omniture

SAMI Peroleh Advanced Electronics Company (AEC) berpangkalan di Riyadh

SAMI
2019-06-27 21:30 96

Pemerolehan 100% kepentingan dalam syarikat Program Imbangan Ekonomi Saudi akan bolehkan SAMI percepat aspirasi elektronik pertahanan OEM-agnostik  

LONDON, 27 Jun 2019 /PRNewswire/ -- Saudi Arabian Military Industries (SAMI) hari ini mengumumkan penandatanganan Perjanjian Lembaran Terma untuk memperoleh 100 peratus pemilikan dalam Advanced Electronics Company (AEC). Penandatanganan perjanjian ini diadakan di acara industri Arab Saudi – UK di London yang dihadiri oleh wakil-wakil pemegang saham kanan, termasuk Tuan Yang Terutama Ahmed Al-Khateeb, Pengerusi SAMI dan Sir Roger Carr, Pengerusi BAE Systems.

SAMI Peroleh Advanced Electronics Company (AEC) berpangkalan di Riyadh
SAMI Peroleh Advanced Electronics Company (AEC) berpangkalan di Riyadh

Pelaburan SAMI dalam AEC, firma sektor swasta berpangkalan di Riyadh yang mengkhusus dalam kejuruteraan, pembangunan, pembuatan, pembaikan dan sokongan teknikal dalam pertahanan, Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), tenaga, keselamatan siber dan bidang berteknologi tinggi, di peringkat tempatan, kebangsaan, serantau dan antarabangsa, menjadi sebahagian daripada usaha berterusan SAMI yang bertujuan untuk meningkatkan pembuatan pertahanan tempatan di Kerajaan Arab Saudi, selari dengan hala tuju Wawasan Saudi 2030.

T.Y.T. Ahmed Al-Khateeb, Pengerusi SAMI, berkata: "Asas untuk permulaan dan pertumbuhan SAMI telah disediakan tiga tahun lalu menerusi pengumuman Wawasan Saudi 2030. Perjalanan SAMI bermula pada tahun 2017 dan sejak itu kami telah mara ke hadapan dengan sokongan kepimpinan negara kami, usaha teguh pasukan kami dan sokongan daripada rakan kongsi kami. Perjanjian yang dimeterai hari ini menandakan satu pencapaian penting buat kami tatkala kami memajukan usaha kami untuk membina sektor industri ketenteraan yang kuat, dinamik dan mampan di Arab Saudi."

T.Y.T. Al-Khateeb menambah: "Elektronik pertahanan ialah satu elemen misi-kritikal dalam sektor pertahanan dan pemerolehan AEC mewujudkan kehadiran SAMI yang mantap dalam peta industri pertahanan global. Dengan melanjutkan aspirasi kami dalam sektor berkenaan, ia akan membantu kami mendorong kandungan tempatan dan merangsang pertumbuhan ekonomi."

Ditubuhkan pada tahun 1988 di bawah Program Imbangan Ekonomi Saudi dan di bawah pemilikan beberapa buah syarikat termasuk syarikat pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan antarabangsa BAE Systems, AEC memainkan peranan perintis dalam bidang elektronik moden, pembuatan, penyepaduan sistem dan perkhidmatan pembaikan serta penyelenggaraan selama hampir tiga dekad, menjadi pengusaha serantau utama yang terkenal dengan inovasi. AEC mengkhusus dalam reka bentuk, pembangunan, pembuatan, penyelenggaraan dan pembaikan beberapa sistem, peranti dan peralatan elektronik industri dan ketenteraan termaju seperti kuasa elektrik pintar dan sistem meter air, sistem perlindungan keselamatan untuk infrastruktur penting, sistem kawalan perindustrian, sistem penglihatan untuk pesawat Typhoon, penyesak dan sistem interferens untuk pesawat F-15, unit elektronik untuk pesawat F-16, peralatan darat dan simulator latihan untuk pesawat Hawk 165 dan sistem penglihatan untuk pesawat Tornado, antara lain.

Pertumbuhan berevolusi AEC telah menyaksikan syarikat memainkan peranan penting dalam menyetempatkan pengeluaran ketenteraan, menggunakan teknologi pintar dan mempercepatkan pertumbuhan perindustrian dan komersial, sambil mengekalkan kadar nasionalisasi Saudi (Saudization) sebanyak lebih 80% dan kadar penyiapan 100% dalam lebih 1,000 projek. AEC telah membangunkan rangka kerjanya sendiri, Kaedah Bersepadu Bersekutu (Aligned Integrated Methodology, AIM) yang menyediakan pendekatan seragam terhadap tadbir urus dan penyerahan, dan membentuk kaedah-kaedah dalam Pengurusan Portfolio, Program dan Projek.

Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, AEC menyaksikan pertumbuhan mantap dalam jualannya berbanding tahun sebelumnya, dengan jualan bersih pada tahun 2018 meningkat kepada 2.07 bilion riyal Saudi, berbanding 1.925 bilion riyal Saudi pada tahun 2017, dan 1.65 bilion riyal Saudi pada tahun 2016.

Susulan pemerolehan berkenaan, AEC akan membentuk teras untuk menubuhkan bahagian perniagaan penyelesaian elektronik pertahanan dan teknologi pertahanan tempatan pengilang peralatan asli (OEM)-agnostik SAMI, merentas semua aliran perniagaannya. Di samping itu, bilangan pekerja SAMI akan meningkat dengan ketara dengan mencecah 2,200 pekerja hasil daripada pemerolehan ini.

Selain memudahkan Pemindahan Teknologi (ToT), meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengukuhkan kerja-kerja kejuruteraan, reka bentuk, pembangunan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pemerolehan ini akan membolehkan SAMI, melalui AEC, membangunkan produk-produk matangnya sendiri bagi mencapai matlamat strategiknya yang ditetapkan untuk tahun 2030.

Sejak ditubuhkan pada pertengahan tahun 2017, SAMI telah memimpin usaha-usaha Arab Saudi untuk membangunkan keupayaan pertahanan mampu-diri menerusi portfolio produk dan perkhidmatan ketenteraannya yang pantas berkembang mencakupi empat bahagian perniagaan iaitu Aeronautik, Sistem Darat, Senjata dan Peluru Berpandu, serta Elektronik Pertahanan.

Latar Belakang Saudi Arabian Military Industries (SAMI):
Dilancarkan pada Mei 2017, Saudi Arabian Military Industries (SAMI) ialah sebuah syarikat industri-industri ketenteraan milik negara yang berfungsi di bawah hala tuju yang digariskan dalam Wawasan Saudi 2030. Bertujuan untuk menjadi antara 25 syarikat industri ketenteraan terbaik di dunia menjelang tahun 2030, SAMI dijangka untuk memainkan peranan penting dalam menyetempatkan 50% daripada jumlah perbelanjaan ketenteraan Kerajaan Arab Saudi.

SAMI menggabungkan teknologi terkini dan bakat negara terbaik untuk membangunkan produk dan perkhidmatan ketenteraan agar setanding dengan piawaian antarabangsa dalam empat bahagian perniagaan iaitu Aeronautik, Sistem Darat, Senjata dan Peluru Berpandu serta Elektronik Pertahanan. Syarikat turut memberi tumpuan untuk meningkatkan eksport dan membawakan pelaburan asing ke dalam sektor industri-industri ketenteraan Kerajaan Arab Saudi.

Foto - https://mma.prnewswire.com/media/927858/SAMI_AEC.jpg

 

 

Source: SAMI
Keywords: Aerospace/Defense Computer/Electronics Electronic Components High Tech Security Homeland Security Acquisitions, mergers, takeovers Contracts