omniture

Pelaburan strategik Venus Medtech dalam Keystone Heart perkukuh susun atur teknikal pasaran perlindungan emboli serebrum

Venus Medtech (Hangzhou) Inc.
2018-05-25 02:46 2505

HANGZHOU, China, 25 Mei 2018 /PRNewswire/ -- China Venus Medtech (Hangzhou) Inc. mengumumkan satu perjanjian perkongsian untuk pelaburan strategik dan kebenaran bersama Keystone Heart. Perjanjian ini akan memberi hak kepada Venus Medtech untuk membangunkan, mengeluarkan dan menjual alat TriGUARD 3™ generasi ketiga dan alat perlindungan emboli serebrum generasi seterusnya di China serta pasaran-pasaran utama Asia yang lain secara eksklusif. Pada Mac 2017, Venus Medtech mengumumkan satu perjanjian perkongsian untuk mempromosikan sistem TAVR Venus Medtech, iaitu VenusA-Valve, yang digabungkan dengan Alat Perlindungan Emboli Serebrum TriGuard™ generasi pertama daripada Keystone Heart di China dan pasaran-pasaran utama Asia yang lain. Perjanjian baharu ini menunjukkan Venus Medtech terus mengukuhkan susun atur teknikal dalam pasaran perlindungan emboli serebrum dan mengukuhkan kerjasama strategiknya dengan Keystone Heart.

Pada Februari 2017, persatuan penyelidikan neurosains (NeuroARC) secara rasminya mengeluarkan garis panduan bagi mewujudkan dan menyediakan titik akhir neurologi terpiawai untuk percubaan klinikal vaskular. Garis panduan berkenaan diterbitkan dalam Journal of the American Cardiology dan European Heart Journal, dan garis panduan tersebut juga menyatakan semakin banyak bukti menunjukkan terdapatnya kerosakan otak "resesif" dalam pesakit yang menerima penggantian injap aorta transkateter (TAVR) dan pembedahan kardiovaskular yang lain. Isu ini dilihat ketara khususnya sejak 5 tahun kebelakangan ini. Sejumlah 13 kajian yang dijalankan di AS dan Eropah menunjukkan bahawa kira-kira 80% pesakit mengalami kecederaan otak baharu selepas menjalani TAVR. Kajian NeuroTAVR menunjukkan 94% pesakit mengalami lesi otak baharu selepas TAVR dan 22.6% pesakit mengalami kecederaan saraf baharu selepas TAVR, manakala 41% pesakit mengalami kerosakan neurokognitif dalam masa 30 hari.

Eric Zi, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Venus Medtech berkata, "Venus Medtech bukan semata-mata menumpu pada produk injap transkateter. Kami mengambil berat tentang seluruh prosedur TAVR, komplikasi berkaitan dan seluruh kualiti hidup pesakit. Perkongsian dengan Keystone Heart akan menjadikan Venus Medtech satu-satunya penyedia rawatan holistik yang mencakupi "perlindungan emboli serebrum - belon - injap" dalam bidang TAVR global. Kerjasama selanjutnya mengesahkan keazaman untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh, dan sekali lagi menonjolkan keyakinan terhadap aplikasi teknologi yang inovatif."

Chris Richardson, presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Keystone Heart, LTD mengulas, "Dengan mengukuhkan perkongsian bersama syarikat Injap Jantung yang terkemuka di China, pesakit-pesakit dalam pasaran geografi penting ini dijamin mendapat akses kepada teknologi perlindungan emboli serebrum yang inovatif untuk generasi masa depan daripada Keystone Heart."

Penggantian Injap Aorta Transkateter (TAVR) ialah prosedur invasif minimum yang dijalankan untuk memulihkan penyakit injap aorta. Dengan peningkatan kejadian lesi degeneratif injap dalam kalangan warga tua, stenosis kalsifikasi injap aorta menjadi penyakit injap jantung yang biasa berlaku dalam golongan berusia. Golongan ini mengalami gejala yang teruk, mengalami pemulihan yang lemah selepas pembedahan dan mengakibatkan kadar kematian yang tinggi. Bagi pesakit dengan risiko tinggi/sederhana atau dengan kontrapenunjukan pembedahan, TAVR boleh digunakan sebagai rawatan berkesan dengan kelebihan trauma minimum yang jelas serta pemulihan pantas. Dengan mengelakkan risiko pembedahan terbuka bahagian dada tradisional dan pintasan kardiopulmonari, TAVR berupaya memberi harapan untuk pulih kepada kumpulan pesakit ini.

China ialah pasaran baharu untuk prosedur TAVR. VenusA-Valve, dikaji dan dibangunkan secara bebas oleh Venus Medtech, memperoleh sijil pendaftaran CFDA pada April 2017. Ia meraih pencapaian penting sebagai implan injap aorta transkateter pertama seumpamanya yang diluluskan untuk kegunaan komersial di China. Pakar-pakar menganggarkan bahawa lebih 10,000 pembedahan TAVR akan dijalankan menjelang tahun 2020. Pasaran keseluruhan dilihat akan berkembang pada kadar 30% kepada 50% setiap tahun.

Latar Belakang Venus Medtech (Hangzhou) Inc.

Ditubuhkan pada tahun 2009 dan terletak di Hangzhou, Venus Medtech komited terhadap pembangunan teknologi dan aplikasi komersial penyelesaian invasif minimum untuk penyakit injap jantung. Venus Medtech berdedikasi sepenuhnya terhadap penyelidikan dan pembangunan serta mempunyai dua teknologi utama di dunia: sistem injap transkateter pramuat dan sistem injap pulmonari transkateter kembang-sendiri. Syarikat telah menjalankan beberapa kajian dan ujikaji inovatif, merintis penyelidikan klinikal dalam bidang injap transkateter, mengimplan dan menguji alat injap jantung Cina di Eropah serta menubuhkan Institut injap jantung di China. Untuk maklumat lanjut, layari http://www.venusmedtech.com/.

Latar Belakang Keystone Heart

Keystone Heart Ltd. ialah sebuah syarikat alat perubatan yang membangunkan dan mengeluarkan alat perlindungan emboli serebrum yang bertujuan untuk mengurangkan risiko strok, degenerasi neurokognitif dan demensia yang disebabkan oleh kerosakan serebrum berkaitan dengan prosedur kardiovaskular. Beribu pejabat di Israel; Keystone Heart berdedikasi untuk memajukan rawatan pesakit melalui teknologi inovatif dan penyelidikan klinikal. Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.keystoneheart.com.

 

Source: Venus Medtech (Hangzhou) Inc.
Keywords: Health Care/Hospital Medical Equipment Licensing/marketing agreements