omniture

Smiths Detection beri peningkatan ketara keselamatan dan pengalaman penumpang di lapangan-lapangan terbang Wilayah Utara

Darwin dan Alice Springs merupakan lapangan terbang pertama di Australia menggunakan teknologi CT untuk pemeriksaan keselamatan
Smiths Detection
2019-02-19 15:46 1047

SYDNEY, 19 Februari 2019 /PRNewswire/ -- Smiths Detection hari ini mengumumkan bahawa ia telah dianugerahkan kontrak oleh Northern Territory (NT) Airports untuk membekalkan sistem pemeriksaan bagasi dan penumpang Tomografi Berkomputer (CT) canggih di lapangan terbang Darwin serta Alice Springs. Kerjasama yang diberikan oleh Smiths Detection ini menjadikan Lapangan Terbang Darwin Antarabangsa dan Lapangan Terbang Alice Springs sebagai lapangan terbang pertama di Australia yang menggunakan teknologi CT dalam proses pemeriksaan penumpang mereka.

NT Airports menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan kritikal kepada mereka yang mengembara melalui lapangan terbangnya serta merupakan penyumbang penting kepada ekonomi NT disebabkan oleh kedudukannya yang dekat dengan pasaran pelancongan dan perniagaan Asia serta kekuatan sektor sumber di NT. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjamin keselamatan dan sekuriti pelanggan kekal sebagai keutamaan tertinggi, NT Airports mencari rakan kongsi keselamatan yang menumpu pada aspek keselamatan pengembara dan pengalaman penumpang.

Ian Kew, Ketua Pegawai Eksekutif NT Airports, berkata: "Kami ingin memastikan pelanggan kami selamat, memudahkan peralihan mereka melalui lapangan terbang dan memberi ketenangan fikiran untuk semua. Kami berusaha untuk mencapai kecemerlangan dan kami turut teruja untuk bekerjasama dengan Smiths Detection yang berkongsi wawasan dan kesungguhan yang sama seperti kami."

Robert Phillips, Ketua Perancangan Keselamatan & Kontingensi untuk NT Airports turut bersetuju. "Peralatan pemeriksaan CT baharu memberikan keupayaan dipertingkat di samping memaksimumkan daya pemprosesan penumpang. Lapangan terbang kami akan dilengkapi dengan teknologi keselamatan termaju yang setanding dengan lapangan terbang terbaik di peringkat antarabangsa. Darwin dan Alice Springs akan menjadi lapangan terbang pertama di Australia yang dilengkapi sepenuhnya dengan teknologi canggih ini. Ini bukan sekadar membawa kepada kurangnya pencarian beg fizikal, tetapi juga memberi kemudahan yang lebih besar buat penumpang yang melepasi proses pemeriksaan kami," kata Phillips.

Smiths Detection akan memasang tujuh unit HI-SCAN 6040 CTiX sebagai sebahagian daripada pusat pemeriksaan bersepadu dengan iLane.evo, sistem pemulangan bekas automatik untuk pengendalian bekas secara automatik, demi memberikan aliran bekas yang stabil agar para pengembara di NT Airports dapat mengalami proses pemeriksaan yang lancar. Empat unit HI-SCAN 10080 XCT, untuk pemeriksaan bagasi, akan turut dipasang. Ini menawarkan pengendali keselamatan dengan tahap keselamatan dan kecekapan operasi yang lebih tinggi.

"Smiths Detection memahami pelbagai keperluan yang dihadapi oleh lapangan terbang dan komited untuk meningkatkan pengalaman dan keselamatan penumpang menggunakan teknologi dan kepakaran utama dunia kami dalam sistem CT," kata Jordan Thrupp, Pengarah Urusan Australia dan New Zealand, Smiths Detection. "Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan NT Airports untuk memberikan penyelesaian pemeriksaan keselamatan yang akan meningkatkan pengalaman perjalanan yang lancar untuk para penumpang."

HI-SCAN 6040 CTiX mendapat pensijilan TSA AT-2 dan kelulusan ECAC EDS CB C3 manakala HI-SCAN 10080 XCT mendapat piawaian keselamatan tertakrif yang tertinggi di EU dengan kelulusan ECAC sebagai sistem pengesanan bahan letupan Standard 3.1 untuk bagasi yang diperiksa.

Projek-projek di lapangan terbang Darwin dan Alice Springs dijadualkan untuk disiapkan menjelang pertengahan tahun 2020.

Latar Belakang Smiths Detection

Smiths Detection ialah peneraju global bagi teknologi pengesanan dan pemeriksaan ancaman untuk industri penerbangan, pelabuhan dan sempadan, keselamatan bandar dan juga pertahanan. Dengan lebih 40 tahun pengalaman ujian di lapangan, kami memberikan penyelesaian yang diperlukan untuk melindungi masyarakat daripada ancaman dan kemasukan secara haram melibatkan bahan letupan, senjata larangan, kontraban, bahan kimia toksik dan narkotik.

Smiths Detection ialah salah satu daripada lima bahagian operasi dalam Smiths Group, sebuah syarikat teknologi global yang tersenarai dalam Bursa Saham London. Mempunyai seramai lebih 23,000 kakitangan di lebih 50 negara, Smiths Group ialah peneraju dunia bagi aplikasi praktikal melibatkan teknologi termaju, menyediakan produk dan perkhidmatan untuk pasaran pengesanan ancaman dan kontraban, peralatan perubatan, tenaga dan komunikasi seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut kunjungi http://www.smithsdetection.com.

Logo - https://photos.prnasia.com/prnh/20180918/2240685-1LOGO

Source: Smiths Detection
Keywords: Airlines/Aviation Computer/Electronics High Tech Security Travel Contracts