LONDON, 7 April 2020 /PRNewswire/ -- Perjalanan antara negara di seluruh dunia kini tertunda tanpa harapan untuk pulih dalam masa terdekat, dan keputusan terkini bagi Indeks Pasport Henley memberikan bayangan yang merisaukan bagi huru-hara yang diakibatkan pandemik COVID-19. Sejak ia dimulakan pada tahun 2006, indeks itu memberi data yang dipercayai bagi kekukuhan pasport negara seluruh dunia setiap tahun. Sepanjang tempoh itu, kebebasan perjalanan sudah meningkat dengan banyaknya — pada tahun 2006, seorang warganegara boleh pergi ke 58 destinasi secara purata tanpa visa daripada negara destinasi itu; dan 14 tahun kemudian, angka ini hampir bertambah dua kali ganda iaitu menjadi 107 negara. Data pemeringkatan awal bagi dekad baru ini yang diterbitkan pada Januari lepas mengesahkan semua penduduk dunia kini lebih mudah berulang-alih ke lebih banyak negara di dunia ini berbanding mana-mana tempoh masa sepanjang sejarah ketamadunan manusia. Malah negara dengan pasport paling kuat (Jepun), menawarkan pemegang pasport mereka akses kepada 191 destinasi tanpa memohon visa terlebih dahulu. Tetapi tiga bulan kemudian, hakikatnya sudah menjadi jauh berbeza.
Pasport Jepun masih lagi menempati kedudukan pasport paling kuat, tetapi sekatan perjalanan yang sangat ketat buat masa ini bermaksud perjalanan ke Jepun tanpa tujuan penting terbatas dengan amat banyak. Namun sudah tentu keadaan ini dihadapi oleh negara-negara lain juga. Lebih banyak sekatan perjalanan diumumkan setiap hari, dan lebih banyak negara melaksanakan perintah berkurung akibat coronavirus yang lebih ketat. Kini 3.5 bilion orang, atau hampir separuh daripada populasi dunia, berkurung di dalam kediaman mereka sendiri, sama ada secara suka rela ataupun kerana diwajibkan oleh kerajaan. Oleh itu, keputusan terkini daripada indeks yang disebut di atas – yang dibuat berdasarkan data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) — mula membangkitkan persoalan tentang maksud sebenar kebebasan perjalanan dan kelancaran pergerakan di seluruh dunia. Kedua-dua persoalan ini masih sukar untuk dijawab sama ada buat masa ini, ataupun semasa pandemik ini tamat kelak.
Dr. Christian H. Kaelin, Pengerusi Henley & Partners merangkap pencipta konsep indeks pasport ini menyatakan dalam keadaan darurat seluruh dunia akibat wabak seperti ini, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, indeks itu boleh dikatakan tidak ada maknanya lagi. "Secara teorinya, seorang warganegara Switzerland boleh pergi ke 185 destinasi seluruh dunia tanpa memohon visa terlebih dahulu, tetapi tempoh masa beberapa minggu lepas sudah menunjukkan dengan jelas bahawa kebebasan perjalanan rupa-rupanya sangat bergantung kepada banyak faktor lain yang tidak dapat dibayangkan dan mustahil untuk diramalkan. Namun keadaan ini sebenarnya sudah biasa dihadapi warganegara dalam negara dengan pasport lemah dan menempati kedudukan rendah dalam indeks ini."
Penulis ternama dan Pengasas serta Rakan Pengurusan FutureMap, Dr. Parag Khanna, berkata kesan-kesan akibat pandemik COVID-19 ini ke atas kesihatan awam, ekonomi global, dan kelakuan sosial, mungkin boleh menunjukkan perubahan kekal dalam geografi manusia selepas ini. "Mungkin pandangan saya akan kedengaran ironik sekarang, tetapi apabila wabak ini reda nanti, kita akan melihat semakin ramai orang berpindah keluar daripada "zon merah" yang tidak cekap dan lembab bertindak ke "zon hijau" yang lebih lengkap dan tangkas atau kawasan-kawasan dengan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Orang juga mungkin akan berpindah ke tempat di mana sekiranya mereka dipaksa berkurung lagi, tempoh kurungan itu akan menjadi kurang menyeksakan seperti sekarang. Di AS, kadar penghijrahan domestik dan antarabangsa sudahpun memuncak sebelum pandemik ini berlaku, kerana generasi Gen-X dan milenial berpindah ke bandar-bandar yang lebih murah di jalur selatan Amerika ataupun terus ke luar negara seperti Amerika Latin dan Asia untuk menikmati kos hidup yang lebih rendah. Apabila kuarantin ini tamat kelak dan harga tiket penerbangan mula dijual pada harga sangat rendah, kita akan lihat lebih ramai orang akan memutuskan untuk terus berpindah dan memulakan hidup baharu di negara-negara yang lebih selesa dan mampu milik."
Pandangan ini diperkukuhkan lagi dengan analisis dan penyelidikan yang ditugaskan oleh Henley & Partners, yang mencadangkan kebebasan perjalanan sedunia selepas ini akan dirombak sepenuhnya berdasarkan fokus ke atas jaminan kesihatan dan kebersediaan menghadapi wabak. Penyelidik sains politik Uğur Altundal dan Ömer Zarpli, masing-masing daripada Universiti Syracuse dan Universiti Pittsburgh, seterusnya memberi amaran, "kualiti dan tahap jaminan kesihatan dalam sesebuah negara akan diberikan keutamaan yang sangat berat bagi permohonan pembatalan visa pada masa hadapan."
Diminta memberi komen tentang industri penghijrahan pelaburan yang sentiasa bertumbuh, Dr. Juerg Steffen, Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners, berkata: "Kami percaya apabila pandemik COVID-19 berakhir kelak, penghijrahan pelaburan akan menjadi semakin penting bagi pelabur individu dan juga negara berdaulat. Pembelian rumah untuk waktu kecemasan atau usaha menukar kewarganegaraan akan bertindak sebagai perlindungan daripada kacau bilau makroeonomi yang diramalkan bakal terjadi, lalu mewujudkan lebih banyak kepentingan untuk kerjasama antara masyarakat dan sifat kerajaan yang menjaga rakyat mereka."
Hubungan Media
Paddy Blewer
Pengarah Perhubungan Awam Kumpulan
paddy.blewer@henleyglobal.com