![]() |
LONDON, 13 September 2019 /PRNewswire/ -- Majlis Emas Dunia, organisasi pembangunan pasaran untuk industri emas, hari ini mengumumkan pelancaran Prinsip-prinsip Perlombongan Emas Bertanggungjawabnya.
Prinsip-prinsip ini merupakan rangka kerja yang menyatakan harapan yang jelas kepada pengguna, pelabur dan rantaian bekalan emas hiliran mengenai apa yang dikatakan sebagai perlombongan emas yang bertanggungjawab. Majlis Emas Dunia, bekerjasama dengan Ahli-ahlinya, syarikat-syarikat perlombongan emas yang terkemuka di dunia, telah menyatakan Prinsip-prinsip yang dipercayai dapat menangani isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus utama untuk sektor perlombongan emas.
Menjadi matlamat Majlis Emas Dunia agar Prinsip-prinsip Perlombongan Emas Bertanggungjawab akan menjadi rangka kerja yang berwibawa dan diiktiraf secara meluas yang melaluinya syarikat-syarikat perlombongan emas dapat memberi keyakinan bahawa emas mereka telah dihasilkan dengan bertanggungjawab. Majlis Emas Dunia menyedari bahawa pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus menjadi semakin penting kepada pengguna.
Prinsip-prinsip Perlombongan Emas Bertanggungjawab bertujuan untuk mengenali dan menyatukan piawaian dan instrumen sedia ada di bawah satu rangka kerja.
Syarikat-syarikat yang melaksanakan Prinsip-prinsip Perlombongan Emas Bertanggungjawab akan perlu mendapatkan jaminan luar daripada pihak ketiga, penyedia jaminan bebas. Ini akan memberi keyakinan selanjutnya kepada pembeli emas bahawa emas yang dibeli oleh mereka dilombong dan diperoleh secara bertanggungjawab.
Gary Goldberg, Ketua Pegawai Eksekutif Newmont Goldcorp, yang menyelia inisiatif ini bagi pihak Lembaga Majlis Emas Dunia berkata: "Pematuhan kepada prinsip-prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus yang mantap harus menjadi bahagian penting dalam mana-mana perniagaan perlombongan yang bertanggungjawab dan oleh itu, Ahli-ahli Majlis Emas Dunia telah berkolaborasi, bersama-sama pemegang kepentingan industri utama, untuk membangunkan Prinsip-prinsip Perlombongan Emas Bertanggungjawab. Dengan tumpuan berterusan Ahli-ahli untuk meningkatkan prestasi alam sekitar, sosial dan tadbir urus, formalisasi Prinsip-prinsip Perlombongan Emas Bertanggungjawab merupakan satu evolusi biasa dalam amalan kerja harian kami. Saya berharap agar Prinsip-prinsip ini akan diguna pakai secara meluas, bukan sahaja oleh syarikat-syarikat Ahli, tetapi oleh industri secara lebih meluas."
Terry Heymann, Ketua Pegawai Kewangan bagi Majlis Emas Dunia berkata: "Matlamat kami adalah agar Prinsip-prinsip Perlombongan Emas Bertanggungjawab dapat memperkukuh kepercayaan dalam emas dan industri perlombongan emas. Pengguna, pelabur dan rantaian bekalan emas hiliran akan berupaya untuk mengetahui dengan yakin bahawa emas mereka telah diperoleh secara bertanggungjawab. Prinsip-prinsip ini menggabungkan maklum balas daripada lebih 200 organisasi dan individu melalui dua pusingan rundingan dan diwujudkan untuk menyokong operasi yang cekap dalam pasaran emas."
Prinsip-prinsip ini boleh diakses di sini.
Anda boleh mengikuti Majlis Emas Dunia di Twitter at @goldcouncil dan Klik Suka di Facebook.
Catatan untuk editor:
Majlis Emas Dunia
Majlis Emas Dunia ialah sebuah organisasi pembangunan pasaran untuk industri emas. Tujuan kami adalah untuk merangsang dan mengekalkan permintaan terhadap emas, menyediakan kepimpinan industri dan menjadi pihak berkuasa global dalam pasaran emas.
Kami membangunkan penyelesaian, perkhidmatan dan produk bersandarkan emas, berdasarkan maklumat pasaran yang berwibawa dan kami bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi bagi menjadikan idea-idea kami suatu kenyataan. Hasilnya, kami mewujudkan perubahan struktur dari segi permintaan terhadap emas merentas sektor-sektor pasaran utama. Kami menyediakan pandangan untuk pasaran emas antarabangsa, membantu orang ramai untuk memahami kualiti pemeliharaan kekayaan menerusi emas dan peranannya dalam memenuhi keperluan sosial dan alam sekitar masyarakat.
Keahlian Majlis Emas Dunia melibatkan syarikat-syarikat perlombongan emas yang terkemuka dan paling berpandangan jauh di dunia.
Logo - https://mma.prnewswire.com/media/878906/World_Gold_Council_Logo.jpg