omniture

Johnson & Johnson Umum Perjanjian dengan Kerajaan A.S. untuk 100 Juta Dos Vaksin Percubaan COVID-19

Johnson & Johnson
2020-08-07 03:15 760

Syarikat berusaha untuk memastikan akses global yang luas kepada calon vaksin COVID-19, susulan kelulusan daripada pengawal selia  

NEW BRUNSWICK, New Jersey, 6 Ogos 2020 /PRNewswire/ -- Johnson & Johnson (NYSE: JNJ) (Syarikat) hari ini mengumumkan bahawa Janssen Pharmaceutical Companies telah memeterai satu perjanjian dengan kerajaan A.S. bagi pembuatan dan penghantaran domestik berskala besar di A.S. untuk 10 juta dos vaksin percubaan SARS-CoV-2 Janssen, Ad26.COV2.S, untuk digunakan di Amerika Syarikat susulan kelulusan atau Kebenaran Penggunaan Kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) A.S.

Biomedical Advanced Research and Development Authority (BARDA), sebahagian daripada Pejabat Penolong Setiausaha Kesediaan dan Tindak balas Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia A.S., dengan kerjasama Jabatan Pertahanan A.S., menyatakan komitmen sebanyak lebih $1 bilion untuk perjanjian ini. Vaksin akan disediakan atas dasar bukan untuk keuntungan di peringkat global untuk kegunaan pandemik kecemasan. Kerajaan A.S. juga boleh membeli tambahan 200 juta dos Ad26.COV2.S di bawah perjanjian selanjutnya.

"Pasukan pakar global Johnson & Johnson bekerja keras bersama-sama BARDA dan rakan kongsi saintifik untuk mencari vaksin SARS-CoV-2 yang dapat membantu mengekang penularan COVID-19. Kami sangat menghargai keyakinan kerajaan A.S. dan sokongan terhadap pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kami serta usaha dan kebolehskalaan teknologi vaksin kami. Kami meningkatkan pengeluaran di A.S. dan seluruh dunia untuk menyediakan vaksin SARS-CoV-2 bagi kegunaan kecemasan," kata Paul Stoffels, M.D., Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif dan Ketua Pegawai Saintifik, Johnson & Johnson.

Usaha Johnson & Johnson untuk membangunkan vaksin SARS-CoV-2 telah dilakukan menurut satu kolaborasi penyelidikan dan pembangunan berterusan dengan BARDA dan di bawah pengawasan FDA. Berdasarkan data praklinikal positif yang diterbitkan baru-baru ini dalam jurnal berwasit Nature, ujian klinikal pertama-dalam-manusia Fasa 1/2a bagi calon vaksin, Ad26.COV2.S, sedang dijalankan terhadap sukarelawan yang sihat di Amerika Syarikat dan Belgium.

Syarikat ini menilai rejimen satu dan dua dos dalam program klinikalnya dan berusaha dengan tekun bagi memastikan akses global yang luas terhadap vaksin ini susulan kelulusan dan kebenaran oleh pihak pengawal selia. Johnson & Johnson menyasarkan untuk mencapai matlamatnya untuk membekalkan lebih daripada satu bilion dos ke seluruh dunia sepanjang tahun 2021, sekiranya vaksin ini selamat dan berkesan.

Program vaksin SARS-CoV-2 Johnson & Johnson memanfaatkan teknologi AdVac® Janssen. Teknologi yang sama digunakan untuk membangunkan vaksin Ebola Janssen yang diluluskan oleh Kesatuan Eropah dan menghasilkan calon vaksin HIV, RSV dan Zika. Lebih daripada 90,000 individu telah diberi vaksin setakat ini menggunakan platform berasaskan AdVac® Janssen.

Latar Belakang Johnson & Johnson
Di Johnson & Johnson, kami percaya kesihatan yang baik menjadi asas bagi kehidupan yang berkualiti, masyarakat yang sejahtera dan kemajuan ke hadapan. Atas sebab inilah, selama lebih 130 tahun, kami menyasarkan untuk menjaga kesihatan orang ramai dengan baik pada setiap peringkat usia dan setiap tahap kehidupan. Hari ini, sebagai syarikat penjagaan kesihatan terbesar dan paling bertapak luas di dunia, kami komited untuk memanfaatkan jangkauan dan keluasan syarikat kami demi kebaikan. Kami berusaha untuk meningkatkan akses dan kebolehmampuan, mewujudkan masyarakat yang lebih sihat dan menjadikan minda, tubuh badan dan persekitaran yang baik dapat dicapai oleh semua orang, di mana-mana jua. Kami menyatukan hati, sains dan kebijaksanaan kami untuk mengubah trajektori kesihatan secara mendalam demi umat manusia. Ketahui lebih lanjut di www.jnj.com. Ikuti kami di @JNJNews.

Latar Belakang Janssen Pharmaceutical Companies
Di Janssen, kami mencipta masa depan yang mana penyakit tinggal sebagai satu sejarah. Kami merupakan Syarikat-syarikat Farmaseutikal Johnson & Johnson, berusaha tanpa mengenal penat lelah untuk menjadikan masa depan suatu kenyataan buat pesakit di mana-mana sahaja dengan melawan penyakit menerusi sains, meningkatkan akses dengan kebijaksanaan dan menyembuhkan mereka yang berputus asa dengan hati yang mulia. Kami memberi tumpuan pada bidang perubatan yang mana kami dapat membuat perubahan terbesar: Kardiovaskular & Metabolisme, Imunologi, Penyakit Berjangkit & Vaksin, Neurosains, Onkologi dan Hipertensi Pulmonari. Ketahui lebih lanjut di www.janssen.com. Ikuti kami di  @JanssenGlobal.

Notis kepada Pelabur Berhubung Kenyataan Pandang ke Hadapan
Siaran akhbar ini mengandungi "kenyataan pandang ke hadapan" seperti yang ditakrifkan dalam Akta Reformasi Litigasi Sekuriti Persendirian 1995 berhubung pembangunan rejimen pencegahan dan rawatan berpotensi untuk COVID-19. Pembaca diingatkan agar tidak bergantung pada kenyataan-kenyataan pandang ke hadapan ini. Kenyataan-kenyataan ini adalah berdasarkan jangkaan semasa terhadap peristiwa masa depan. Sekiranya andaian asas terbukti tidak tepat atau risiko atau ketidaktentuan yang diketahui atau tidak diketahui wujud, keputusan sebenar mungkin berbeza dengan ketara berbanding jangkaan dan unjuran terhadap Janssen Pharmaceuticals Inc., dan/atau Johnson & Johnson. Risiko dan ketidaktentuan termasuk, tetapi tidak terhad kepada: cabaran dan ketidaktentuan yang wujud dalam penyelidikan dan pembangunan produk, termasuk ketidaktentuan kejayaan klinikal dan pemerolehan kelulusan kawal selia; ketidaktentuan kejayaan komersial; kesukaran dan kelewatan pembuatan; persaingan, termasuk kemajuan teknologi, produk dan paten baharu yang dicapai oleh pesaing; cabaran untuk paten; keberkesanan produk atau kebimbangan keselamatan yang mengakibatkan penarikan balik produk atau tindakan pengawalseliaan; perubahan dalam tingkah laku dan corak perbelanjaan pembeli produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan; perubahan terhadap undang-undang dan peraturan terpakai, termasuk pembaharuan penjagaan kesihatan global; dan trend ke arah pembendungan kos penjagaan kesihatan. Senarai dan perihalan lanjut risiko-risiko ini, ketidaktentuan dan faktor-faktor lain boleh ditemui dalam Laporan Tahunan Johnson & Johnson pada Borang 10-K untuk tahun fiskal berakhir pada 29 Disember 2019, termasuk dalam bahagian-bahagian bertajuk "Nota Peringatan Berhubung Kenyataan Pandang ke Hadapan" dan "Item 1A. Faktor-faktor Risiko," dan dalam Laporan Suku Tahunan yang difailkan baru-baru ini oleh syarikat pada Borang 10-Q dan fail-fail berikutnya oleh syarikat bersama Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa. Salinan fail-fail ini disediakan dalam talian di www.sec.gov, www.jnj.com atau atas permintaan daripada Johnson & Johnson. Janssen Pharmaceutical Companies mahupun Johnson & Johnson tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini mana-mana kenyataan pandang ke hadapan akibat daripada maklumat baharu atau peristiwa atau perkembangan akan datang.   

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/403394/Johnson_and_Johnson_Logo.jpg?p=medium600

Source: Johnson & Johnson
Related Stocks:
NYSE:JNJ
Related Links:
Keywords: Biotechnology Gambling/Casinos Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Travel Children-related news Clinical Trials/Medical Discoveries Public Safety