NEW YORK, 23 September 2019 /PRNewswire/ -- Jawatankuasa Tinggi Persaudaraan Manusia telah berkumpul sempena satu perhimpunan global di New York Public Library yang mana mereka berkongsi misi mereka bersama pihak pemegang kepentingan untuk memajukan budaya saling menghormati dan dialog merentas seluruh latar belakang, kepercayaan dan bangsa.
Badan baharu ini diperkasa untuk memberi bimbingan dan nasihat bagi merealisasikan matlamat Dokumen Persaudaraan Manusia untuk Keamanan Dunia dan Tinggal Bersama-sama yang ditandatangani oleh Yang Mulia Pope Francis Gereja Katolik dan Imam Besar al-Azhar, Yang Berhormat Sheikh Ahmed el-Tayeb, di Abu Dhabi, ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), semasa kunjungan Pope pada bulan Februari tahun ini.
Susulan mesyuarat sulung Jawatankuasa Tinggi di Vatican awal bulan, perhimpunan New York ini merupakan kali kedua Jawatankuasa Tinggi bertemu dalam dua minggu, menandakan permulaan satu perjalanan yang berani dan bersifat kolaboratif untuk meninjau bagaimana individu dengan perasaan muhibah di seluruh semua kepercayaan dapat mewujudkan persefahaman dan juga keamanan dunia.
Salah satu projek pertama yang akan dibimbing oleh Jawatankuasa Tinggi ialah Rumah Keluarga Abrahamik, yang bakal ditempatkan di Pulau Saadiyat di Abu Dhabi, ibu kota Emiriah Arab Bersatu. Satu gambaran Dokumen Persaudaraan Manusia, gereja, masjid dan saumaah akan berkongsi ruang kolektif buat julung kalinya, berkhidmat sebagai satu komuniti bagi tujuan dialog antara agama dan pertukaran serta memupuk nilai-nilai kewujudan bersama dan penerimaan secara aman antara kepercayaan, bangsa dan budaya yang berbeza.
Reka bentuk Rumah Keluarga Abrahamik, oleh arkitek yang memenangi anugerah dan terkenal di seluruh dunia, Sir David Adjaye OBE, ditonjolkan di acara New York ini.
Ketika merenungkan tentang inisiatif bersejarah ini, Yang Mulia Lantikan Miguel Ángel Ayuso Guixot, Presiden Majlis Pontifikal untuk Dialog Antara Agama dan ahli Jawatankuasa Tinggi berkata: "Usaha ini merupakan detik yang amat menyentuh perasaan buat umat manusia. Walaupun kejahatan, kebencian dan perpecahan sering mendapat perhatian, terdapat banyak kebaikan tersembunyi yang sedang berkembang dan membawa kita untuk berharap menerusi dialog, pengetahuan salingan dan kemungkinan untuk membina – bersama-sama pengikut agama-agama lain dan semua lelaki dan wanita dengan dengan perasaan muhibah – sebuah dunia dengan nilai persaudaraan dan keamanan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada UAE atas komitmen padu yang ditunjukkan bagi pihak persaudaraan manusia."
Mengulas mengenai peristiwa tersebut, Hakim Mohamed Mahmoud Abdel Salam, ahli Jawatankuasa Tinggi dan Bekas Penasihat Imam Besar al-Azhar, Yang Berhormat Sheikh Ahmed el-Tayeb, berkata: "Pembentukan Jawatankuasa ini telah tiba ke saat yang penting dan memerlukan semua pencinta keamanan untuk bersatu dan turut serta dalam usaha ini untuk menyebarkan nilai kewujudan bersama, persaudaraan dan toleransi di seluruh dunia. Saya tersentuh dengan tenaga dan kesungguhan ini untuk menyebarkan prinsip-prinsip Dokumen Persaudaraan Manusia demi mencapai keselamatan, kewujudan bersama dan keamanan buat semua. Saya berasa kagum dengan tahap keprihatinan kemanusiaan bersama yang dikongsikan oleh kedua-dua Yang Mulia Pope Francis daripada Gereja Katolik dan Imam Besar al-Azhar, Yang Berhormat Sheikh Ahmed el-Tayeb, apabila mereka bertemu pada Februari lalu; mereka bersungguh-sungguh untuk mencapai kebahagiaan buat semua umat manusia tanpa mengira agama mahupun bangsa."
Rabai M. Bruce Lustig, Rabai Kanan di Washington Hebrew Congregation dan ahli Jawatankuasa Tinggi berkata: "Ini merupakan peluang yang penting buat semua yang percaya dengan kuasa kepercayaan dan kemanusiaan. Ia akan membantu membina penghubung antara pemimpin dan komuniti agama selain memupuk keamanan dan keharmonian dalam era yang sering kali ditakrifkan oleh perbezaan. Saya berbesar hati kerana dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan terhormat yang berusaha yang memperjuangkan kasih sayang mengatasi kebencian, keadilan mengatasi kezaliman dan kepercayaan mengatasi ketakutan."
Sir David Adjaye, Pengasas dan Prinsipal Adjaye Associates, mengulas: "Saya berasa rendah hati dan gembira kerana rekaan kami telah dipilih. Saya percaya seni bina dapat berfungsi untuk mengabadikan dunia yang ingin kita diami, dunia dengan toleransi, keterbukaan dan kemajuan berterusan. Seni bina dan reka bentuk landskap dapat menakrifkan fabrik dan prinsip sebuah tempat, untuk memajukan perbualan, menilai semula tanggapan semasa tentang dunia dan meneroka dengan lebih bermakna apa yang dapat diberikan kembali oleh sesebuah tempat. Sebagai seorang arkitek, saya ingin mencipta sebuah bangunan yang mula melenyapkan tanggapan perbezaan hierarki – ia seharusnya menonjolkan ciri kesejagatan dan keseluruhan – suatu nilai lebih tinggi yang dapat meningkatkan keanekaan kehidupan manusia. Kami berharap agar kami telah dapat menetapkan sebuah pelan untuk ruang yang indah dan mencetuskan pemikiran yang meraikan ketiga-tiga agama dan merangsang dialog serta pemahaman pada detik penting untuk dunia. Dibina di ibu kota UAE, ruang ini akan dibuka kepada dunia dan harapan kami semoga melalui bangunan ini, penganut semua agama dan dari seluruh masyarakat dapat mempelajari dan terlibat dalam misi kewujudan bersama secara aman demi generasi-generasi akan datang.
Reka bentuk kontemporari ini dipilih selepas menjalani proses ketat yang merangkumi seni bina pelbagai latar belakang dan kepercayaan dari serata dunia. Reka bentuk oleh Adjaye amat menarik, menggabungkan tempat ibadat berasingan untuk setiap agama selain ruang yang dikongsi bagi tujuan kolaborasi dan perhimpunan tidak rasmi. Sebagai konsep reka bentuk moden, ia turut memperlihatkan matlamat untuk mewujudkan ruang yang berkekalan untuk generasi-generasi masa depan.
Untuk Pertanyaan Media:
Press@forhumanfraternity.org
T: +971 (0)50-8531916
T: +1 (212) 704-8245
Pautan ke kit akhbar
Foto: https://mma.prnewswire.com/media/999124/Higher_Committee.jpg
Foto: https://mma.prnewswire.com/media/999125/Abrahamic_Family_House.jpg