omniture

Pakatan global baharu beri komitmen lebih $1.0 bilion USD bantu hapus sisa plastik di alam sekitar; tetapkan sasaran labur $1.5 bilion USD

Alliance to End Plastic Waste (AEPW)
2019-01-17 12:17 947

SINGAPURA, 17 Januari 2019 /PRNewswire/ -- Sebuah pakatan yang terdiri daripada syarikat-syarikat global melibatkan rantaian nilai plastik dan barangan pengguna hari ini melancarkan sebuah organisasi baharu bagi memajukan penyelesaian untuk menyingkirkan sisa plastik di alam sekitar, khususnya di lautan.

Rantaian nilai silang Alliance to End Plastic Waste (AEPW), kini terdiri daripada hampir tiga puluh syarikat ahli, menyatakan komitmen sebanyak lebih $1.0 bilion dengan sasaran untuk melabur $1.5 bilion sepanjang lima tahun akan datang untuk membantu menghapuskan sisa plastik di alam sekitar. Pakatan ini akan membangunkan dan meluaskan penyelesaian yang akan mengurangkan dan mengurus sisa plastik serta mempromosi penyelesaian untuk plastik terpakai dengan membantu mendayakan ekonomi pusingan. Keahlian Pakatan mewakili syarikat-syarikat global dan terletak di seluruh Amerika Utara dan Amerika Selatan, Eropah, Asia Tenggara, Afrika dan Timur Tengah.

"Setiap orang bersetuju bahawa plastik tidak seharusnya berada di lautan kita atau di mana-mana jua di alam sekitar. Ini merupakan cabaran global yang rumit dan serius yang menggesa tindakan pantas dan kepimpinan yang mantap. Pakatan baharu ini merupakan usaha paling komprehensif setakat ini untuk menghapuskan sisa plastik di alam sekitar," kata David Taylor, Pengerusi Lembaga, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Procter & Gamble serta pengerusi AEPW. "Saya menggesa semua syarikat, besar atau kecil dan dari seluruh wilayah dan sektor untuk menyertai kami," tambah beliau.

"Sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa tindakan secara kolektif dan perkongsian antara industri, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat membawakan penyelesaian inovatif terhadap cabaran global seperti ini," kata Bob Patel, Ketua Pegawai Eksekutif LyondellBasell dan naib pengerusi AEPW. "Isu sisa plastik dilihat dan dirasai di seluruh dunia. Ia perlu ditangani dan kami percaya masa untuk bertindak adalah sekarang."

Pakatan ini ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang melibatkan syarikat-syarikat yang membuat, menggunakan, menjual, memproses, mengumpul dan mengitar semula plastik. Ini termasuk pengeluar bahan kimia dan plastik, syarikat barangan pengguna, peruncit, penukar dan syarikat pengurusan sisa, juga dikenali sebagai rantaian nilai plastik. Pakatan ini telah bekerjasama dengan World Business Council for Sustainable Development sebagai rakan kongsi strategik pengasas. Hari ini, Pakatan ini turut mengumumkan himpunan projek dan kolaborasi awal yang memperlihatkan pelbagai penyelesaian bagi membantu menghapuskan sisa plastik:

  • Bekerjasama dengan bandar-bandar untuk mereka bentuk sistem pengurusan sisa bersepadu di kawasan bandar besar yang mengalami kekurangan infrastruktur, khususnya di sepanjang sungai yang mengangkut sejumlah besar sisa plastik tidak terurus dari daratan ke lautan. Usaha ini akan melibatkan penglibatan kerajaan tempatan dan pemegang kepentingan serta menghasilkan model mampan dan boleh ditiru secara ekonomi yang dapat diaplikasi dalam pelbagai bandar dan wilayah. Pakatan ini akan meneruskan perkongsian dengan bandar-bandar yang terletak di kawasan pengumpulan sisa plastik yang tinggi. Pakatan ini akan berusaha untuk berkolaborasi dengan program-program lain yang bekerjasama dengan bandar-bandar seperti Project STOP yang berjalan di Indonesia.
  • Membiayai The Incubator Network oleh Circulate Capital untuk membangunkan dan mempromosi teknologi, model perniagaan dan usahawan yang mencegah sisa plastik lautan dan meningkatkan pengurusan serta pengitaran semula sisa dengan hasrat unutk mewujudkan rancangan projek untuk pelaburan, dengan tumpuan awal pada Asia Tenggara.
  • Membangunkan projek maklumat global sumber terbuka berasaskan sains bagi menyokong projek-projek pengurusan sisa seluruh dunia dengan pengumpulan data, metrik, piawaian dan kaedah yang andal bagi membantu kerajaan, syarikat dan pelabur menumpu dan mempercepatkan tindakan bagi menghapuskan sisa plastik daripada memasuki alam sekitar. Pakatan ini akan meninjau peluang-peluang untuk bekerjasama dengan institusi-institusi akademik terkemuka dan organisasi-organisasi lain yang telahpun terlibat dalam cara pengumpulan data yang sama.
  • Mewujudkan kolaborasi pembangunan kapasiti dengan organisasi-organisasi antara kerajaan seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menjalankan bengkel bersama dan latihan kepada para pegawai kerajaan dan pemimpin-pemimpin berasaskan komuniti bagi membantu mereka mengenal pasti dan meneruskan penyelesaian paling berkesan dan relevan untuk kawasan setempat di kawasan-kawasan dengan keutamaan tertinggi.
  • Menyokong Renew Oceans bagi membantu pelaburan dan penglibatan setempat. Program ini diwujudkan untuk memerangkap sisa plastik sebelum memasuki lautan daripada sepuluh sungai utama yang terbukti membawa sebahagian besar sisa dari daratan ke lautan. Usaha peringkat awal akan menyokong projek Renew Ganga yang turut menerima sokongan daripada National Geographic Society.

Pada bulan-bulan akan datang, Pakatan tersebut akan membuat pelaburan tambahan dan mendorong kemajuan dalam empat bidang utama:

  • Pembangunan infrastruktur untuk mengumpul dan mengurus sisa serta meningkatkan aktiviti kitar semula;
  • Inovasi untuk memajukan dan meluaskan teknologi baharu yang menjadikan kitar semula dan pemulihan plastik lebih mudah serta mencipta nilai daripada semua plastik yang telah digunakan;
  • Pendidikan dan penglibatan daripada pihak kerajaan, perniagaan dan masyarakat bagi menggerakkan tindakan; dan,
  • Membersihkan kawasan tumpuan sisa plastik yang telahpun wujud di alam sekitar, khususnya saluran utama sisa seperti sungai yang membawa sisa plastik dari darat ke laut.

"Kejayaan akan memerlukan kolaborasi dan usaha-usaha yang diselaraskan dalam banyak sector -- sebilangannya mewujudkan kemajuan jangka pendek dan sebahagian yang lain memerlukan pelaburan besar dengan garis masa yang lebih panjang. Menangani sisa plastik di alam sekitar dan membina ekonomi pusingan plastik memerlukan penyertaan semua pihak dalam seluruh rantaian nilai dan komitmen jangka panjang daripada perniagaan, kerajaan dan masyarakat. Tiada sebuah negara, syarikat atau komuniti yang dapat menyelesaikan masalah ini secara bersendirian," kata Ketua Pegawai Eksekutif Veolia Antoine Frerot, naib pengerusi AEPW.

Kajian daripada Ocean Conservancy menunjukkan bahawa hampir 80 peratus daripada sisa plastik di lautan bermula sebagai sampah di darat, sebahagian besarnya bergerak ke laut melalui sungai. Bahkan, satu kajian menganggarkan bahawa lebih 90 peratus daripada plastik bawaan sungai di lautan dibawa daripada 10 sungai utama di seluruh dunia – lapan sungai di Asia dan dua sungai di Afrika. Enam puluh peratus daripada sisa plastik di lautan diperoleh daripada lima negara di Asia Tenggara.

"Meskipun usaha kami akan bersifat global, Pakatan ini dapat memberi impak terbesar kepada masalah berkenaan dengan menumpu pada pelosok dunia yang menerima cabaran paling hebat; dan dengan berkongsi penyelesaian serta amalan terbaik agar usaha-usaha ini dapat diperhebat dan diperluas ke serata dunia," kata Peter Bakker, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif World Business Council for Sustainable Development.

Syarikat-syarikat berikut merupakan ahli-ahli pengasas Pakatan berkenaan: BASF, Berry Global, Braskem, Chevron Phillips Chemical Company LLC, Clariant, Covestro, Dow, DSM, ExxonMobil, Formosa Plastics Corporation USA, Henkel, LyondellBasell, Mitsubishi Chemical Holdings, Mitsui Chemicals, NOVA Chemicals, OxyChem, PolyOne, Procter & Gamble, Reliance Industries, SABIC, Sasol, SUEZ, Shell, SCG Chemicals, Sumitomo Chemical, Total, Veolia dan Versalis (Eni).

Siaran internet global secara langsung boleh ditonton di www.endplasticwaste.org/live. Siaran berkenaan akan bermula jam 14:00 GMT dan berlangsung kira-kira selama 30 minit.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.endplasticwaste.org

Logo - https://photos.prnasia.com/prnh/20190115/2347073-1logo

Source: Alliance to End Plastic Waste (AEPW)
Keywords: Environmental Products & Services Green Technology Contracts Corporate Social Responsibility