prognosis serta tindak balas ubatan.
Kaedah ini diterangkan baru-baru ini dalam kertas kerja Science bertajuk "Methylome Sel Tunggal Kenal Pasti Subjenis Neuronal dan Unsur Kawalan pada Korteks Mamalia" oleh rakan usaha sama di Salk Institute, University of California San Diego dan Swift Biosciences. Aliran kerja tersebut menggabungkan pengasingan berasaskan pengisihan sel diaktifkan pendarfluor, penukaran bisulfit dan modul Accel-NGS Adaptase Swift dengan komponen-komponen lain yang tersedia secara komersial. Keputusan yang disiarkan itu menunjukkan peningkatan lebih dua kali ganda bagi kadar pemetaan bacaan berbanding kaedah-kaedah lain; dan dengan itu memberikan peningkatan ketara output data bagi setiap pemprosesan penjujukan sambil mengurangkan kos keseluruhan.
"Ini merupakan salah satu daripada banyak kolaborasi saintifik yang mana teknologi Swift berusaha menerobos sempadan bidang sains," kata Timothy Harkins, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Swift Biosciences serta pengarang bersama kertas kajian ini. "Kami berasa teruja dengan pemahaman baharu tentang proses-proses selular asas, dan impak masa depan yang hebat yang bakal dibawakan terhadap perubatan kepersisan."
"Teknologi Adaptase proprietari kami menghasilkan pustaka NGS dengan tahap kerumitan yang tinggi daripada DNA input rendah dan berjalur tunggal," kata Laurie Kurihara, PhD, pengarah kanan bahagian penyelidikan dan pembangunan serta pengarang bersama kertas kajian tersebut. "Aliran kerja sel tunggal kami mempunyai langkah-langkah yang kurang daripada kaedah-kaedah lain dan menawarkan pemprosesan multipleks dan sel tunggal bagi memberikan kadar produktiviti yang lebih hebat untuk aplikasi tinggi daya pemprosesan."
Modul Accel-NGS Adaptase kini tersedia secara komersial.