omniture

GlobalBeacon(SM) Beroperasi Sebelum Saranan Penjejakan Penerbangan Syarikat Penerbangan ICAO

Aireon
2018-11-05 11:01 101

GlobalBeacon, penyelesaian daripada Aireon dan FlightAware, kini menyediakan penjejakan penerbangan waktu nyata global kepada syarikat-syarikat penerbangan mendahului pelaksanaan piawaian ICAO dan amalan-amalan yang disarankan untuk penjejakan penerbangan

MCLEAN, Virginia, 5 November 2018 /PRNewswire/ -- Aireon LLC dan FlightAware hari ini mengumumkan bahawa GlobalBeaconSM telah mula beroperasi dan menyediakan syarikat-syarikat penerbangan dengan penjejakan penerbangan global mendahului saranan Sistem Keselamatan Kecemasan Aeronautikal Global (GADSS) Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang akan berkuatkuasa pada 8 November 2018. GlobalBeacon menyediakan syarikat-syarikat penerbangan dengan penjejakan pesawat global pada setiap minit untuk pesawat mereka sepanjang masa, di mana-mana jua di dunia.

 

GlobalBeacon ialah penyelesaian siap guna pertama seumpamanya yang melangkaui piawaian GADSS dan amalan-amalan yang disarankan untuk penjejakan penerbangan. Dengan menggabungkan platform pemprosesan data FlightAware dan antara muka web, berserta rangkaian ADS-B berasaskan angkasa Aireon, GlobalBeacon melangkaui sempadan dan Kawasan Maklumat Penerbangan (FIR) serta menghapuskan jurang liputan dalam ruang udara kutub, merentas padang pasir dan di kawasan lautan. Elemen utama bagi keupayaan GlobalBeacon ialah pengagregatan maklumat penjejakan daripada rangkaian ADS-B berasaskan angkasa Aireon dan data penerbangan mengikut konteks FlightAware, termasuk lokasi asal, destinasi, laluan rancangan penerbangan dan waktu jangka tiba (ETA).

Kini beroperasi, GlobalBeacon mendayakan syarikat-syarikat penerbangan daripada semua saiz untuk meletakkan kedudukan mereka secara proaktif untuk bertindak balas sekiranya berlaku kecemasan. Ia memudahkan komunikasi antara pengendali pesawat dan pengawal menerusi pemantauan armada pesawat secara berterusan, amaran kecemasan automatik dan instrumen yang memudahkan perkongsian maklumat.

"FlightAware dan Aireon mengumumkan pembangunan GlobalBeacon sejak September 2016. Kini, tinggal beberapa hari sebelum saranan GADSS ICAO untuk penjejakan penerbangan berkuatkuasa. Kami mempunyai penyelesaian beroperasi yang bukan sekadar melangkaui saranan untuk tahun 2018, tetapi turut melibatkan komponen-komponen yang telahpun mendahului syarat-syarat bagi tahun 2021," kata Ketua Pegawai Eksekutif Aireon Don Thoma. "Kami amat berbangga dengan perkongsian yang telah terjalin dengan FlightAware dan melalui perkongsian ini, ADS-B berasaskan angkasa telahpun dapat beroperasi melalui banyak syarikat penerbangan dan pengendali pesawat."

"GlobalBeacon menyediakan penyelesaian yang berkesan kos dan mudah digunakan yang melangkaui semua piawaian GADSS dan amalan-amalan yang disyorkan untuk penjejakan penerbangan. Ia direka untuk berfungsi bersama-sama proses dan instrumen sedia ada yang biasa digunakan oleh pengendali pesawat, seraya menjadikannya mudah untuk dilaksanakan dan digunakan dengan syarikat-syarikat penerbangan berbagai saiz. Dengan memanfaatkan teknologi ADS-B sedia ada, GlobalBeacon mempunyai kelebihan unik ke atas penyelesaian berpotensi yang lain kerana lazimnya ia tidak memerlukan sebarang perkakasan atau peralatan baharu untuk dipasang pada atau di dalam pesawat," kata Ketua Pegawai Eksekutif FlightAware, Daniel Baker

Pada lewat September 2016, diumumkan bahawa Qatar Airways akan menjadi syarikat penerbangan pertama yang menerima pakai teknologi GlobalBeacon baharu yang disuap terus ke dalam Pusat Operasi Bersepadu mereka. Bermula dari peringkat awal kitar pembangunan produk, Qatar Airways terlibat dalam pengujian beta dan pengesahan GlobalBeacon. "Sebaik sahaja kami mengumumkan penciptaan GlobalBeacon, Qatar Airways turut serta sebagai pelanggan pelancaran GlobalBeacon. Menerusi penglibatan mereka pada awalnya, kami berupaya menguji dan mengesahkan produk dan memastikan ia menggabungkan amalan terbaik bagi penjejakan penerbangan global serta pengawasan armada," kata Baker.

Ketua Eksekutif Qatar Airways Group, Tuan Yang Terutama En. Akbar Al Baker, berkata: "Kami teruja kerana menjadi syarikat penerbangan pertama yang menggunakan teknologi ADS-B berasaskan angkasa dan kami berbesar hati untuk berkolaborasi dengan FlightAware dan Aireon bagi membangunkan penyelesaian ini. Sebagai salah sebuah syarikat penerbangan terkemuka yang paling pesat berkembang di dunia, matlamat kami adalah untuk tekal memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan kami. GlobalBeacon bergabung bersama teknologi pengawasan penerbangan patuh ICAO 2018 (Sistem Operasi Menyeluruh) sedia ada kami dengan lancar dan meningkatkan lagi keselamatan operasi dan pengurusan armada kami dengan memberi perkembangan terkini pada setiap minit atau kurang daripadanya."

Latar Belakang Aireon LLC
Aireon menggunakan sistem pengawasan trafik udara berasaskan angkasa untuk pesawat yang dilengkapi dengan Penyiaran-Pengawasan Bersandar Automatik (ADS-B) di seluruh dunia. Aireon akan memanfaatkan teknologi pengawasan penerbangan generasi seterusnya yang kini berpangkalan di darat dan buat pertama kalinya, meluaskan capaian mereka ke seluruh dunia untuk meningkatkan kecekapan dengan ketara, meningkatkan keselamatan, mengurangkan emisi dan menyediakan faedah-faedah yang menjimatkan kos kepada semua pemegang berkepentingan. Pengawasan ADS-B waktu nyata akan meliputi kawasan-kawasan lautan, kutub dan rantau terpencil, selain memantapkan sistem berpangkalan di darat sedia ada yang terhad kepada ruang udara daratan. Melalui perkongsian bersama ANSP yang terkemuka dari seluruh dunia seperti NAV CANADA, Irish Aviation Authority (IAA), Enav, NATS dan Naviair, serta Iridium Communications, Aireon akan menyediakan sistem pengawasan trafik udara berasaskan angkasa yang global dan pada waktu nyata kepada semua pemegang berkepentingan penerbangan. Untuk maklumat lanjut tentang Aireon, sila layari www.aireon.com.

Latar Belakang FlightAware
FlightAware ialah syarikat data penjejakan penerbangan yang terbesar di dunia dan menyediakan lebih 10,000 pengendali pesawat dan syarikat perkhidmatan serta lebih 12,000,000 penumpang dengan penyelesaian penjejakan penerbangan global. FlightAware memanfaatkan data daripada sistem kawalan trafik udara di lebih 45 negara, daripada jaringan FlightAware yang melibatkan lebih 8,000 stesen darat ADS-B di lebih 200 negara serta menggunakan pautan data global. Untuk maklumat lanjut tentang FlightAware, layari: flightaware.com

PERHUBUNGAN AKHBAR:

Sara Orsi
FlightAware
+1 713-622-9958
sara.orsi@flightaware.com

Jessie Hillenbrand
Aireon
+1 703-287-7452
Jessie.Hillenbrand@Aireon.com 

Video - https://mma.prnewswire.com/media/777156/Aireon_Global_Beacon_Final_Cut.mp4
Logo - https://mma.prnewswire.com/media/390350/Aireon_LLC_Logo.jpg

Source: Aireon
Related Links:
Keywords: Airlines/Aviation Computer/Electronics Travel Broadcast feed announcements New products/services