DUBAI, UAE, 2 Februari 2018 /PRNewswire/ --
Thuraya Telecommunications Company bakal mempamerkan perkhidmatan komunikasi satelit bawaan udaranya, Thuraya Aero, dan bertemu dengan para pegawai daripada sektor aeroangkasa di Singapore Airshow akan datang. Pasukan Thuraya, bersama-sama rakan-rakan kongsi daripada smp aviation, akan ditempatkan di reruai #H-91 sepanjang acara tersebut, yang bakal diadakan mulai 6 - 11 Februari di Pusat Pameran Changi.
Thuraya Aero menyertai Airshow dengan mempunyai banyak aspirasi, setelah menyaksikan kejayaan yang semakin meningkat sejak dilancarkan beberapa bulan lalu. Satu MoU baru sahaja ditandatangani bersama SIT Sports bagi tujuan pemasangan dan penyepaduan perkhidmatan untuk kumpulan pesawat sayap tetap dan berputar. SIT membekalkan acara-acara sukan yang berlangsung di Semenanjung Iberia dengan teknologi tertinggi dalam pengesanan, grafik, radio, avionik dan telekomunikasi. SIT bermatlamat untuk menggunakan perkhidmatan komunikasi satelit untuk penstriman langsung acara-acara berkenaan. Ini akan menjamin ketersambungan berterusan untuk SIT tatkala mereka menghimpunkan rakaman dengan resolusi tinggi untuk rangkaian TV, di samping membantu mereka merendahkan kos operasi dengan ketara melalui pakej-pakej masa siaran yang pelbagai dan boleh disesuaikan. Pada Oktober 2017, syarikat perkhidmatan aeroangkasa Belanda - NL EASP AIR - menjadi rakan kongsi pelancaran Thuraya Aero semasa Dubai Airshow, yang mana perkhidmatan tersebut berjaya mendapatkan pertanyaan yang positif daripada pihak kerajaan, organisasi penerbangan dan perusahaan global. Pelanggan awal Thuraya, NL EASP AIR bekerjasama untuk mendapatkan perkhidmatan Aero melibatkan ISRnya dan misi berkaitan pengawasan yang lain bersama Agensi Sempadan Eropah.
Keith Murray, Pengarah Produk Thuraya untuk Aero berkata: "Singapore Airshow ialah acara penting buat mereka yang berada dalam industri aeroangkasa dan kami berharap dapat berbincang sejauh mana perkhidmatan kami dapat menambah nilai dan memenuhi keperluan ketersambungan dalam penerbangan dengan tepat. Thuraya Aero meningkatkan standard untuk keupayaan komunikasi satelit bawaan udara bagi pesawat bersaiz kecil dan sederhana. Ia merupakan satu-satunya terminal dalam kategorinya yang mempunyai ciri mampatan video terbina dalam dan kebolehan mengendalikan kelajuan penstriman HD sehingga 700 kbps. Kami yakin bahawa kami dapat menonjolkan kepada bakal pelanggan sejauh mana perkhidmatan ini dapat menawarkan prestasi operasi yang terbaik dalam pasaran dan kefleksibelan pada harga yang paling berpatutan."
Dibangunkan sebagai sistem komunikasi dalam penerbangan, Thuraya Aero menyokong akses internet yang stabil, panggilan suara, pesanan ringkas dan aplikasi data berkelajuan tinggi pada masa-sebenar seperti persidangan video dan pengawasan udara dalam pesawat bersaiz kecil hingga sederhana, selain pesawat sayap berputar. Perkhidmatan berkenaan dibangunkan oleh Thuraya dengan kerjasama Aero Group - konsortium antarabangsa antara pembekal-pembekal penyelesaian aeroangkasa terkenal, iaitu Cobham, Scotty Group, SRT Wireless dan diterajui oleh smp aviation.
Manfred Scheiring Ketua Pegawai Eksekutif smp aviation mengulas: "Thuraya Aero dicipta bersama-sama sekumpulan pengusaha industri mantap yang mempunyai pengetahuan menyeluruh tentang komunikasi dinamik, keperluan keselamatan dan teknologi dalam sektor penerbangan. Kami dapat menyaksikan daya tarikan yang luar biasa sejak dilancarkan dan telahpun menjalin kerjasama dengan beberapa pelanggan. Kami yakin Thuraya Aero akan mendapat sambutan hebat di Singapore Airshow dan berharap dapat bertemu dengan para pelanggan serantau. Kami juga berharap dapat menjalin kerjasama penting sepanjang acara berlangsung."