omniture

Hari Jantung Sedunia: Hampir Satu dalam Lima Kematian Akibat Penyakit Kardiovaskular Berpunca Pencemaran Udara, Sejumlah 3 Juta Kematian Seluruh Dunia Saban Tahun

Persekutuan Jantung Sedunia
2018-09-27 15:54 823

GENEVA, 27 September 2018 /PRNewswire/ --

  • Sempena Hari Jantung Sedunia (WHD), 29 September 2018, Persekutuan Jantung Sedunia (WHF) meningkatkan kesedaran melibatkan perkaitan antara kualiti udara rendah dengan penyakit kardiovaskular (CVD)  
  • Pencemaran udara di luar dan dalam rumah menjadi faktor risiko yang semakin penting untuk CVD: pencemaran udara menjadi penyebab kepada 19% daripada semua kematian akibat CVD, menyumbang sebanyak lebih 3 juta kematian setiap tahun
  • CVD ialah pembunuh utama dunia, mengakibatkan lebih 17.5 juta kematian setiap tahun. WHD ialah kempen meningkatkan kesedaran yang paling besar untuk CVD bagi menambah baik kesihatan jantung melalui aktiviti-aktiviti pendidikan dan kesedaran

Tahun ini, pada 29 September, Persekutuan Jantung Sedunia (WHF) berusaha meningkatkan kesedaran terhadap faktor risiko CVD yang semakin penting: pencemaran udara.

Bukti saintifik terkini oleh Nature memberi amaran bahawa pendedahan kepada nitrogen dioksida dan pencemaran udara dengan bahan zarahan halus jelas berkait dengan kematian CVD. Kualiti udara yang rendah juga disenaraikan sebagai punca keempat bagi Tahun Hayat Larasan Hilang Upaya (DALY) - satu tahun kehilangan 'kehidupan yang sihat' - menurut kajian Beban Penyakit Global yang terkini.

Profesor David Wood, Presiden WHF: "Pada Hari Jantung Sedunia, kami berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kualiti udara yang rendah di luar dan dalam rumah sebagai faktor risiko yang semakin penting, dan mengumpulkan semua yang terlibat dalam kesihatan kardiovaskular dari setiap negara di dunia dalam usaha untuk mengurangkan CVD."

Jantungku, Jantungmu 

Diwujudkan dan dipimpin oleh WHF, Hari Jantung Sedunia bertujuan untuk memerangi peningkatan bilangan individu yang menghidap penyakit kardiovaskular (CVD) dengan mempromosikan kepentingan menjalani gaya hidup dengan jantung yang sihat.

Tanggal 29 September, orang ramai di seluruh dunia akan bersatu untuk memerangi CVD dengan mengadakan aktiviti-aktiviti kesedaran, berkongsi video kempen, menganjurkan aktiviti-aktiviti pengumpulan dana untuk yayasan jantung tempatan mereka serta menerangi mercu tanda dan bangunan ikonik.

Kempen kami, dengan kerjasama Manulife dan Philips, melibatkan gesaan untuk bertindak yang mudah: Berjanji kepada jantung anda. Berjanji untuk makan dengan lebih sihat, untuk lebih banyak bersenam dan mengatakan tidak kepada rokok. Janji sebagai ahli profesional penjagaan kesihatan untuk terus berusaha mengurangkan impak CVD. Janji sebagai seorang ahli politik untuk melaksanakan pelan tindakan penyakit yang tidak berjangkit. Janji yang ringkas... untuk JANTUNGKU, untuk JANTUNGMU, untuk JANTUNG KITA SEMUA.

Sumber: World Heart Federation

Source: Persekutuan Jantung Sedunia
Keywords: Health Care/Hospital Environmental Issues Not for profit