Program disediakan secara berterusan dengan ciri perbualan baharu
PRINCETON, New Jersey, 24 Januari 2018 /PRNewswire/ -- ETS, pembuat ujian TOEFL®, membuktikan iltizamnya hari ini dalam membantu para pelajar mengejar impian menyambung pengajian di luar negara dengan membuka satu-satunya kursus persediaan TOEFL percuma dalam talian yang rasmi. Kursus enam minggu ini tersedia di www.edx.org dan ditawarkan secara berterusan agar para peserta boleh menyertainya pada bila-bila masa dan mengikuti kandungannya berdasarkan kemampuan masing-masing.
Bagi jutaan manusia di serata dunia, ujian TOEFL telah membantu mereka mencapai impian belajar di universiti, migrasi berkemahiran, memperoleh pekerjaan, biasiswa, visa dan banyak lagi. Lebih daripada 10,000 universiti, agensi, institusi dan organisasi di seluruh dunia — termasuk di Australia, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom — menerima pemarkahan TOEFL. Tinjauan menunjukkan 90 peratus mereka yang pernah menduduki ujian TOEFL telah diterima masuk ke universiti pilihan pertama atau kedua mereka.
"ETS percaya semua orang perlu mendapat akses kepada kerja kursus, alatan dan sumber untuk berjaya," kata Jennifer Brown, Pengarah Eksekutif Program TOEFL ETS. "Kursus percuma dalam talian ini bertujuan untuk membantu peserta menambah baik kemahiran bahasa Inggeris mereka dan memahami selok belok ujian TOEFL, penilaian bahasa Inggeris yang paling dipandang tinggi di dunia."
Kursus ini yang dipanggil "Persediaan Ujian TOEFL: Panduan Orang Dalam," disediakan seperti suasana kelas sejagat yang sangat interaktif, menyediakan akses kepada pengajar yang terlibat secara langsung dengan ujian TOEFL, dan memudahkan perbualan antara pengajar dan pelajar dari serata dunia. Para peserta boleh membentuk kumpulan belajar dan berkongsi tip peribadi tentang belajar bahasa Inggeris serta persediaan ke luar negara.
Di sepanjang kursus, peserta akan mempelajari semua perkara yang perlu diketahui tentang persediaan ujian TOEFL, termasuk tip meningkatkan kemahiran, menguasai struktur ujian dan bersedia untuk hari ujian sebenar.
Perkara baharu dalam kursus ini ialah aktiviti pembinaan kemahiran bertutur tambahan yang membolehkan peserta berbual dengan "individu" automatik untuk latihan senario yang selalu dihadapi pelajar universiti, seperti memesan kopi di kafe, memulakan sesi belajar dengan pelajar lain dan temu duga dengan kaunselor kerjaya.
Kursus TOEFL di laman edX.org telah menarik minat lebih daripada 625,000 peserta daripada lebih 200 buah negara dan diberi penarafan yang tinggi — mendapat 4.5 daripada 5 bintang. Sila mendaftar di http://bit.ly/2tws7d5.