omniture

Satu Pertiga Belia Disoal Selidik Seluruh Dunia oleh UNICEF Berkata Pendidikan Mereka Tidak Persiapkan Mereka Dengan Kemahiran untuk Dapat Kerja

PwC; UNICEF
2020-03-11 21:14 979

PwC dan UNICEF ganding bahu tingkatkan kemahiran belia seluruh dunia

GENEVA dan LONDON, 11 Mac 2020 /PRNewswire/ -- Satu tinjauan dalam talian melibatkan 40,000 orang muda di lebih 150 buah negara mendedahkan bahawa ramai orang muda berpendapat bahawa pendidikan semasa mereka tidak mempersiapkan diri mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk mendapat pekerjaan.

Satu pertiga (31 peratus) daripada golongan muda memberi respons melalui platform penglibatan UNICEF U-Report berkata bahawa program kemahiran dan latihan yang ditawarkan kepada mereka tidak sepadan dengan aspirasi kerjaya mereka. Lebih satu pertiga daripada responden (39 peratus) mengatakan lagi bahawa pekerjaan yang dicari oleh mereka tidak ada dalam komuniti mereka.

Menurut tinjauan berkenaan, kemahiran utama yang ingin diperoleh oleh golongan muda bagi membantu mereka mendapat pekerjaan dalam dekad seterusnya termasuk kepimpinan (22 peratus), diikuti dengan pemikiran analitikal dan inovasi (19 peratus), serta pemprosesan maklumat dan data (16 peratus).

Secara berasingan, satu tinjauan global oleh PwC[1] mendapati bahawa 74% Ketua Pegawai Eksekutif di seluruh dunia berkata mereka mengambil berat untuk mencari kemahiran yang betul bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Bagi menangani beberapa cabaran ini, UNICEF dan PwC berganding bahu selama beberapa tahun akan datang untuk membantu melengkapi orang muda di seluruh dunia dengan kemahiran yang diperlukan oleh mereka untuk pekerjaan masa depan. Kolaborasi ini akan menyokong kajian mengenai cabaran kemahiran global yang semakin meningkat dan membangunkan, meluaskan serta membiayai program-program pendidikan dan kemahiran di negara-negara termasuk India dan juga Afrika Selatan.

"Golongan muda memberitahu kami bahawa mereka inginkan kemahiran digital dan boleh dipindahkan agar berjaya di tempat kerja masa depan," kata Pengarah Eksekutif UNICEF Henrietta Fore. "Keperluan penting ini hanya dapat dipenuhi melalui sumbangan oleh rakan-rakan kongsi awam dan swasta di seluruh dunia. Atas sebab inilah kami bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi seperti PwC untuk menyediakan peluang-peluang demi pertumbuhan peribadi dan kemakmuran untuk golongan muda di merata tempat."

Setiap bulan, 10 juta orang muda mencecah usia bekerja, kebanyakan mereka datangnya dari negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana. Menurut satu kajian global, golongan muda di negara-negara ini mengambil masa kira-kira setahun setengah secara purata untuk memasuki pasaran buruh dan empat setengah tahun yang mengejutkan untuk mencari pekerjaan pertama mereka yang agak memuaskan.[2] Situasi ini berpotensi untuk terus merosot sekiranya ia tidak ditangani, dengan 20-40% pekerjaan yang kini dipegang oleh mereka yang berumur 16-24 tahun dinilai berisiko untuk diautomasikan menjelang pertengahan tahun 2030-an.[3]

"Kami percaya perniagaan bertanggungjawab untuk membantu menangani cabaran peningkatan kemahiran buat semua pemegang kepentingan kami termasuk komuniti di tempat kami tinggal dan bekerja serta semua penduduk mereka. Ia juga memberi makna kepada perniagaan: dalam Tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif Global yang terkini daripada PwC, tiga perempat daripada Ketua Pegawai Eksekutif berkata kekurangan kemahiran yang ada merupakan satu kebimbangan dan risiko besar. Ramai orang yang paling memerlukan peningkatan kemahiran mendapat akses yang paling sedikit kepada peluang-peluang," kata Bob Moritz, Pengerusi PwC Network. "Dengan berganding bahu bersama UNICEF, kami percaya bahawa kami dapat membantu mendekati lebih ramai orang yang sebaliknya mungkin akan ketinggalan tanpa sengaja. Kami bersama-sama berhasrat untuk meningkatkan kemahiran berjuta-juta orang muda."

Kolaborasi antara UNICEF dan PwC akan menyokong Platform Revolusi Peningkatan Semula Kemahiran Forum Ekonomi Dunia, yang mana kedua-duanya merupakan rakan kongsi pengasas. Platform ini bertujuan untuk menyediakan pekerjaan, pendidikan dan kemahiran yang lebih baik kepada satu bilion orang dalam 10 tahun akan datang.

Kemahiran, kepakaran dan sumber PwC akan turut menyokong Generation Unlimited, satu perkongsian global yang dihoskan oleh UNICEF bagi membantu golongan muda menjalani peralihan dengan jayanya daripada pendidikan dan latihan kepada pekerjaan yang agak memuaskan. PwC dan Generation Unlimited akan mengumpul pemegang kepentingan awam, swasta dan masyarakat awam bagi membangunkan peluang pelaburan, program dan inovasi yang menyokong golongan muda dalam perjalanan mereka menuju masa depan yang produktif dan kerakyatan yang aktif.

Catatan untuk Editor: 

Tinjauan ini dijalankan oleh UNICEF melalui U-Report, satu platform penglibatan belia digital global pada Februari 2020. Tinjauan ini dijawab oleh 40,000 responden dari 150 buah negara. India mempunyai responden yang paling ramai (43 peratus), diikuti dengan Afrika Selatan (26 peratus). Data tinjauan U-Report ini mewakili maklumat yang diberikan oleh responden, tidak berwajaran secara statistik dan tidak boleh diekstrapolasi kepada penduduk global atau negara.

Latar Belakang UNICEF 

UNICEF beroperasi di beberapa tempat yang paling sukar di dunia, untuk mendekati kanak-kanak paling malang di dunia. Merentas lebih 190 buah negara dan wilayah, kami berusaha untuk setiap kanak-kanak, di mana-mana juga bagi membina dunia yang lebih baik buat semua. Untuk maklumat lanjut mengenai UNICEF dan kerja-kerja yang dilakukan olehnya untuk kanak-kanak, kunjungi www.unicef.org. Ikuti UNICEF di Twitter dan Facebook.

Latar Belakang Generation Unlimited 

Generation Unlimited – yang kini dihoskan oleh UNICEF – ialah satu perkongsian global yang bertujuan untuk mempersiapkan golongan muda untuk menjadi penduduk yang produktif dan aktif. Ia menghubungkan pendidikan dan latihan umur menengah kepada pekerjaan dan keusahawanan, memperkasa setiap orang muda untuk berkembang maju dalam dunia kerja. Ikuti Generation Unlimited di Twitter dan Instagram.

Latar Belakang PwC 

Di PwC, tujuan kami adalah untuk membina kepercayaan dalam masyarakat dan menyelesaikan masalah-masalah yang penting. Kami merupakan jaringan firma dalam 157 buah negara bersama lebih 276,000 orang yang komited untuk membawakan kualiti dalam khidmat jaminan, khidmat nasihat dan khidmat cukai. Ketahui lebih lanjut dan maklumkan kepada kami apa yang penting buat anda dengan mengunjungi kami di www.pwc.com

PwC merujuk kepada rangkaian PwC dan/atau satu atau lebih firma-firma anggotanya, setiap satunya merupakan entiti undang-undang berasingan. Sila lihat www.pwc.com/structure untuk butiran lanjut.

Pada Oktober 2019, PwC melancarkan 'New world. New skills.' – program dipimpin tujuan dan bertaraf global yang pertama bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran kakitangannya, bekerjasama dengan pelanggan untuk strategi-strategi peningkatan kemahirannya, meluaskan dan menumpukan semula aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporatnya dan menyumbang kepada perdebatan mengenai isu ini. Tonton 'Bridging the Digital Divide', satu dokumentari pendek yang mana ilmuwan, NGO, penggubal dasar dan pemimpin perniagaan menjelaskan mengapa peningkatan kemahiran untuk dunia digital telah menjadi satu keutamaan buat masyarakat, organisasi dan kerajaan.

Pada tahun 2018, PwC melancarkan cita-cita komunitinya untuk memaksimumkan potensi 15 juta orang, NGO dan perusahaan sosial dan mikro menjelang tahun 2022.

Latar Belakang U-Report 

U-Report ialah program pemerkasaan mudah alih yang menghubungkan golongan muda di serata dunia kepada maklumat yang dapat mengubah kehidupan dan mempengaruhi keputusan mereka. U-Report adalah percuma serta berciri sumber terbuka dan lebih 9 juta remaja dan orang muda di 65 buah negara menggunakannya setiap minggu bagi menyuarakan pendapat mereka, berhubung dengan pemimpin dan membantu mengubah keadaan dalam komuniti mereka melalui SMS serta saluran digital termasuk WhatsApp, Facebook, Viber dan Telegram.

1.  Tinjauan Ketua Pegawai Eksekutif Global Tahunan ke-23 PwC
2. Manacorda, Marco, et al., Pathways from School to Work in the Developing World, IZA DP No. 9456, 2015
3.Will robots really steal our jobs?, PwC

Logo - https://mma.prnewswire.com/media/1121790/PWC_Logo.jpg
Logo - https://mma.prnewswire.com/media/1121791/UNICEF_Logo.jpg

Source: PwC; UNICEF
Related Links:
Keywords: Computer/Electronics Education Higher Education Mobile Entertainment Multimedia/Online/Internet Social Media Telecommunications Workforce Management/Human Resources Children-related news Corporate Social Responsibility Survey, Polls & Research