omniture

Waves Tembusi Pasaran dApps, Lancar Fungsi Kontrak Pintar

Waves Platform
2019-06-25 14:00 89

Penambahan baharu yang telah lama dinanti-nantikan telahpun tiba dalam kontrak pintar dan segmen dApps 

ZUG, Switzerland, 25 Jun 2019 /PRNewswire/ -- Waves Platform, ekosistem rantaian blok terpencar untuk membina penyelesaian Web 3.0, melancarkan bahasa pengaturcaraan rekaan khasnya RIDE melalui mainnet – membolehkan pembangun global mencipta aplikasi terpencar yang mantap pada rantaian blok Waves.

Penyelesaian inovatif 

Waves mendakwa bahawa penyelesaiannya mempunyai kelebihan berbanding alternatif semasa termasuk platform-platform yang paling popular: Ethereum, EOS dan TRON. Kelebihan ini termasuk bahasa pengaturcaraan RIDE yang mesra pembangun, yang membantu pengguna untuk mengelakkan kesilapan dalam proses pengekodan: penilaian tertangguh, pengesahan rasmi, keperluan tanpa gas, bayaran sama rata untuk transaksi dan ciri-ciri kebolehskalaan yang lebih baik.

Alexander Ivanov, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Waves, percaya bahawa pelancaran RIDE akan menarik minat sejumlah besar pembangun ke platform ini, daripada rantaian blok yang bersaing dan dari luar bidang rantaian blok.

"dApps dianggap sebagai masa depan dunia terpencar dan platform yang mendepani perjuangan ini akan mencapai kedudukan tertinggi," ulas beliau. "Kami beraspirasi untuk berada di kedudukan teratas kerana kami membina penyelesaian asli yang belum pernah dilancarkan sebelum ini dan turut mengambil kira masalah pelaksanaan yang telahpun wujud dalam pasaran."

"Untuk pembangun rantaian blok, ini menandakan proses pengekodan yang lebih murah dan lebih mudah berbanding sebelum ini, manakala mereka dari luar segmen rantaian blok akan melihat ambang kemasukan diturunkan dengan ketara dan ketibaan peluang-peluang baharu," tambah beliau.

Impak pada segmen 

Pada masa kini segmen dApps dinilaikan pada $3.2 bilion, dengan jumlah pengguna pada empat platform teratas mencecah hampir 800,000 – meningkat 25% untuk suku pertama tahun 2019. Penganalisis meramalkan peningkatan dalam segmen dApps sepanjang dua hingga tiga tahun akan datang.

dApps bukan sekadar berpotensi mendemokrasikan penyimpanan, perdagangan dan pertaruhan, tetapi juga pilihan raya, perundangan dan perkhidmatan dan acara awam yang lain. dApps berkenaan akan ditulis dan dilancarkan pada platform-platform sedia ada, yang bilangannya mencecah berpuluh-puluh banyaknya. Walau bagaimanapun, platform-platform yang terbesar dan paling terkenal juga masih belum selaras sepenuhnya dengan keperluan pembangun. Pelancaran kontrak pintar Waves dijangka akan meningkatkan persaingan antara platform dan menggalakkan peluasan segmen.

Waves Platform ditubuhkan pada tahun 2016 bersama pasukan dengan 10 pembangun setelah mengumpul $16 juta dalam pelaburan. Pada masa kini, syarikat ini menggaji 180 pekerja di Moscow, Amsterdam dan Zug. Terdapat 664,074 pengguna aktif (+30% berbanding tahun sebelumnya bagi 2019/2018) yang menyediakan 100,861 urus niaga secara purata setiap hari (menurut blocktivity.info).

Waves ialah asas teknologi untuk projek Vostok yang menarik pelaburan sebanyak $120 juta pada bulan Disember 2018 untuk membangunkan rantaian blok persendirian sektor-sektor korporat dan juga awam.

Logo - https://mma.prnewswire.com/media/927195/Waves_Logo.jpg

 

Source: Waves Platform
Keywords: Computer Networks Computer Software Computer/Electronics Multimedia/Online/Internet Telecommunications New products/services Blockchain