LONDON, 1 Julai 2019 /PRNewswire/ -- Nippon Telegraph dan Telephone Corporation (NTT Corporation) hari ini melancarkan NTT Ltd., penyedia perkhidmatan teknologi global yang utama di dunia yang menghimpunkan keupayaan 28 syarikat termasuk NTT Communications, Dimension Data dan NTT Security untuk menjadi satu perniagaan bernilai US $11 bilion.
Dengan ibu pejabatnya yang terletak di London, dan sekitar 40,000 kakitangan merentas lebih 70 negara, syarikat NTT baharu ini memberi keupayaan yang tiada tandingan dan skala global yang memberi tumpuan untuk melakukan perkara-perkara hebat buat orang ramai, perniagaan dan masyarakat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif untuk NTT Corporation, Jun Sawada berkata, "Saya berasa gembira untuk mengumumkan bahawa kami melancarkan NTT Ltd. hari ini. Apabila kami menggabungkan keupayaan baharu NTT Ltd. dengan NTT DATA, kami mewujudkan penyedia penyelesaian teknologi dan perniagaan global lima terbaik dengan pendapatan sebanyak US$20 bilion di luar Jepun. Menuju masa depan, kami akan mempercepatkan pelaksanaan kami sebagai satu NTT bagi menyumbang kepada dunia yang lebih pintar dan lebih baik melalui transformasi digital.
"Kami juga teruja untuk mengesahkan bahawa ibu pejabat global kami untuk NTT Ltd akan berada di London dan komitmen kami terhadap UK kekal utuh. Kami telah mempertimbangkan beberapa lokasi sebagai ibu pejabat untuk NTT Ltd dan telah membuat keputusan yang teliti untuk memilih London. Ia mempunyai banyak faedah, termasuk ekonomi yang stabil, kekayaan kemahiran dan bakat, kepelbagaian dalam populasi dan pemikiran, infrastruktur yang kukuh, sekolah dan perumahan untuk bakat global yang berpindah ke bandar tersebut. Ringkasnya, ia merupakan sebuah bandar yang hebat untuk menetap dan bekerja dan kami teruja kerana kami dapat menjadikannya pusat untuk perniagaan baharu kami."
Perdana Menteri UK Theresa May berkata, "Britain mempunyai reputasi sebagai peneraju teknologi global dan kami amat bangga bahawa NTT Ltd. telah memilih London untuk menjadi ibu pejabat globalnya. Satu bahagian penting dalam Strategi Perindustrian moden kami ialah meletakkan UK di barisan hadapan revolusi teknologi dan data, dan NTT Ltd. akan menyertai banyak syarikat terkemuka di dunia yang memanggil Britain sebagai rumah."
Dengan menghimpunkan syarikat-syarikat ini, kami dapat menawarkan:
Syarikat baharu ini telahpun bekerjasama dengan lebih 10,000 pelanggan di seluruh dunia termasuk organisasi-organisasi yang terkemuka di dunia dalam sektor perkhidmatan kewangan, farmaseutikal, telekomunikasi, tenaga & utiliti, pembuatan, automotif dan teknologi. Syarikat-syarikat yang telah mendapat manfaat daripada penyelesaian teknologi pintar NTT bagi menunaikan janji masa depan yang terhubung termasuk Tour de France, ALMA, City of Las Vegas, Connected Conservation, ISPPC, Alcatel dan NXP.
Tsunehisa Okuno, Pengerusi untuk NTT Ltd. dan Naib Presiden Eksekutif untuk NTT Corporation, mengulas, "Hari ini, NTT meneruskan warisan 120 tahunnya yang sentiasa mendengar dan menginovasi untuk pelanggan kami. Selain mewujudkan penyedia teknologi dan perkhidmatan terurus yang amat utuh di NTT Ltd., kami turut meningkatkan komitmen kami untuk lebih banyak melabur dalam R&D, syarikat teknologi baharu melalui dana usaha niaga kami dan membangunkan pasukan perniagaan inovasi disruptif kami. Kami melihat peluang untuk membantu pelanggan dan komuniti kami dengan lebih efektif apabila kami membawa semua keupayaan ini bersama."
Jason Goodall, Ketua Pegawai Eksekutif untuk NTT Ltd, mengulas, "Saya berasa amat bangga untuk memimpin NTT menuju ke era baharu yang mengujakan. Hari ini, kami telah mewujudkan penyedia perkhidmatan teknologi global yang membawakan keluasan penuh produk, penyelesaian dan perkhidmatan terurus yang utama dalam industri untuk memenuhi keperluan perniagaan pelanggan kami. Kami sedia maklum bahawa teknologi tidak akan berhenti berkembang, bahkan, kami juga begitu. Kami akan terus membawa perniagaan kami ke hadapan bagi memastikan kami menyediakan penyelesaian yang relevan untuk masa kini dan masa depan. Kami juga berasa teruja untuk menjadi sebahagian daripada penyedia penyelesaian teknologi dan perniagaan yang terbesar di dunia dan berharap dapat bekerjasama dengan pelanggan kami di seluruh dunia menerusi rangkaian keupayaan kami sepenuhnya."
Mengulas tentang penyepaduan ini, Chris Barnard, Naib Presiden untuk Infrastruktur Perusahaan dan Komunikasi di IDC, berkata, "Organisasi di seluruh dunia semakin mencari syarikat teknologi yang boleh menyesuaikan diri dan menyokong mereka merentasi pelbagai cabaran dari segi masyarakat, pertanian dan pengilangan. Cabaran ini memerlukan penyelesaian terintegrasi yang akan membantu mereka memanfaatkan kuasa platform IoT, analisis dan kolaborasi. Dalam usaha untuk menyatu sebagai sebuah syarikat, NTT mengakui hakikat ini, memberikan mereka satu pandangan tunggal merentas organisasi mereka demi memperoleh pemahaman yang lebih dalam dan membantu mereka berubah untuk mendapat manfaat hasil daripada perubahan."
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web baharu kami – www.hello.global.ntt
Latar Belakang NTT Ltd.
NTT Ltd. ialah sebuah syarikat perkhidmatan teknologi global yang terkemuka. Kami bekerjasama dengan organisasi di seluruh dunia untuk membentuk dan mencapai hasil melalui penyelesaian teknologi pintar. Bagi kami, pintar bermaksud dipacu data, terhubung, digital dan terjamin. Sebagai penyedia ICT global, kami mempunyai lebih 40,000 kakitangan di tempat kerja yang pelbagai dan dinamik di 57 negara, berdagang di 73 negara dan menyediakan perkhidmatan kami di lebih 200 negara. Kami bersama-sama mendayakan masa depan terhubung. Lawati laman web baharu kami di www.hello.global.ntt