WASHINGTON, 23 November 2018 /PRNewswire/ -- James Hadley Billington— Emeritus Pustakawan Kongres Amerika Syarikat, salah seorang sejarawan Rusia terpenting di dunia dan ilmuwan serta penulis Amerika terkemuka yang mengajar di Harvard dan Princeton sebelum berkhidmat selama 42 tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif bagi empat institusi kebudayaan persekutuan—meninggal dunia dengan tenang semalam di Washington, DC, setelah mengalami keuzuran yang singkat, dikelilingi oleh keluarga beliau. Beliau berusia 89 tahun.
Dr. Billington berkhidmat sebagai Pustakawan Kongres ke-13 setelah dicadangkan oleh Presiden Ronald Reagan pada tahun 1987, pelantikan yang diluluskan sebulat suara oleh Senat A.S. Beliau bersara sebagai Pustakawan pada 30 September 2015.
Sepanjang tempoh 28 tahun, beliau telah mengasaskan Festival Buku Kebangsaan bersama Wanita Pertama Laura Bush, Pusat John Kluge dan Hadiah untuk Kajian Kemanusiaan, Hadiah Gershwin dan Pusat Pemuliharaan Audio Visual Kebangsaan.
Sepanjang hayat beliau yang dikhususnkankepada kesarjanaan dan perkhidmatan—sewaktu beliau berkhidmat untuk setiap Presiden dan Kongres sejak tahun 1960-an hingga bersara—Dr. Billington memainkan peranan unik dalam memulihara, mempromosi dan berkongsi kekayaan warisan budaya Amerika.
Dilahirkan di Bryn Mawr, Pennsylvania, pada tanggal 1 Jun 1929, beliau menerima pendidikan di sekolah-sekolah awam di sekitar Philadelphia. Dr. Billington merupakan pelajar terbaik di Lower Merion High School dan Princeton University, yang mana beliau menamatkan pengajian dengan kepujian tertinggi pada tahun 1950. Pada tahun 1953, beliau memperoleh ijazah kedoktoran sejarah Rusia moden daripada Balliol College of the University of Oxford, yang mana beliau merupakan penerima anugerah Rhodes Scholar.
Dr. Billington menerima 42 ijazah kehormat, selain Pingat US Presidential Citizen, Order of Friendship Persekutuan Rusia dan Darjah Negara Legion Kehormat Chevalier Perancis.
Selepas perkhidmatan Angkatan Tentera A.S. di Office of National Estimates Presiden Eisenhower, beliau mengajar sejarah di Harvard University dari tahun 1957 hingga 1962, dan juga di Princeton University yang mana beliau merupakan seorang profesor yang popular dari tahun 1964 hingga 1974.
Dari tahun 1973 hingga 1987, Dr. Billington merupakan pengarah Woodrow Wilson International Center for Scholars, yang mana beliau mengasaskan Kennan Institute for Advanced Russian Studies, tujuh program baharu yang lain dan juga Wilson Quarterly.
Dr. Billington menulis sembilan buah buku termasuk sejarah budaya Rusia klasik, The Icon and the Axe dan The Face of Russia, buku iringaan siri televisyen PBS.
Dr. Billington menghabiskan masa selama lebih 50 tahun membantu pemimpin-pemimpin dan warga Amerika memahami bekas Kesatuan Soviet dan negara-negara penggantinya dengan lebih baik, menyumbang kepada apresiasi yang lebih besar terhadap nilai-nilai dan institusi-institusi Amerika di negara-negara yang merentas satu pertiga dunia.
Beliau pertama kali mengunjungi Rusia pada tahun 1958 dan mengiringi Presiden dan Wanita Pertama, Ronald dan Nancy Reagan, ke Moscow pada tahun 1988 untuk menghadiri mesyuarat sidang kemuncak Reagen bersama Mikhail Gorbachev.
Sepanjang tempoh 28 tahun berada di Perpustakaan Kongres, Dr. Billington telah memperbesarkan dan meningkatkan ruang awam menggunakan teknologi di Bangunan Thomas Jefferson, memperbaharui semula tujuannya sebagai tempat pameran negara yang menganjurkan lebih 100 pameran, yang kebanyakannya menampilkan bahan-bahan yang belum pernah dipamerkan kepada umum di Amerika.
Beliau menggandakan jumlah koleksi analog tradisional Perpustakaan tersebut kepada lebih 160 juta item dan menyelia inisiatif-inisiatif pemuliharaan inovatif. Dr. Billington merintis pembinaan semula perpustakaan asal Thomas Jefferson, menggunakan dana peribadi yang dikumpul daripada James Madison Council Perpustakaan yang diasaskan oleh beliau sendiri.
Dr. Billington turut menubuhkan Open World Leadership Center, yang membolehkan lebih 27,000 pemimpin Eurasia untuk berhubung dan belajar daripada proses demokrasi. Dalam masa yang sama, beliau mewujudkan kehadiran dalam talian Perpustakaan Kongres baharu yang besar dan melancarkan beberapa program Perpustakaan inovatif untuk berkongsi kekayaan pendidikan Perpustakaan tersebut bersama berjuta-juta penduduk Amerika dan dunia.
Dr. Billington meninggalkan seorang isteri berusia 61 tahun, mantan Marjorie Anne Brennan, yang digambarkan oleh beliau sebagai "pasangan sepenuh masa yang amat diperlukan dalam segala segi dan pada setiap tahap dalam kehidupan dewasa beliau"; empat orang anak, Dr. Susan Billington Harper, Anne Billington Fischer, Rev. James Hadley Billington, Jr. dan Thomas Keator Billington; serta 12 orang cucu.
Foto resolusi tinggi Dr. Billington disediakan dengan mengklik di sini.
Kenyataan dan testimoni daripada tokoh-tokoh Negara dan Antarabangsa Terkemuka yang amat mengenali Dr. Billington:
Kenyataan daripada Puan Laura W. Bush:
"Saya dan Presiden Bush berasa sedih apabila mendapat tahu bahawa Amerika Syarikat telah kehilangan Dr. James Billington. Dr. Billington berkhidmat sebagai pustakawan negara kami selama 28 tahun, memimpin peralihan Perpustakaan Kongres menuju era digital. Pada tahun 2001, beliau memainkan peranan penting dalam pewujudan Festival Buku Kebangsaan, yang telah mengalu-alukan ratusan ribu peminat buku ke National Mall dan Perpustakaan Kongres. Minat sepanjang hayat Dr. Billington terhadap penyelidikan dan untuk memelihara sejarah memastikan khazanah sastera paling berharga Amerika akan dapat disediakan kepada semua generasi akan datang. Saya dan Presiden Bush mengucapkan takziah kepada isteri Dr. Billington, Marjorie dan kepada empat orang anak beliau. Beliau akan dirindui."
Kenyataan daripada Nancy Pelosi, Pemimpin Sokongan Parti Demokrat A.S.:
"Pemergian Dr. James Billington merupakan satu kehilangan besar buat keluarga beliau dan insan tersayang dan juga buat negara kita. Sepanjang tempoh kerjaya beliau yang panjang dan prolifik, Dr. Billington menjadi pengelola sejarah Amerika yang tidak mengenal lelah, membantu melindungi dan memelihara sejarah paling dihargai negara kita untuk generasi-generasi Amerika.
"Dr. Billington ialah penjawat awam dengan kebijaksanaan, dedikasi dan wawasan yang luar biasa. Tempoh perkhidmatan beliau di Perpustakaan Kongres menyaksikan penggandaan koleksi Perpustakaan dan permulaan sumber-sumber dalam taliannya yang kini begitu luas. Dr. Billington benar-benar percaya bahawa khazanah sejarah Amerika di bawah jagaan beliau ialah milik orang ramai dan beliau bekerja dengan bersemangat bagi memastikan warga Amerika di seluruh negara dapat mengakses koleksi yang amat berharga ini.
"Sama ada mengajar di Harvard atau Princeton, berkolaborasi dengan pakar-pakar dan para ilmuwan, atau menjadi guru dan penasihat yang dipercayai untuk Ahli Kongres yang tidak terkira ramainya, Dr. Billington merupakan seorang pendidik yang komited. Dedikasi beliau untuk meluaskan pengaturcaraan pendidikan Perpustakaan tersebut telah membolehkan generasi muda Amerika menemui rasa cinta mereka terhadap sejarah dan mendapat inspirasi untuk terlibat dalam kajian demokratik yang hebat.
"Negara kita kehilangan patriot sebenar dan salah seorang pembela negara yang paling gigih. Kehidupan dan legasi luar biasa Dr. Billington meninggalkan kesan yang tidak dapat dihapuskan terhadap kisah Amerika kita yang unik, membolehkan generasi-generasi muda untuk melihat, mengalami dan belajar daripada sejarah yang disampaikan oleh beliau dengan begitu bersemangat. Semoga isteri mendiang yang penyayang, Marjorie, anak-anak mereka, Susan, Anne, James Jr., dan Thomas, serta seluruh keluarga Billington terpujuk denganbegitu ramai orang yang turut sama berduka bersama-sama mereka pada saat yang getir ini."
Kenyataan daripada Mantan Setiausaha Negara A.S. Condoleeza Rice:
"Saya berasa amat sedih dengan perkhabaran tentang pemergian Dr. Jim Billington. Beliau seorang tokoh yang tulen – pintar, bertimbang rasa dan baik. Beliau memimpin Perpustakaan Kongres dengan kemahiran dan semangat. Secara peribadi, beliau merupakan suri teladan yang hebat buat saya sebagai seorang ilmuwan dan penjawat awam. Karya abadi beliau, The Icon and the Axe kiranya merupakan buku yang telah membawa beliau yang gagal dalam bidang muzik ini untuk mengkaji Kesatuan Soviet. Begitulah jangkauan pengaruh beliau dalam bidang berkenaan. Saya turut serta bersama-sama rakan taulan dan rakan sejawat beliau untuk menyampaikan doa dan harapan saya kepada Marjorie dan keluarga Billington."
Kenyataan daripada Nina Khrushcheva, Profesor Hal Ehwal Antarabangsa, The New School dan cucu perempuan Leonid Khrushchev, anak sulung mantan Perdana Menteri Soviet Nikita Khrushchev
"Dr Billington ialah tokoh yang dijulang tinggi dalam kajian Rusia dan dalam bidang hubungan AS-Rusia yang benar-benar akan dirindui pada dekad-dekad akan datang. Menerusi tugas beliau, sama ada sebagai ilmuwan atau pustakawan Kongres, beliau bijak menggabungkan antara seni dan politik, kesemuanya bagi tujuan untuk membolehkan Amerika Syarikat memahami dan menghargai budaya-budaya lain di seluruh dunia dengan lebih baik. Rusia, bidang kepakaran beliau, khususnya amat bertuah. Buku James Billington, The Icon and the Axe, itu sendiri merupakan ikon untuk generasi-generasi Rusia dan pengkaji-pengkaji Rusia. Pada zaman kegelapan Kesatuan Rusia, kami, warga Rusia cuba memahami budaya kami sendiri dari sudut pandang Dr. Billington yang kritis, berilmu dan baik hati. Dalam masa yang sama, pendekatan falsafah dan bersejarah beliau terhadap negara yang kompleks dengan bom, tarian balet dan Karamazov Bersaudara menjadi penunjuk jalan kepada kajian budaya dan politik Rusia untuk ramai ilmuwan yang mengikuti jejak langkah beliau. Semoga roh beliau bersemadi dengan tenang."
Kenyataan daripada David M. Rubenstein tentang Pemergian Dr. James Billington pada 21 November 2018:
"Jim Billington ialah salah seorang penjawat awam paling hebat – sememangnya salah seorang warga Amerika paling hebat yang merupakan peluang yang cukup bertuah bagi saya kerana bertemu dengan beliau. Dedikasi beliau terhadap negara kita, dan sepanjang tiga dekad terakhir hayat beliau terhadap Perpustakaan Kongres, membuatkan semua warga Amerika terhutang budi dengan beliau. Jim membantu mengubah Perpustakaan Kongres menjadi sebuah perpustakaan warga Amerika – khazanah negara yang disediakan dan memberi manfaat kepada semua warga Amerika. Kami yang cukup bertuah untuk mengenali dan bekerja dengan beliau pastinya akan amat merindui beliau."
Foto - https://mma.prnewswire.com/media/788323/James_Hadley_Billington.jpg