omniture

Edmodo NetDragon Dipilih sebagai Platform Pembelajaran Dalam Talian Tentuan di Mesir untuk Pelancaran Segera Seluruh Negara

NetDragon Websoft Holdings Limited
2020-03-23 08:52 477

HONG KONG, 23 Mac 2020 /PRNewswire/ -- NetDragon Websoft Holdings Limited ("NetDragon" atau "Syarikat", Kod Saham Hong Kong: 777), peneraju global dalam membina komuniti internet, berhasrat untuk mengumumkan bahawa memandangkan terdapatnya gangguan terhadap pendidikan ekoran penularan coronavirus COVID-19, Edmodo, komuniti pendidikan dalam talian utama globalnya, telah dipilih dalam satu langkah ulung oleh Kementerian Pendidikan di Republik Arab Mesir ("MoE") untuk menjadi platform pembelajaran dalam talian yang ditetapkan untuk sistem pendidikan K12 di Mesir. Bermula hari ini, Edmodo akan diperkenalkan kepada lebih 22 juta orang pelajar dan lebih 1 juta orang guru di negara berkenaan untuk memberi sokongan pembelajaran jarah jauh dalam tempoh penangguhan sekolah dan seterusnya meningkatkan pembelajaran.

Sejak berlakunya wabak virus COVID-19, kerajaan Mesir telah mengambil langkah berjaga-jaga yang penting bagi meminimumkan penularan penyakit tersebut, termasuk penutupan sementara sekolah dan universiti, yang membawa kepada keperluan segera untuk platform dalam talian yang berkesan bagi memastikan pembelajaran pelajar akan terus maju semasa penutupan sekolah. Edmodo dipilih oleh MoE sebagai platform pembelajaran tentuan Mesir, melihatkan kebolehan dan kesediaannya untuk menawarkan persekitaran yang beraneka bagi menyokong pembelajaran kolaboratif, lalu membolehkan guru berkomunikasi dengan pelajar serta berkongsi bahan kelas secara dalam talian dan akhirnya menjadikan pembelajaran boleh diakses di merata tempat untuk pelajar. Penggunaan Edmodo yang pantas dan berskala luas di seluruh negara ini, yang akan bermula serta merta menerusi pelancaran ini, merupakan satu pencapaian penting dari segi kemajuan teknologi pendidikan di Mesir, selain hasil daripada kesediaan yang dicapai melalui pelaburan yang dibuat selama bertahun-tahun dalam teknologi pendidikan dan kandungan digital oleh MoE.

Tuan Yang Terutama, Dr. Tarek Shawki, Menteri Pendidikan dan Pendidikan Teknikal, Mesir mengulas: "Detik yang ulung yang sedang kita lalui ini menandakan bahawa semua pihak kerajaan di seluruh dunia perlu mencari penyelesaian inovatif bagi memastikan pendidikan yang berterusan untuk semua pelajar. Di Mesir, kami telah melabur dalam strategi pembelajaran digital kami selama tiga tahun sebagai sebahagian daripada projek pembaharuan pendidikan kami. Kami mendapati diri kami berkedudukan baik agar mampu menyokong pembelajaran jarak jauh dan pelaksanaan pesat Edmodo sebagai platform, bagi memastikan guru, pelajar dan ibu bapa boleh berkolaborasi dan belajar sepanjang tempoh ini."

Innovera, rakan kongsi Timur Tengah NetDragon dan rakan kongsi teknologi jangka panjang MoE, akan menjadikan sumber syarikat mereka tersedia bagi menyokong MoE, sekolah dan guru menerusi latihan dan meja bantuan demi memastikan pelaksanaan yang lancar dan penggunaan jangka panjang Edmodo di sekolah-sekolah Mesir.

Sebagai sebahagian daripada pelancaran ini, Edmodo akan turut berganding bahu dengan Egypt Knowledge Bank ("EKB") yang inovatif, salah sebuah perpustakaan digital pendidikan yang terbesar di dunia, untuk membawa jumlah kandungan interaktif yang banyak termasuk jurnal penyelidikan dan sumber pendidikan eksklusif yang lain untuk pelajar dan guru. Penyepaduan Edmodo dan EKB memberi peluang yang hebat kepada pelajar untuk mengakses sumber pendidikan yang berkualiti tinggi dan berkolaborasi bersama rakan setara mereka dalam talian.

Dr Simon Leung, Naib Pengerusi NetDragon, mengulas: "Ia merupakan satu keistimewaan dan penghormatan untuk menyokong Kementerian Pendidikan, Mesir bagi menyampaikan penyelesaian yang praktikal dan inovatif yang akhirnya akan menyumbang kepada peningkatan pendidikan di seluruh negara, khususnya semasa tempoh yang mencabar ini. Penggunaan Edmodo di seluruh Mesir akan mencipta transformasi yang positif dari segi penggunaan pendekatan yang inovatif dan berkesan terhadap pengajaran. Kami berhasrat untuk menyokong sepenuhnya Kementerian Pendidikan menerusi pendekatannya yang berani dan berwawasan untuk situasi semasa dan juga masa depan pengajaran dan pembelajaran di Mesir."

Penggunaan Edmodo di Mesir akan menyediakan asas luar biasa bagi mempercepatkan penerimaan teknologi pendidikan di negara berkenaan dengan cara yang belum pernah dilakukan sebelum ini, yang akhirnya memberi manfaat kepada pelajar, guru dan pendidik dalam tempoh jangka panjang. Dengan wabak yang semakin tersebar di seluruh dunia ini, NetDragon terus bertindak dengan pantas dan penuh bertanggungjawab bagi memastikan agar pembelajaran pelajar di seluruh dunia akan diteruskan dengan cara yang paling menarik dan berkesan.

Latar Belakang NetDragon Websoft Holdings Limited 

NetDragon Websoft Holdings Limited (HKSE: 0777) ialah peneraju global dalam membina komuniti internet dengan rekod prestasi yang panjang dalam membangunkan dan meluaskan pelbagai platform internet dan mudah alih yang memberi kesan kepada beratus-ratus juta pengguna. Ini termasuk portal permainan dalam talian nombor satu China, 17173.com dan platform kedai aplikasi telefon pintar yang paling berpengaruh di China, 91 Wireless, yang dijual kepada Baidu pada nilai US$1.9 bilion pada tahun 2013 sebagai urus niaga penggabungan & pengambilalihan (M&A) Internet yang terbesar di China.

Ditubuhkan pada tahun 1999, NetDragon ialah salah satu pembangun permainan dalam talian yang paling bereputasi baik dan terkenal di China yang melakar sejarah dengan judul-judul permainan yang berjaya Eudemons Online, Heroes Evolved dan Conquer Online. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, NetDragon telah mula mengembangkan perniagaan pendidikan dalam taliannya hasil daripada wawasan pengurusan untuk mewujudkan komuniti pembelajaran dalam talian global yang terbesar dan untuk membawa "kelas masa depan" kepada setiap sekolah di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi www.netdragon.com.

Latar Belakang Edmodo 

Edmodo ialah platform pembelajaran sepanjang hayat global yang memberi sokongan dan alatan yang diperlukan oleh pendidik untuk menarik perhatian penuh pelajar. Ditubuhkan pada tahun 2008 dan kini mempunyai lebih daripada 100 juta pengguna merentas 400,000 buah sekolah di seluruh dunia berkongsi lebih 618 juta sumber, Edmodo direka untuk melindungi privasi pelajar dan guru dengan menyediakan platform yang selamat untuk berkomunikasi dan berkolaborasi. Syarikat ini beribu pejabat di San Mateo, California. Cari kami di Edmodo dan lebih banyak sumber bagi membantu anda untuk memulakan pembelajaran jarak jauh.

Untuk pertanyaan pelabur, sila hubungi:

NetDragon Websoft Holdings Limited 

Cik Maggie Zhou
Pengarah Kanan Perhubungan Pelabur
Tel.: +852 2850 7266 / +86 591 8390 2825
Emel: maggie@nd.com.cn 
Laman Sesawang: ir.netdragon.com

Logo - https://photos.prnasia.com/prnh/20200320/2756855-1?lang=0

Source: NetDragon Websoft Holdings Limited
Related Stocks:
HongKong:0777 OTC:NDWTY
Related Links:
Keywords: Electronics Gaming Computer Software Computer/Electronics Education Entertainment Internet Technology Mobile Entertainment Multimedia/Online/Internet Telecommunications Web Site