omniture

Huawei Perkenal AirEngine sebagai Jenama Wi-Fi Baharu dan Umum Penggunaan Pasaran Besar-besaran Global Produk Wi-Fi 6

Huawei
2019-04-22 07:40 497

SHENZHEN, China, 19 April 2019 /PRNewswire/ -- Di Sidang Kemuncak Penganalisis Global Huawei 2019, Huawei dan Wi-Fi Alliance (WFA) mengadakan mesyuarat meja bulat media dengan tema "Wi-Fi 6, Merungkai Nilai Perniagaan." Di mesyuarat meja bulat media tersebut, Huawei mengumumkan AirEngine sebagai jenama Wi-Fi baharunya, yang akan diaplikasikan untuk siri penuh produk Wi-Fi 6 kelas perusahaannya. Selain itu, dengan kehadiran rakan media dan penganalisis global di lapangan, Huawei menekankan bahawa produk-produk Wi-Fi 6 telah digunakan secara meluas di lima wilayah utama seluruh dunia.

Aplikasi-aplikasi baru muncul seperti Realiti Maya (VR), Realiti Imbuhan (AR) dan 4K memerlukan lebih lebar jalur, keserentakan lebih tinggi dan kependaman lebih rendah yang memberi cabaran kepada rangkaian Wi-Fi tradisional. Cabaran-cabaran ini perlu ditangani secepat mungkin semasa transformasi digital perusahaan. Di sinilah AirEngine Huawei memainkan peranannya. AirEngine merupakan bukti komitmen Huawei kepada rangkaian Wi-Fi berkualiti tinggi. Ia berperanan sebagai enjin sambungan tanpa wayar yang mempercepatkan transformasi digital perkhidmatan perusahaan.

Tiga faedah menarik yang menjadikan AirEngine menonjol: prestasi ultra tinggi, pengalaman pengguna optimum dan pendayaan perniagaan baharu. AirEngine menampilkan prestasi terbaik dalam industri, sebagaimana yang disahkan oleh Tolly, sebuah organisasi pengujian antarabangsa yang berpengaruh. AirEngine memanfaatkan kekuatan teknikal yang berasal daripada teknologi antena pintar 5G dan teknologi pemecutan aplikasi pintar serta mencapai pengoptimuman pintar demi pengalaman pengguna serta kesinambungan perkhidmatan yang optimum. AirEngine juga dapat menampung aplikasi-aplikasi baharu seperti 4K dan WR serta memanfaatkan kerjasama mendalam bersama rakan-rakan kongsi bagi mencapai transformasi tanpa wayar untuk pengajaran, penyelidikan, pengilangan dan perkhidmatan misi kritikal yang lain, selain mendayakan perniagaan baharu.

"Dengan kekuatan teknikal yang tiada tandingan, AirEngine Huawei membolehkan rangkaian tanpa wayar membawa perkhidmatan rangkaian berwayar tradisional dengan cekap dan andal. Faedah-faedah biasa termasuk pengajaran VR/AR yang lancar dalam pendidikan, persidangan berdefinisi tinggi 4K dan pejabat tanpa wayar untuk perusahaan selain Kenderaan Berpandu Automatik (AGV) tanpa kehilangan paket dalam persekitaran pengilangan industri. AirEngine Huawei akan mempercepatkan transformasi digital perusahaan merentas pelbagai industri," kata Zhao Zhipeng, Presiden Domain Rangkaian Kampus Rangkaian Produk Komunikasi Data Huawei. "Huawei, penyumbang utama kepada standard Wi-Fi 6, aktif mempromosikan pembangunan seluruh industri. Huawei merupakan vendor pertama melancarkan produk-produk Wi-Fi 6 komersial. Pada masa kini, AP Wi-Fi 6 kami digunakan di lima wilayah utama di seluruh dunia."

Di mesyuarat meja bulat media, Kevin Robinson, Naib Presiden Pemasaran untuk WFA, berkongsi tentang pembangunan dan ramalan industri Wi-Fi 6 yang terkini serta memberikan idea-idea berwawasan tentang impak Wi-Fi 6 terhadap transformasi digital perusahaan. Beliau menyatakan: "Kami menghargai sumbangan besar Huawei terhadap pembangunan Wi-Fi 6, bermula dengan standard serta prototaip seterusnya kepada kegunaan komersial. WFA percaya bahawa tahun 2019 bakal menjadi tahun kegunaan komersial Wi-Fi 6 dan ia akan melancarkan program pensijilan Wi-Fi 6 pada suku ketiga tahun 2019."

AirEngine direka khas untuk pembinaan rangkaian Wi-Fi berkualiti tinggi utama yang membawakan sambungan berprestasi tinggi, pengalaman pengguna yang optimum serta pendayaan perniagaan baharu. Huawei dan rakan-rakan kongsinya akan berkolaborasi erat untuk menyediakan sambungan merata dan kecerdasan pervasif kepada pelanggan kerajaan dan perusahaan. Selain itu, Huawei akan terus menggunakan Platform Digital bagi menyepadukan ICT baharu, lalu membantu pelanggan menavigasi transformasi digital.

Latar Belakang Huawei

Huawei ialah penyedia global yang terkemuka bagi infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta peranti pintar. Dengan penyelesaian bersepadu merentas empat domain utama, iaitu rangkaian telekomunikasi, IT, peranti pintar dan perkhidmatan awan, kami komited untuk membawa kemudahan digital kepada setiap individu, kediaman dan organisasi demi dunia pintar yang terhubung sepenuhnya.

Portfolio hujung-ke-hujung produk, penyelesaian dan perkhidmatan Huawei adalah kompetitif dan terjamin. Melalui kolaborasi terbuka dengan rakan-rakan kongsi ekosistem, kami mencipta nilai berkekalan untuk pelanggan kami, berusaha untuk memperkasa orang ramai, memperkayakan kehidupan rumah dan menginspirasikan inovasi dalam semua jenis organisasi.

Di Huawei, inovasi menumpu pada keperluan pelanggan. Kami banyak melabur dalam penyelidikan asas, memberi tumpuan pada penemuan teknologi yang memacu dunia ke hadapan. Kami mempunyai lebih 180,000 kakitangan dan kami beroperasi di lebih 170 negara dan wilayah. Ditubuhkan pada tahun 1987, Huawei ialah sebuah syarikat persendirian yang dimiliki sepenuhnya oleh kakitangannya.

Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi Huawei secara dalam talian di www.huawei.com atau ikuti kami di:
http://www.linkedin.com/company/Huawei  
http://www.twitter.com/Huawei  
http://www.facebook.com/Huawei  
http://www.youtube.com/Huawei

Source: Huawei
Related Links:
Keywords: Computer Hardware Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Internet Technology Telecommunications Telecommunications Equipment Wireless Communications New products/services