omniture

Microsoft peroleh GitHub pada nilai $7.5 bilion

Microsoft Corp.
2018-06-05 19:51 1820

Pemerolehan akan perkasa pembangun, percepat pertumbuhan GitHub dan majukan perkhidmatan Microsoft dengan audiens baharu.

REDMOND, Washington, 5 Jun 2018 /PRNewswire/ -- Pada hari Isnin, Microsoft Corp. mengumumkan ia mencapai persetujuan untuk memperoleh GitHub, platform pembangunan perisian yang terkemuka di dunia yang mana lebih 28 juta pembangun dapat belajar, berkongsi dan berkolaborasi demi mencipta masa depan. Kedua-dua syarikat tersebut bersama-sama akan memperkasa pembangun untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada setiap peringkat kitar hayat pembangunan, mempercepatkan penggunaan perusahaan GitHub dan menyediakan instrumen dan perkhidmatan pembangun Microsoft kepada audiens baharu.

"Microsoft ialah sebuah syarikat yang mengutamakan pembangun dan dengan berganding bahu bersama GitHub, kami dapat mengukuhkan komitmen kami terhadap kebebasan, keterbukaan dan inovasi pembangun," kata Satya Nadella, Ketua Pegawai Eksekutif, Microsoft. "Kami menyedari tanggungjawab komuniti yang digalas oleh kami menerusi perjanjian ini dan kami akan mengusahakan yang terbaik bagi memperkasa setiap pembangun untuk membangunkan, menginovasi dan menangani cabaran-cabaran paling mendesak di dunia."

Di bawah terma-terma perjanjian, Microsoft akan memperoleh GitHub pada nilai $7.5 bilion dalam saham Microsoft. Tertakluk kepada syarat-syarat penutupan biasa dan penyempurnaan kajian semula pengawalseliaan, pemerolehan ini dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

GitHub akan mengekalkan etosnya yang mengutamakan pembangun dan akan beroperasi secara bebas bagi menyediakan platform terbuka untuk semua pembangun dalam semua industri. Pembangun-pembangun akan terus berpeluang menggunakan bahasa pengaturcaraan, instrumen dan sistem pengendalian pilihan mereka untuk projek-projek mereka dan juga masih berpeluang menggunakan kod mereka untuk sebarang sistem pengendalian, sebarang infrastruktur awan dan sebarang peranti.

Naib Presiden Korporat Microsoft Nat Friedman, pengasas Xamarin dan individu yang berpengalaman luas dalam sumber terbuka, akan menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif GitHub. Ketua Pegawai Eksekutif semasa GitHub, Chris Wanstrath, bakal menjadi felow teknikal Microsoft, melapor diri kepada Naib Presiden Eksekutif Scott Guthrie, bagi mengusahakan inisiatif-inisiatif perisian strategik.

"Saya amat berbangga dengan kejayaan yang dikecapi oleh GitHub dan komuniti kami sepanjang dekad lalu dan saya tidak sabar-sabar untuk melihat apa yang bakal menanti pada masa depan. Masa depan pembangunan perisian adalah cerah dan saya berasa teruja untuk berganding bahu dengan Microsoft bagi menjadikannya suatu kenyataan," kata Wanstrath. "Tumpuan mereka terhadap pembangun benar-benar selari dengan tumpuan kami sendiri manakala skala, instrumen dan awan global mereka akan memainkan peranan besar dalam menjadikan GitHub lebih berharga untuk para pembangun di mana-mana jua."

Hari ini, setiap syarikat menjadi syarikat perisian dan pembangun menjadi tumpuan transformasi digital; mereka memacu proses dan fungsi perniagaan dalam organisasi-organisasi bermula daripada khidmat pelanggan dan sumber manusia kepada pemasaran dan juga IT. Di samping itu, pilihan yang dibuat oleh pembangun-pembangun ini akan semakin menentukan penciptaan nilai dan pertumbuhan merentasi setiap industri. GitHub merupakan tumpuan pembangun moden dan destinasi paling popular di dunia untuk projek-projek sumber terbuka serta inovasi perisian. Platform ini mengehoskan jaringan pembangun yang semakin meningkat hampir di setiap negara yang mewakili lebih 1.5 juta syarikat dalam segmen rawatan kesihatan, pengilangan, teknologi, perkhidmatan kewangan, peruncitan dan banyak lagi.

Setelah dimuktamadkan, Microsoft menjangkakan kewangan GitHub dilaporkan sebagai sebahagian daripada segmen Awan Pintar. Microsoft berharap pemerolehan ini akan dapat meningkatkan pendapatan operasi dalam tahun fiskal 2020 menggunakan asas bukan GAAP dan mempunyai kecairan minimum kurang 1 peratus terhadap perolehan sesaham dalam tahun fiskal 2019 dan 2020 menggunakan asas bukan GAAP, berdasarkan kerangka masa penutupan yang dijangkakan. Bukan GAAP mengenepikan impak yang dijangkakan kesan daripada pelarasan perakaunan pembelian, serta penyepaduan dan perbelanjaan berkaitan transaksi. Belian semula saham tambahan, melangkaui kadar suku tahunan dalam sejarah Microsoft baru-baru ini, dijangka mengimbangi pertimbangan saham yang dibayar dalam tempoh enam bulan selepas penutupan. Microsoft akan menggunakan sebahagian daripada baki ~$30 bilion daripada kebenaran belian semula saham semasanya untuk belian tersebut.

Simpson Thacher & Bartlett LLP bertindak sebagai penasihat undang-undang Microsoft. Morgan Stanley bertindak sebagai penasihat kewangan eksklusif GitHub, manakala Fenwick & West LLP bertindak sebagai penasihat undang-undangnya.

Panggilan Persidangan Media & Penganalisis

Nadella, Friedman, Wanstrath dan Ketua Pegawai Kewangan Microsoft Amy Hood akan mengadakan panggilan persidangan bersama untuk rakan media hari ini, 4 Jun 2018 pada jam 7 pagi Pasifik/10 pagi Timur bagi membincangkan mengenai transaksi ini. Panggilan persidangan berkenaan akan disediakan kepada pemanggil antarabangsa di talian +1 (201) 689-8023 (kata laluan tidak diperlukan), kepada pemanggil A.S. di talian (877) 407-0666 (kata laluan tidak diperlukan), atau melalui siar web di https://edge.media-server.com/m6/p/eudfciq3 pada waktu tersebut. Maklumat lanjut disediakan di http://news.microsoft.com.

Butiran tambahan akan disediakan setelah pemerolehan dimuktamadkan.

Latar Belakang GitHub

GitHub ialah syarikat pembangun. Kami memudahkan pembangun untuk menjadi pembangun: bekerja bersama-sama, menyelesaikan masalah mencabar, mencipta teknologi paling penting di dunia. Kami memupuk komuniti yang kolaboratif yang dapat bersatu, sebagai individu mahupun pasukan untuk mencipta masa depan perisian dan mencetuskan perubahan di dunia.

Latar Belakang Microsoft

Microsoft (Nasdaq "MSFT" @microsoft) mendayakan transformasi digital untuk era awan pintar dan pinggir pintar. Matlamatnya adalah untuk memperkasa setiap individu dan setiap organisasi di seluruh dunia mencapai lebih banyak kejayaan.

Kenyataan jangkaan 

Siaran media ini mengandungi kenyataan jangkaan, iaitu sebarang ramalan, unjuran atau kenyataan lain tentang peristiwa masa depan berdasarkan jangkaan dan anggapan semasa yang tertakluk kepada risiko dan ketidaktentuan. Risiko dan ketidaktentuan yang berpotensi termasuk, antara lain, faedah kewangan dan faedah lain yang dijangkakan daripada transaksi GitHub mungkin tidak dapat direalisasikan, termasuk disebabkan oleh: risiko transaksi tidak dapat diselesaikan tepat pada masanya atau sama sekali; sebarang sekatan atau batasan yang dikenakan oleh pihak berkuasa pengawalseliaan; impak pemerolehan komuniti pembangun GitHub dan pelanggan perusahaan; sejauh mana kami mencapai sasaran kewangan dan belian balik yang dijangkakan; impak perubahan pengurusan dan organisasi terhadap perniagaan GitHub; impak terhadap kakitangan GitHub dan kebolehan kami mengekalkan kakitangan utama; keberkesanan kami menggabungkan platform dan operasi GitHub dengan perniagaan Microsoft; serta kebolehan kami mereaslisasikan objektif-objektif strategik dan operasi kami yang lebih luas. Keputusan sebenar mungkin berbeza dengan ketara daripada kenyataan jangkaan disebabkan oleh hal ini dan risiko serta ketidaktentuan lain perniagaan kami, yang dijelaskan dalam pemfailan kami dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa ("SEC"), termasuk Borang 10-K dan 10-Q kami. Kenyataan jangkaan hanya tepat setakat tarikh ia dibuat. Pembaca diingatkan agar tidak meletakkan kebergantungan yang tidak munasabah terhadap kenyataan jangkaan dan Microsoft tidak memikul sebarang tanggungjawab untuk mengemas kini sebarang kenyataan jangkaan agar selaras dengan kenyataan keputusan sebenar atau perubahan dalam jangkaan syarikat.

Logo - https://mma.prnewswire.com/media/24227/microsoft_corp_logo226_9217jpg.jpg

Source: Microsoft Corp.
Related Stocks:
NASDAQ:MSFT
Related Links:
Keywords: Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Acquisitions, mergers, takeovers Asian-related news Conference call announcements Future Events