omniture

Qatar Biomedical Research Institute Hamad Bin Khalifa University Meterai Perkongsian Baharu Dengan Harvard Stem Cell Institute

HBKU
2018-10-09 22:13 1245

DOHA, Qatar, 9 Oktober 2018 /PRNewswire/ --

Perkongsian baharu bakal tingkatkan program terapi sel pertama rantau ini untuk tangani diabetes  

Qatar Biomedical Research Institute (QBRI), sebuah institut penyelidikan unggul di bawah Universiti Hamad Bin Khalifa (HBKU), telah menandatangani satu perjanjian penyelidikan dan latihan kolaboratif bersama Harvard Stem Cell Institute (HSCI) di Boston, AS. Inisiatif selama lima tahun ini termasuk latihan teknikal dan penyelidikan dalam biologi sel stem yang penting bagi penemuan rawatan yang berdaya maju untuk diabetes.

generated by system

Kelaziman diabetes jenis 1 dan 2 merupakan cabaran rawatan kesihatan global yang semakin meningkat. Kemajuan terkini dalam penyelidikan sel stem, dipimpin oleh saintis-saintis HSCI, bakal membantu kedua-dua pesakit diabetes jenis 1 dan 2 dalam menangani keadaan mereka dengan menghasilkan sel-sel pengeluar insulin yang baharu. Kemajuan sedemikian dapat diperluas untuk menangani banyak penyakit yang mempunyai kesan yang besar terhadap masyarakat.

Dalam kolaborasi baharu ini, saintis-saintis QBRI akan bekerjasama erat dengan para penyelidik HSCI untuk bertukar-tukar ilmu pengetahuan serta amalan terbaik dan bagi mempercepatkan usaha menterjemah penemuan tersebut kepada aplikasi klinikal. Selain membina kapasiti saintifik di rantau ini, perkongsian ini akan menyokong penyelidikan rintis dalam biologi sel stem. Percubaan-percubaan klinikal yang terhasil daripada usaha ini akan dijalankan dengan kerjasama pemegang-pemegang berkepentingan utama QBRI, termasuk Hamad Medical Corporation yang berpangkalan di Qatar dan Sidra Medicine.

"Perkongsian bersama HSCI ini merupakan langkah seterusnya ke arah matlamat utama kami bagi menjalankan penyelidikan yang mempunyai impak yang nyata dan bermakna kepada komuniti yang lebih luas. Inovasi dan visi keusahawanan menjadi teras kepada aktiviti-aktiviti QBRI. Perkongsian dengan para penyelidik sel stem terkemuka di Harvard ini merupakan langkah penting dalam merangsang kemajuan ke arah visi strategik kami, untuk menyelesaikan beberapa cabaran kritikal yang dihadapi oleh Qatar dan rantau ini. Hasil daripada perjanjian ini, penyelidik-penyelidik yang baru direkrut di QBRI akan terlibat dalam penyelidikan rintis melibatkan jaringan kolaboratif penyelidik sel stem terbesar di dunia," kata Dr. Omar El Agnaf, pemangku pengarah eksekutif di QBRI.

HSCI, sebuah jaringan melibatkan 1,000 saintis di Harvard University dan lapan hospital gabungannya, ialah jaguh bagi penyelidikan biologi sel stem dan perubatan regeneratif. Ia merupakan rakan kongsi hebat dalam merealisasikan rancangan strategik QBRI bagi membangunkan program terapi sel pertama di rantau ini.

Brock Reeve, pengarah eksekutif HSCI, berkata: "Qatar proaktif dalam membina kapasiti saintifik di Timur Tengah dan tumpuan semasanya terhadap biologi sel stem menunjukkan komitmennya untuk menyokong kemajuan dalam perubatan terperibadi. Kerjasama dengan QBRI membolehkan kami berkongsi ilmu dan kepakaran dengan cekap melalui latihan lanjut, dan untuk menjalankan kajian yang bermakna dengan tumpuan terhadap penterjemahan. Kami amat berharap dapat bekerjasama dan melihat kemungkinan peluang-peluang penemuan baharu yang muncul hasil daripada kerjasama ini."

QBRI menyasarkan untuk menangani cabaran kesihatan utama bagi jangka masa panjang dengan menyokong usaha penyelidikan saintifik dalam asas molekul pelbagai penyakit dan kajian bioperubatan yang berusaha untuk menterjemahkan pandangan berkenaan menjadi penyelesaian untuk diabetes, gangguan neurologi dan kanser. Perkongsian dengan HSCI akan memudahkan kemajuan dalam bidang-bidang ini. 

Penyelidikan adalah penting untuk misi HBKU bagi membantu membina kapasiti kemahiran tahap tinggi di Qatar. Perkongsian baharu ini membolehkan universiti memanfaatkan sinergi secara aktif dengan organisasi-organisasi tempatan dan antarabangsa bagi memupuk ekosistem pendidikan bertaraf dunia yang menggalakkan penemuan saintifik dan memberi manfaat kepada manusia.

Latar Belakang Hamad Bin Khalifa University
Menginovasi Hari Ini, Membentuk Masa Depan   

Untuk maklumat lanjut mengenai HBKU, layari http://www.hbku.edu.qa

Latar Belakang Harvard Stem Cell Institute 
Untuk maklumat lanjut mengenai HSCI, layari: hsci.harvard.edu  

Hubungi: Sylvana Georgie, Sylvanag@bljworldwie.com, +974-70218268

Source: HBKU
Keywords: Biotechnology Health Care/Hospital Licensing/marketing agreements