omniture

Ketua Pegawai Eksekutif Bill & Melinda Gates Foundation Sue Desmond-Hellmann bakal Letak Jawatan, Eksekutif Yayasan Sekian Lama Mark Suzman Dilantik untuk Jawatan tersebut

Bill & Melinda Gates Foundation
2019-12-07 22:52 218

SEATTLE, 7 Disember 2019 /PRNewswire/ -- Ketua Pegawai Eksekutif Bill & Melinda Gates Foundation Sue Desmond-Hellmann meletakkan jawatan selepas lebih lima tahun menyandang jawatan tersebut. Bill dan Melinda Gates telah melantik Mark Suzman, presiden Dasar & Advokasi Global serta ketua pegawai strategi yayasan berkenaan, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu. Suzman, yang menyertai yayasan tersebut pada tahun 2007, akan mengambil alih peranan baharu beliau pada 1 Februari 2020.

Desmond-Hellmann membuat keputusan untuk meninggalkan kerja sepenuh masa selepas menyimpulkan bahawa beliau tidak dapat memenuhi tuntutan jawatan tersebut dengan secukupnya sambil menjaga kesihatan beliau sendiri dan juga keperluan keluarga beliau.

"Sememangnya ini merupakan keputusan yang paling sukar untuk kerjaya saya," kata Desmond-Hellmann. "Namun demikian, saya merasakan yang saya tidak lagi dapat menjadi Ketua Pegawai Eksekutif yang diperlukan dan layak untuk yayasan ini pada masa yang penting ini."

Kedua-dua Bill dan Melinda Gates memuji kepimpinan Desmond-Hellmann dan mengucapkan terima kasih atas kerja beliau dalam membimbing yayasan berkenaan menuju tahun ke-20nya.

"Sue membawa set atribut yang luar biasa kepada yayasan: kepakaran saintifik, kemahiran kepimpinan yang terbukti dan minat untuk membina budaya dalaman yang mantap, dan paling penting, dedikasi terhadap misi untuk menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih sihat dan lebih sama rata," kata Melinda Gates. "Sama ada ketika kami berada di dalam bilik persidangan di Seattle atau meluangkan masa bersama petani di selatan Afrika, saya sentiasa bersyukur atas perspektif dan perkongsian beliau. Yayasan kami menjadi lebih baik daripada hakikat bahawa Sue menyertai yayasan ini lima tahun lalu dan saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Sue dan keluarga beliau.

"Apabila Sue memutuskan untuk meletakkan jawatan, kami berasa bertuah kerana kami mempunyai rakan kongsi yang terbukti dan dipercayai seperti Mark yang bersedia untuk mengambil alih jawatan ini. Pengetahuan Mark tentang dasar luar serta persekitaran advokasi, pemahaman mendalam beliau tentang keutamaan programatik kami dan komitmen peribadi beliau untuk menangani isu ketidaksamaan hanyalah beberapa sebab kami berasa teruja apabila beliau akan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif yayasan yang seterusnya. Setelah bekerjasama erat dengan Mark selama lebih daripada sedekad, kami sedia maklum bahawa beliau merupakan aset kepada yayasan dan saya tidak sabar-sabar untuk melihat segala yang akan dicapai oleh beliau dalam tahun-tahun mendatang."

Desmond-Hellmann menyertai yayasan ini pada tahun 2014 selepas berkhidmat sebagai canselor di University of California, San Francisco (UCSF). Seorang ahli onkologi yang berkelayakan, Sue merawat dan mengkaji kanser berkaitan AIDS di San Francisco dan Uganda pada tahun 1980-an dan 1990-an serta memimpin pembangunan ubat kanser payudara sasaran gen pertama —Herceptin—semasa menjadi presiden Genentech. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di Yayasan ini, Desmond-Hellmann mengawasi penubuhan Institut Penyelidikan Perubatan Gates—pertubuhan bioteknologi bukan untung yang pertama di dunia—selain pelancaran strategi pelaburan Mobiliti dan Peluang Ekonomi di Amerika Syarikat. Beliau juga merupakan pengerusi bersama Suruhanjaya Nilai Pasca Menengah dari segi cara untuk menghitung pulangan pelaburan kolej, khususnya untuk pelajar berpendapatan rendah. Ciri penting daripada tempoh perkhidmatan beliau ialah tumpuan beliau terhadap kepentingan pengurusan dan perancangan penggantian. Beliau mengukuhkan kuasa, kebertanggungjawapan dan amalan membuat keputusan pasukan kepimpinan yayasan dan memberi tumpuan untuk meningkatkan budaya, kepelbagaian, kesaksamaan dan rangkuman.

"Komitmen Sue terhadap inovasi dan penambahbaikan berterusan di yayasan ini hanya akan menjadi sebahagian daripada legasi beliau yang berkekalan," kata Bill Gates. "Kepimpinan luar biasa beliau sejak lima setengah tahun yang lalu telah menyaksikan pelancaran Institut Penyelidikan Perubatan Gates dan perkembangan kerja-kerja kami bagi menilai kemiskinan dan mobiliti ekonomi di Amerika Syarikat, antara banyak pencapaian yang lain. Saya ingin mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada Sue atas dedikasi beliau dan ingin mengucapkan selamat maju jaya ketika beliau mengundurkan diri bagi memberi tumpuan pada kesihatan dan keluarga.

"Meskipun sukarnya untuk kami mengucapkan selamat tinggal kepada Sue, kami turut berasa amat gembira untuk mengalu-alukan Mark Suzman untuk jawatan Ketua Pegawai Eksekutif. Selama lebih daripada 12 tahun, Mark telah menjadi penasihat yang dipercayai dalam seluruh program dan rakan kongsi kami. Tatkala kami menyimpulkan dekad kedua kerja yayasan kami dalam bidang kesihatan dan pendidikan global, saya tidak pernah lebih optimistik dengan peluang untuk meningkatkan kehidupan untuk mereka yang paling miskin di dunia. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan Mark bagi tugas-tugas pada masa akan datang."

Anak kelahiran Afrika Selatan, Suzman menyertai yayasan berkenaan pada tahun 2007 sebagai pengarah Dasar & Advokasi Pembangunan Global, menjadi presiden Dasar & Advokasi Global pada tahun 2012 dan menggalas tanggungjawab tambahan sebagai ketua pegawai strategi pertama yayasan pada tahun 2016. Sebagai presiden, beliau membantu membina dan mengurus kehadiran global yayasan ini yang semakin berkembang di Eropah, Afrika, India dan China selain mengawasi semua hubungan kerajaan, perkongsian bersifat dermawan dan komunikasi strategik di Amerika Syarikat dan juga seluruh dunia. Sebagai ketua pegawai strategi, beliau memimpin usaha penambahbaikan pendekatan yayasan untuk membangunkan dan mengukur keutamaan strategik.

Sebelum menyertai yayasan ini, Suzman pernah menyandang pelbagai jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk penasihat kanan untuk dasar dan komunikasi strategik di Pejabat Setiausaha Agung Kofi Annan dan pengarah dasar di Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Terdahulu, beliau merupakan koresponden untuk Financial Times, berkhidmat di Johannesburg, London dan Washington D.C. Beliau berkelulusan ijazah kedoktoran dalam hubungan antarabangsa daripada Oxford University, yang mana beliau merupakan Rhodes Scholar.

"Ini merupakan satu penghormatan dan keistimewaan luar biasa untuk memimpin Gates Foundation," kata Suzman. "Saya amat berterima kasih kepada Bill dan Melinda atas kepercayaan mereka terhadap saya dan kepada Sue atas kepimpinan berdedikasi serta bimbingan mantap beliau sepanjang lima tahun yang lalu. Tatkala kita memandang ke hadapan, saya berasa rendah hati dan teruja dengan peluang untuk memajukan misi penting kami bagi membantu memastikan semua orang di A.S. dan seluruh dunia mendapat peluang untuk menjalani kehidupan yang sihat dan produktif."

Desmond-Hellmann merupakan Ketua Pegawai Eksekutif ketiga yayasan berkenaan selepas Jeff Raikes dan Patty Stonesifer.

Latar Belakang Bill & Melinda Gates Foundation
Berpandukan kepercayaan bahawa setiap kehidupan mempunyai nilai yang sama, Bill & Melinda Gates Foundation berusaha untuk membantu semua orang menjalani kehidupan yang sihat dan produktif. Di negara-negara sedang membangun, ia memberi tumpuan untuk meningkatkan tahap kesihatan orang ramai dan memberi peluang kepada mereka untuk membebaskan diri mereka daripada kelaparan dan kemiskinan yang ekstrem. Di Amerika Syarikat, ia berusaha untuk memastikan agar semua orang—khususnya mereka yang mempunyai sumber paling sedikit—mendapat akses kepada peluang yang diperlukan oleh mereka untuk berjaya di sekolah dan kehidupan. Berpangkalan di Seattle, Washington, yayasan ini dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sue Desmond-Hellmann dan Pengerusi Bersama William H. Gates Sr., di bawah arahan Bill dan Melinda Gates serta Warren Buffett.

Bill & Melinda Gates Foundation
206-709-3400
media@gatesfoundation.org

 

Source: Bill & Melinda Gates Foundation
Keywords: Education Health Care/Hospital Personnel announcements