omniture

Persekutuan Diabetes Antarabangsa: Angka Terkini Tunjukkan 463 Juta Orang Kini Hidap Diabetes Seluruh Dunia tatkala Bilangan Terus Meningkat

International Diabetes Federation
2019-11-15 23:01 264

Satu dalam sebelas orang dewasa menghidap diabetes  

Persekutuan Diabetes Antarabangsa lancar Edisi ke-9 IDF Diabetes Atlas bagi menyambut Hari Diabetes Sedunia, 14 November 2019  

IDF Diabetes Atlas tekankan kepentingan mencegah keadaan tersebut dan menangani komplikasinya untuk melindungi individu, keluarga dan masyarakat 

BRUSSELS, 15 November 2019 /PRNewswire/ -- /PRNewswire/ -- Sempena Hari Diabetes Sedunia, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) mengeluarkan angka-angka baharu yang menekankan peningkatan yang membimbangkan prevalens penyakit diabetes di seluruh dunia. Seramai 38 juta lagi orang dewasa kini dianggarkan akan mengalami diabetes berbanding keputusan yang diterbitkan pada tahun 2017. Dapatan baharu ini, yang diterbitkan hari ini dalam Edisi ke-9 IDF Diabetes Atlas, menunjukkan bahawa kini terdapat 463 juta orang dewasa menghidap diabetes di seluruh dunia.

 

THIS INFOGRAPHIC HIGHLIGHTS THE KEY FINDINGS OF THE 9th EDITION OF THE IDF DIABETES ATLAS
THIS INFOGRAPHIC HIGHLIGHTS THE KEY FINDINGS OF THE 9th EDITION OF THE IDF DIABETES ATLAS

 

Atlas yang terkini melaporkan bahawa prevalens global penyakit diabetes telah mencecah 9.3%, dengan lebih separuh (50.1%) orang dewasa tidak didiagnosis. Diabetes jenis 2 menyumbang kira-kira 90% daripada semua individu yang menghidap diabetes.

Peningkatan bilangan individu yang menghidap diabetes jenis 2 didorong oleh saling tindakan yang rumit antara faktor-faktor sosioekonomi, demografi, persekitaran dan juga genetik. Penyumbang utama termasuk urbanisasi, penduduk yang semakin meningkat usia, kadar aktiviti fizikal yang berkurangan dan peningkatan tahap berat badan berlebihan dan obesiti. Atas sebab-sebab yang tidak diketahui, diabetes jenis 1 juga turut meningkat.

"Diabetes ialah masalah kesihatan global serius yang memberi kesan sosioekonomi yang amat besar yang tidak boleh diabaikan," kata Presiden IDF, Profesor Nam H. Cho. "Prevalens diabetes yang semakin meningkat merupakan punca sebenar yang perlu diambil perhatian, terutamanya apabila kita mengambil kira bilangan tinggi individu yang kekal tidak didiagnosis. Kita perlu melakukan lebih lagi untuk mencegah diabetes jenis 2, mendiagnosis semua jenis diabetes dengan lebih awal dan mencegah komplikasi. Kita juga harus memastikan agar setiap individu yang menghidap diabetes mendapat akses yang mampu diperolehi dan tidak terputus terhadap rawatan yang diperlukan."

Diabetes memberi kesan kepada semua peringkat usia, tanpa mengira geografi dan pendapatan. Lebih daripada 1.1 juta orang kanak-kanak dan remaja berusia kurang daripada 20 tahun mengalami diabetes jenis 1, manakala tiga dalam setiap empat orang individu yang mengalami diabetes (352 juta) merupakan mereka dengan umur bekerja (20-64 tahun). Satu dalam lima orang yang berumur lebih 65 tahun menghidap diabetes. Peningkatan prevalens ini memberi tekanan kepada kapasiti negara-negara untuk menjamin akses yang tetap dan berpatutan kepada ubat-ubatan penting dan rawatan yang sesuai. Hal ini mengakibatkan ramai yang bergelut untuk mengurus penyakit diabetes mereka, lantas meletakkan kesihatan mereka pada risiko yang serius.

Apabila masalah diabetes mereka tidak dikesan atau mereka tidak disokong dengan secukupnya, individu yang menghidap diabetes berisiko mengalami komplikasi yang serius dan mengancam nyawa seperti serangan jantung, strok, kegagalan buah pinggang, buta dan amputasi anggota bawah. Ini mengakibatkan penurunan kualiti hidup dan kos rawatan kesihatan yang lebih tinggi serta memberi tekanan yang tidak wajar kepada keluarga.

"IDF Diabetes Atlas menyediakan maklumat buat mereka yang perlu membuat keputusan tentang rawatan dan pencegahan diabetes serta buat mereka yang berusaha untuk mempengaruhi keputusan berkenaan," kata Pengerusi Jawatankuasa IDF Diabetes Atlas, Profesor Rhys Williams. "Sejumlah besar kajian dan bukti baharu telah disusun untuk edisi ke-9. Kami telah dapat melihat penambahbaikan dari segi bilangan kajian dalam negara yang menyokong anggaran dan unjuran kami, tatkala kami berusaha untuk memaklumkan komuniti diabetes dan orang ramai yang lebih luas tentang prevalens keadaan berkenaan di seluruh dunia."

Banyak yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kesan diabetes. Bukti mencadangkan bahawa diabetes jenis 2 seringkali boleh dicegah, manakala diagnosis awal dan akses kepada rawatan yang sesuai untuk semua jenis diabetes boleh mengelakkan atau melambatkan komplikasi dalam kalangan individu yang mengalami keadaan tersebut.

Dapatan utama yang lain daripada IDF Diabetes Atlas Edisi ke-9 termasuk:

  • Jumlah individu yang menghidap diabetes diramalkan untuk meningkat kepada 578 juta orang menjelang tahun 2030 dan kepada 700 juta menjelang tahun 2045.
  • 374 juta orang dewasa mengalami gangguan toleransi glukosa, lalu menyebabkan mereka berisiko tinggi untuk menghidap diabetes jenis 2.
  • Diabetes bertanggungjawab terhadap anggaran USD 760 bilion dalam perbelanjaan kesihatan pada tahun 2019.
  • Diabetes merupakan antara 10 punca utama kematian, dengan hampir separuh daripada kematian berlaku dalam kalangan mereka di bawah umur 60 tahun.
  • Satu dalam enam kelahiran hidup dipengaruhi oleh hiperglisemia semasa hamil.

Untuk maklumat lanjut dan data sokongan tentang prevalens diabetes peringkat negara, serantau dan global yang dimasukkan dalam IDF Diabetes Atlas Edisi ke-9, kunjungi https://www.diabetesatlas.org?utm_source=media&utm_medium=email&utm_campaign=world_diabetes_day_2019_press_release

Latar Belakang IDF Diabetes Atlas 

IDF Diabetes Atlas ialah sumber yang berwibawa mengenai kesan diabetes global. Mula diterbitkan pada tahun 2000, ia dikemas kini secara berkala oleh IDF dengan kerjasama pakar-pakar dari seluruh dunia dan mengandungi data tentang prevalens, kadar kematian dan perbelanjaan berkaitan diabetes di peringkat global, serantau dan negara. IDF Diabetes Atlas menarik perhatian tentang kepentingan dan kesan diabetes yang semakin meningkat di semua negara dan Rantau IDF. www.diabetesatlas.org

Latar Belakang Persekutuan Diabetes Antarabangsa 

Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) merupakan pertubuhan naungan melibatkan lebih 230 persatuan diabetes kebangsaan di 170 buah negara dan wilayah. Ia mewakili kepentingan semakin ramai individu yang menghidap diabetes dan mereka yang berisiko. Persekutuan ini telah menerajui komuniti diabetes global sejak tahun 1950. www.idf.org

Foto - https://mma.prnewswire.com/media/1028023/IDF_Infographic.jpg

Source: International Diabetes Federation
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Medical/Pharmaceuticals Publishing/Information Service Clinical Trials/Medical Discoveries Survey, Polls & Research Future Events