omniture

Aeroflot Dinamakan Syarikat Penerbangan Terbaik di Eropah Timur, Dipilih Katering Dalam Pesawat Ekonomi Premium Terbaik Dunia di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax

Aeroflot
2018-07-18 23:51 865

MOSCOW, 18 Julai 2018 /PRNewswire/ --

Aeroflot telah memenangi dua kategori bagi Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax berprestij. Selain dinamakan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik di Eropah Timur, Aeroflot turut membawa pulang anugerah Katering Dalam Pesawat Ekonomi Premium Terbaik dalam kalangan mana-mana syarikat penerbangan di dunia.

Aeroflot dipilih sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik di Eropah Timur buat tahun keenam berturut-turut dan kali ketujuh secara keseluruhannya. Anugerah bagi Katering Dalam Pesawat Ekonomi Premium Terbaik memperlihatkan kemajuan penting untuk syarikat penerbangan negara Rusia itu. Terdahulu, anugerah berkenaan menjadi milik Singapore Airlines, yang diiktiraf menerusi banyak penilaian sebagai yang terbaik di dunia.

Majlis penyampaian Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia, yang berlangsung hari ini di Dewan Utama hotel The Langham di London, menghimpunkan eksekutif-eksekutif kanan daripada syarikat-syarikat penerbangan yang terkemuka di seluruh dunia.

"Aeroflot terus menambah lagi koleksi anugerah Oscar dalam penerbangan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Aeroflot Vitaly Saveliev. "Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax yang dibawa pulang oleh kami hari ini menunjukkan bahawa syarikat penerbangan kami mengekalkan tahap perkhidmatan yang berada pada tahap antarabangsa yang tinggi secara tekal. Selain itu, Aeroflot berupaya bersaing dalam kedudukan yang setara dengan syarikat-syarikat penerbangan global yang paling kukuh dalam bidang penting, iaitu kualiti dan kepelbagaian katering dalam pesawat kami. Peluang menerima anugerah ini adalah satu penghormatan buat mana-mana syarikat penerbangan dunia. Bagi Aeroflot, ia mendorong kami untuk menjadi lebih baik dan lebih popular dan untuk menawarkan lebih banyak kemudahan dalam segala-gala yang kami lakukan untuk penumpang kami, yang mana keselamatan dan keselesaan menjadi keutamaan tertinggi kami."

Dikenali sebagai anugerah Oscar untuk industri penerbangan, Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia itu telah diadakan setiap tahun sejak tahun 1999 oleh Skytrax, pakar bagi kualiti perkhidmatan dalam kalangan syarikat penerbangan dan lapangan terbang. Pada tahun 2018, sebanyak 335 syarikat penerbangan bersaing untuk meraih anugerah tersebut.

Pemenang-pemenang ditentukan berdasarkan tinjauan kepuasan penumpang terbesar dunia, yang mana para pengembara dari lebih 100 negara mengambil bahagian dalam pengundian dalam talian yang dijalankan antara Ogos 2017 dan Mei 2018. Mereka yang diundang untuk mengundi termasuk penumpang yang mengambil bahagian dalam tinjauan terdahulu, yang mana bilangannya adalah sekitar 24.5 juta penumpang. Borang-borang pengundian disediakan dalam enam bahasa: bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Sepanyol, bahasa Rusia, bahasa Jepun dan bahasa Cina. Bilangan peserta dari China meningkat paling pesat tahun ini, dengan sejumlah 3.5 juta ulasan tambahan.

Aeroflot telah memegang status Syarikat Penerbangan 4-Bintang daripada Skytrax sejak tahun 2016, meletakkannya pada kedudukan kukuh dalam kalangan senarai syarikat penerbangan utama Eropah.

Latar Belakang Aeroflot 

Aeroflot ialah syarikat penerbangan kemegahan Rusia dan ahli penting bagi perikatan syarikat penerbangan global SkyTeam. Aeroflot menawarkan perkhidmatan di 146 destinasi dalam 52 negara.

Kumpulan 241 pesawat Aeroflot merupakan yang terbaharu dalam mana-mana syarikat penerbangan di seluruh dunia yang mengendalikan lebih 100 pesawat. Pada tahun 2017, Aeroflot membawa 32.8 juta penumpang (50.1 juta penumpang sebagai Aeroflot Group termasuk subsidiari).

Aeroflot memegang status Syarikat Penerbangan 4-Bintang daripada Skytrax dan telah dinamakan Syarikat Penerbangan Terbaik di Eropah Timur untuk kali ketujuh pada Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2018. Aeroflot juga telah dianugerahkan dengan penarafan syarikat penerbangan global lima bintang oleh persatuan penerbangan AS, APEX.

Aeroflot ialah jenama syarikat penerbangan terkukuh di dunia dan jenama paling hebat di Rusia menurut perunding strategi jenama terkemuka Brand Finance.

Ketahui lebih lanjut di http://www.aeroflot.com/

Source: Aeroflot
Related Stocks:
RTS:AFLT
Keywords: Airlines/Aviation Passenger Aviation Travel Awards