omniture

Penilaian Global Terhadap Keadaan Alam Semula Jadi Tunjukkan Tindakan Segera Diperlukan Untuk Lindungi Manusia Dan Bumi

Campaign for Nature
2019-05-06 19:00 248

PARIS, 6 Mei 2019 /PRNewswire/ -- Satu laporan baharu yang diusahakan selama bertahun-tahun dikeluarkan hari ini oleh 150 saintis yang terkemuka di dunia, memberi gambaran yang menggerunkan tentang keadaan kawasan darat, lautan dan hidupan liar bumi. Menurut pemimpin-pemimpin Campaign for Nature, ia menegaskan keperluan segera untuk pemimpin-pemimpin dunia menyatakan komitmen terhadap perjanjian global yang bercita-cita tinggi untuk melindungi alam semula jadi dan seterusnya, hidupan di Bumi.

Penilaian global daripada Platform Dasar-Sains Antara Kerajaan tentang Perkhidmatan Biodiversiti dan Ekosistem (IPBES) yang dimandatkan oleh PBB— sebuah organisasi saudara bagi Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) — mendapati bahawa kemusnahan alam semula jadi dan krisis kepupusan hidupan liar yang terjadi akibat daripadanya adalah lebih teruk berbanding yang diketahui sebelum ini.

"Alam semula jadi berdepan krisis dengan akibat-akibat buruk terhadap kesihatan dan kesejahteraan manusia," kata Brian O'Donnell, pengarah Campaign for Nature. "Walau bagaimanapun, masih belum terlambat untuk mengubahnya. Bagi menangani keseriusan masalah berkenaan, kerajaan-kerajaan kini haruslah menyatakan komitmen untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada bumi menjelang tahun 2030."

Meskipun negara-negara telah melakar beberapa kemajuan ke arah melindungi kawasan-kawasan alam semula jadi yang kritikal—kini, kira-kira 15 peratus daripada kawasan darat dan 7 peratus lautan—saintis-saintis bersetuju bahawa kemajuan yang dibuat masih belum mencukupi.

Antara cadangan daripada laporan ini, pakar-pakar menggesa lebih banyak kawasan dilindungi seperti taman, kawasan perlindungan hidupan liar dan kawasan perlindungan pribumi, berserta komitmen padu untuk meningkatkan pembiayaan bagi tujuan pemuliharaan secara besar-besaran. Penilaian global ini menguatkan lagi amaran-amaran terkini daripada saintis-saintis bahawa kerajaan-kerajaan perlu menangani krisis dalam alam semula jadi dengan kadar segera yang sama sebagaimana perubahan iklim.

"Sekiranya kita prihatin terhadap bentuk-bentuk kehidupan yang lain, sekiranya kita prihatin terhadap masa depan anak-anak kita, sekiranya kita prihatin tentang persekitaran yang selamat atau untuk mencapai sasaran pembangunan, maka, hanya satu jalan yang ada apabila melibatkan alam semula jadi: Kita perlu menyelamatkan apa yang tinggal. Kita perlu menyelamatkan separuh daripada bumi menjelang tahun 2050 dengan sasaran interim 30 peratus menjelang tahun 2030," kata Jonathan Baillie, naib presiden eksekutif dan ketua saintis di National Geographic Society. "Bagi mencapat matlamat-matlamat ini, kita seterusnya perlu memulihkan alam semula jadi dan memacu inovasi. Hanya dengan cara tersebut kita dapat meninggalkan bumi yang sihat dan lestari kepada generasi-generasi masa depan."

Hampir 100 kumpulan dari seluruh dunia—termasuk orang asli, organisasi pemuliharaan dan yayasan dermawan—telah menyokong matlamat untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada bumi menjelang tahun 2030 untuk menangani ancaman-ancaman segera melibatkan perubahan iklim, kemusnahan habitat dan kepupusan spesies.

"Penilaian global menekankan sumbangan penting pengetahuan pribumi dan tradisional dalam melindungi alam semula jadi sekiranya kita ingin melindungi bumi kita dengan jayanya. Khususnya, laporan ini menunjukkan bahawa dahulunya orang asli telah melaksanakan tugas yang lebih baik dalam mengurus dan memelihara biodiversiti berbanding kerajaan-kerajaan negara. Ia turut menekankan bahawa orang asli mengurus atau mempunyai hak penguasaan terhadap kawasan-kawasan penting dalam biodiversiti dunia, termasuk kira-kira 37 peratus daripada kawasan darat yang tidak dilindungi di dunia yang masih berada dalam keadaan semula jadi."

"Melibatkan masyarakat pribumi dan menggalakkan usaha pemuliharaan yang diterajui oleh orang asli adalah penting demi mencapai kejayaan," kata Francisco von Hildebrand, pengarah Gaia Amazonas Foundation, rakan kongsi Campaign for Nature. "Usaha pemuliharaan yang diterajui oleh orang asli dan juga masyarakat setempat ialah salah satu cara yang paling berkesan untuk melindungi alam semula jadi. Sebarang perjanjian baharu bertaraf global untuk alam semula jadi harus mencerminkan dan melibatkan suara, keutamaan dan wawasan masyarakat pribumi di seluruh dunia."

"Kesihatan dan kesejahteraan setiap individu di bumi kita bergantung pada kebolehan kolektif kita untuk melindungi dengan lebih baik kawasan darat, hidupan liar dan perairan buat generasi-generasi masa depan. Untuk melindungi air yang menjadi minuman kita, udara bersih untuk kita bernafas dan sistem semula jadi yang menjadi pergantungan ekonomi global, kita perlu meluaskan dengan pesat kawasan-kawasan yang dilindungi di seluruh dunia," kata Molly McUsic, presiden Wyss Foundation, sebuah organisasi dermawan yang melabur sebanyak lebih $1 bilion sepanjang dekad seterusnya untuk melindungi kawasan darat dan lautan di seluruh dunia. "Kejayaan boleh dikecapi. Namun demikian, ia memerlukan kerajaan-kerajaan—berserta perniagaan-perniagaan, yayasan-yayasan dan NGO— menyatakan komitmen terhadap sumber kewangan yang diperlukan untuk melindungi alam semula jadi."

"Laporan hari ini adalah bersifat definitif: Alam semula jadi sedang mengalami krisis dan masa bertindak adalah sekarang," simpul O'Donnell. "Kita memerlukan kerajaan-kerajaan bagi menangani ancaman utama terhadap alam semula jadi, kemusnahan habitat dan bersetuju untuk melindungi 30 peratus daripada bumi menjelang tahun 2030 dan membiayainya. Masa yang berbaki tidak harus dibazirkan lagi. Tiada butang set semula untuk kemusnahan biodiversiti. Pupus bermakna hilang buat selama-lamanya."

Latar Belakang Campaign for Nature
Campaign for Nature ialah satu usaha global untuk meningkatkan kesedaran terhadap ancaman yang dihadapi oleh alam semula jadi kita dan bagi menginspirasikan pemimpin-pemimpin dunia untuk mengambil tindakan bagi melindunginya. Dilancarkan pada Oktober 2018, Wyss Campaign for Nature, National Geographic Society dan gabungan penyokong usaha pemuliharaan yang semakin berkembang menggesa penggubal-penggubal dasar untuk menyatakan komitmen terhadap sasaran yang jelas dan bercita-cita tinggi di Konvensyen mengenai Persidangan Kepelbagaian Biologi Pihak-pihak pada Oktober 2020 untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus daripada bumi menjelang tahun 2030.

Logo - https://mma.prnewswire.com/media/881326/National_Geographic_and_Campaign_for_Nature_Logo.jpg

 

Source: Campaign for Nature
Keywords: Environmental Products & Services Conservation/Recycling Domestic policy Environmental Issues Environmental Policy Survey, Polls & Research Public Interest