Labur USD 500 Juta Tingkatkan Keupayaan Perkhidmatan Lima Tahun Akan Datang
SHANGHAI, 8 September 2017 /PRNewswire/ -- Sempena HUAWEI CONNECT 2017, hari ini Huawei memperkenalkan strategi perkhidmatan perusahaan terkininya bagi menyokong syarikat-syarikat yang menjalani proses transformasi awan. Huawei komited untuk menjadi penggerak awan industri dan rakan strategik untuk pelanggan dalam pelbagai industri dengan melabur sebanyak USD 500 juta dalam pembangunan perkhidmatan profesional berasaskan awan, platform awan dan ekosistem awan. Ini akan menyediakan pelanggan dengan penyelesaian perkhidmatan transformasi awan hujung-ke-hujung bagi membolehkan mereka membangunkan, menggunakan dan mengurus platform awan mereka dengan berkesan.
Perkhidmatan pintar untuk transformasi awan perusahaan
Sun Maolu, Presiden Jabatan Perkhidmatan Teknikal untuk Huawei Enterprise Business Group, berkata: "Dengan kemunculan era 'Awan Sahaja', Huawei mengguna pakai strategi perkhidmatan transformasi awan jangka panjang untuk menyokong pelanggan perusahaan kami dalam perjalanan mereka menuju infrastruktur awan. Strategi perkhidmatan kami menumpu pada konsep 'Berkembang dengan Awan' dan menjadi penggerak awan industri.
"Lebih khusus lagi, perkhidmatan perusahaan Huawei akan menumpu pada empat segmen termasuk inovasi awan, pewujudan platform digital, sokongan operasi pintar dan pembolehan perniagaan. Bagi memacu strategi ini ke hadapan, Huawei akan terus meningkatkan pelaburannya dalam pembangunan penyelesaian perkhidmatan dan Pusat Perkhidmatan Global serta instrumen, platform dan makmal pengesahan untuk perkhidmatan profesional. Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami akan turut memberi tumpuan terhadap penyelidikan dan pembangunan dalam awan industri, meningkatkan pelaburan tahunan kami sebanyak lebih 50%. Demi memenuhi kehendak perusahaan terhadap bakat ICT dalam era awan, Huawei akan menyediakan skim pensijilan baharu untuk melatih jurubina ICT, pembangun ICT dan pakar ICT yang khusus untuk industri. Menjelang tahun 2021, dianggarkan lebih 150,000 ahli profesional ICT awan dan khusus untuk industri akan mendapat pengesahan Huawei."
Penyelesaian transformasi awan industri hujung-ke-hujung
Tatkala syarikat-syarikat perusahaan menerima transformasi awan, mereka akan berdepan dengan himpunan cabaran baharu merentasi strategi, perancangan, analisis keperluan, penggabungan perniagaan, penilaian sistem aplikasi, pemilihan teknologi, reka bentuk pelan tindakan, penggunaan, pengurusan operasi & penyelenggaraan (O&M) serta keselamatan maklumat. Menurut Xu Jingbin, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Teknikal IT untuk Huawei Enterprise Business Group: "Dengan rekod prestasi dalam penyerahan penyelesaian awan industri, Huawei bekerjasama erat dengan rakan-rakan kongsi kami untuk membangunkan perkhidmatan transformasi awan industri hujung-ke-hujung yang meliputi perundingan, penilaian, perancangan dan reka bentuk, pemindahan, pemulihan bencana (DR), keselamatan dan O&M. Memandangkan kesinambungan perniagaan adalah penting semasa pemindahan awan yang rumit, Huawei menyediakan proses pemindahan sofistikated menerusi 4 peringkat dan 17 langkah, serta instrumen pemindahan profesional yang dibangunkan secara dalaman, yang telah membantu lebih 1,000 pelanggan memindahkan perniagaan mereka kepada infrastruktur awan dengan lancar dan cekap."
Huawei labur USD 500 juta lima tahun akan datang bangunkan keupayaan perkhidmatan dan pengesahan semua senario, membolehkan transfromasi awan lancar untuk industri
Bagi membantu pelanggan mendepani transformasi awan mereka, Huawei akan melabur sebanyak lebih USD 500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membangunkan perkhidmatan untuk semua senario dan keupayaan pengesahan bersepadu untuk perkhidmatan perusahaannya. Di China, Huawei telahpun menubuhkan makmal pengesahan perancangan dan reka bentuk industri, makmal pemulihan dan penghijrahan akibat bencana, pusat pengesahan bandar selamat dan juga pusat pengesahan perkhidmatan kewangan.
Leslie Rosenberg, Pengarah Penyelidikan IDC berkata: "Huawei banyak melabur dalam pembangunan Harta Intelek melalui penubuhan pusat-pusat R&D bagi mempercepatkan inovasi, pembezaan dan penyerahan perkhidmatannya. Syarikat ini mempunyai kakitangan perkhidmatan yang berkemahiran selain ekosistem saluran di serata dunia bagi tujuan penglibatan rundingan dan penggabungan yang tekal. Menurut IDC MarketScape baru-baru ini: Penilaian Vendor 2017 Khidmat Rundingan Rangkaian Seluruh Dunia, Huawei diletakkan sebagai Pengusaha Utama, atas keupayaan globalnya dan kekuatan R+D. Selain itu, pengguna akhir yang disoal selidik dalam kajian tersebut menyebut Huawei atas kebolehannya merendahkan kos operasi dan meningkatkan keselamatan selain keupayaannnya memberikan keandalan, kualiti dan kebolehsuaian menurut keperluan dan kehendak pelanggan."
Huawei Enterprise Service telah menubuhkan Pusat Perkhidmatan Global di China, Romania dan Mexico, serta 12 Pusat Bantuan Teknikal serantau dan tempatan di seluruh dunia. 15 pusat ini menyediakan perkhidmatan 24/7 untuk lebih 170 negara, termasuk sokongan teknikal, operasi rangkaian jarak jauh, penyerahan jarak jauh dan pemasaran serta sokongan saluran. Perkhidmatan awan Huawei telahpun berkhidmat untuk lebih 18,000 pelanggan tahun lalu. Setakat ini, 197 syarikat dalam senarai Fortune Global 500 dan 45 daripada 100 perusahaan terbaik memilih Huawei sebagai rakan transformasi digital mereka.
HUAWEI CONNECT, acara kebanggaan Huawei untuk industri ICT global, bakal diadakan di Pusat Ekspo Antarabangsa Baharu Shanghai mulai 5-7 September 2017 bertemakan "Berkembang dengan Awan". Melalui platform global bagi tujuan kolaborasi terbuka ini, Huawei bersama-sama pelanggan dan rakan kongsinya akan meninjau peluang pertumbuhan baharu melalui transformasi digital. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.huawei.com/en/events/huaweiconnect2017/