omniture

Alliance to End Plastic Waste dan USAID Jalin Kerjasama Tangani Pencemaran Plastik Lautan Global

Perkongsian Baharu Tumpu pada Penyelesaian di Bandar-bandar yang Mengalami Pembandaran di Asia
The Alliance to End Plastic Waste
2020-06-17 16:43 251

SINGAPURA, 13 Jun 2020 /PRNewswire/ -- Hari ini, Alliance to End Plastic Waste (Perikatan) mengumumkan satu perkongsian baharu dengan Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID) bagi menangani pencemaran plastik lautan global dengan melaksanakan penyelesaian tempatan dalam seluruh bandar-bandar yang mengalami proses pembandaran yang pesat di Asia. Perjanjian ini akan menghimpunkan lebih daripada 40 syarikat ahli global yang terkemuka daripada Perikatan berkenaan dan kekuatan program khas baharu daripada USAID untuk pencemaran plastik lautan, "Clean Cities, Blue Ocean" ("Bandar Bersih, Laut Membiru").

"Usaha yang akan kami lakukan bersama USAID memajukan komitmen Perikatan ini untuk mengusahakan perkongsian bagi membangunkan, menginkubasikan dan melaksanakan projek-projek di bandar-bandar serta komuniti-komuniti tempatan yang menyokong matlamat untuk menamatkan pencemaran sisa plastik dalam alam sekitar," kata Jacob Duer, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Alliance to End Plastic Waste. "Perkongsian, seperti perkongsian ini, membolehkan kami untuk membuktikan dan mempercepatkan penyelesaian yang akan membuka pelaburan modal, yang diperlukan untuk menangani cabaran sisa plastik."

Bagi menangani gelombang sebanyak lebih lapan juta tan metrik plastik yang masuk ke laut setiap tahun, penyelesaian tempatan adalah sangat mustahak. Perikatan ini akan mengusahakan program "Clean Cities, Blue Ocean" USAID bagi mengenal pasti dan melaksanakan penyelesaian tempatan secara kolaboratif untuk mengurangkan dan mencegah sisa plastik dari daratan daripada masuk ke jalan air dan laut, dengan tumpuan pada bandar-bandar yang mengalami proses pembandaran di Asia.

Perkongsian ini akan melibatkan usaha untuk:

  • Menghimpunkan kepakaran teknikal, pelaburan global dan penyelesaian yang diterajui dalam kawasan setempat bagi tujuan membina pasaran serta insentif untuk pasaran kitar semula dan guna semula;
  • Mengenal pasti dan membantu menggunakan teknologi inovatif yang sesuai di peringkat serantau, model infrastruktur dan perniagaan yang dapat mengurangkan dan meringankan masalah pengurusan sisa dan krisis kitar semula yang dihadapi oleh banyak bandar dan juga komuniti;
  • Menghubungkan, mendidik dan menggalakkan perubahan tingkah laku dalam kalangan individu, perniagaan tempatan dan syarikat multinasional untuk amalan yang lebih lestari; dan
  • Menyokong pembangunan serta pelaksanaan dasar dan peraturan yang berkesan.

Di samping itu, perkongsian ini akan berusaha untuk mengenal pasti peluang-peluang bagi meningkatkan taraf hidup, kesihatan dan keselamatan pekerja-pekerja sektor rasmi dan tak rasmi serta ahli-ahli masyarakat lain yang kurang diwakili yang menjadi teras bagi pengurusan dan sanitasi sampah bandar.

# # #

Latar Belakang Alliance to End Plastic Waste 

Alliance to End Plastic Waste ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan bertaraf antarabangsa yang bekerjasama dengan kerajaan, NGO alam sekitar dan pembangunan ekonomi serta komuniti di seluruh dunia bagi menangani cabaran untuk menamatkan pencemaran sisa plastik dalam alam sekitar. Melalui program dan perkongsian, kami memberi tumpuan terhadap penyelesaian dalam empat aspek utama: infrastruktur, inovasi, pendidikan dan pembersihan. Setakat Mei 2020, Perikatan ini mempunyai 47 syarikat ahli yang mewakili organisasi-organisasi global yang terletak di seluruh benua Amerika, Eropah, Asia, Asia Tenggara, Afrika dan Timur Tengah.

Untuk maklumat lanjut, kunjungi: www.endplasticwaste.org

Logo - https://photos.prnasia.com/prnh/20200611/2826525-1LOGO?lang=0

Source: The Alliance to End Plastic Waste
Keywords: Environmental Products & Services Green Technology Environmental Issues Licensing/marketing agreements Not for profit