omniture

Dole Packaged Foods Bertindak Tangani Cabaran Kebolehcapaian Makanan Global

Dole Packaged Foods, LLC
2020-08-27 22:16 764

Bertindak menurut janjinya untuk menjadikan makanan berkhasiat boleh diakses oleh 1 bilion orang menjelang tahun 2025, Dole perkenal program Sunshine for All di salah satu kawasan ketandusan makanan terbesar Amerika: Jackson, Mississippi

JACKSON, Mississippi, 27 Ogos 2020 /PRNewswire/ -- Menunaikan "The Dole Promise" dan bagi menangani krisis ketidakselamatan makanan global yang telah meningkat dengan pandemik COVID-19, hari ini Dole Packaged Foods mengumumkan program Sunshine for All, yang dikhususkan untuk membawa hasil terbungkus dan segar, makanan berkhasiat dan peluang pendidikan kepada komuniti yang paling memerlukannya. Dole memilih Jackson, Mississippi —sebuah bandar dengan salah satu kawasan ketandusan makanan yang terbesar di Amerika dan hanya sebuah kedai runcit untuk setiap 10,000 orang penduduk—untuk memulakan program ini.

Akses kepada makanan yang sihat merupakan satu cabaran global dan sesuatu yang memberi kesan kepada beribu-ribu bandar A.S. dan lebih 40 juta orang di seluruh negara. Krisis ini semakin diterukkan lagi oleh masalah jurang pendapatan yang semakin meningkat dan baru-baru ini, pandemik koronavirus. Kekurangan akses kepada kedai runcit khidmat-penuh, pasar tani dan vendor lain yang menjual buah-buahan serta sayur-sayuran berkhasiat telah mewujudkan kawasan ketandusan makanan (food desert) dan kawasan makanan tidak sihat (food swamp) di seluruh negara. Food desert ditakrifkan sebagai kawasan yang mempunyai akses yang terhad kepada makanan berharga berpatutan dan berkhasiat. Sebaliknya, food swamp merupakan kawasan yang mempunyai banyak restoran makanan segera, kedai serbaneka dan kedai minuman keras yang sebahagian besarnya menjual makanan ringan.

"Program kami adalah lebih daripada sekadar sumbangan bagi menangani cabaran kritikal kebolehcapaian dan kemampuan, selain pendidikan pemakanan dalam komuniti di seluruh dunia," kata Pier Luigi Sigismondi, Presiden Dole Worldwide Packaged Foods. "Jackson akan berperanan sebagai model dari segi bagaimana kami akan menangani cabaran ini di kawasan ketandusan makanan yang lain menggunakan model hiper-tempatan. Bersama-sama rakan kongsi, kami membina asas yang akan mendorong perubahan sistemik dalam komuniti individu dan masyarakat kami amnya."

Bahkan, pengguna boleh mencalonkan sebuah bandar sebagai lokasi Sunshine for All Dole yang seterusnya. Untuk menyertainya, hantarkan emel kepada Marty.Ordman@doleintl.com atau paparkan menggunakan #SunshineforAllYOURCITY melalui Instagram, Twitter atau Facebook bagi memaklumkan Dole mengenai bandar yang harus menjadi hentian seterusnya.

Pemilihan akan dibuat oleh Dole mengikut keperluan (akses kepada makanan segar, status sebagai kawasan ketandusan makanan atau kawasan makanan tidak sihat), bilangan hantaran menggunakan hashtag dan sebutan bandar dan kualiti penyertaan anda (adakah ia menyebut sebabnya, kreativiti). Destinasi Sunshine for All Dole kedua akan diumumkan melalui Giving Tuesday, 1 Disember 2020.

Sunshine for All di Jackson
Jackson dipilih kerana bandar berkenaan hanya mempunyai 20 kedai runcit dan daripada kedai berkenaan, kurang daripada 5 peratus mendapat bekalan hasil segar tanaman tempatan. Sebaliknya, terdapat 70 restoran makanan segera, 60 kedai serbaneka dan 150 stesen minyak yang sebahagian besarnya menjual pilihan yang tidak berkhasiat.

Bagi menandakan pelancaran program tersebut, Datuk Bandar Chokwe Antar Lumumba telah mengisytiharkan hari ini sebagai Sunshine for All Day di Jackson. Bersama-sama datuk bandar, Dole bekerjasama dengan tukang masak serta organisasi tempatan termasuk Boys and Girls Club of Central Mississippi, Up in Farms, The Urban League, Smoothie King dan Foot Print Farms untuk menangani cabaran dalam mendapatkan makanan berkhasiat dengan kreatif ke kawasan terabai di Jackson. Elemen-elemen program yang utama termasuk:

  • Sumbangan $75,000 daripada Dole Packaged Foods kepada Up in Farms bagi menyokong Farm-to-Table Training Center mereka dan melengkapkan dapur terpusat secara berterusan bagi menyediakan 1,000 hidangan berkhasiat/hari kepada mereka yang memerlukan.
  • Pasar tani yang muncul secara mingguan di lokasi-lokasi tempatan Boys and Girls Club, menawarkan hasil tanaman tempatan yang berpatutan daripada Foot Print Farms, 'smoothie' segar daripada Smoothie King dan hidangan panas pantas yang dihasilkan oleh tukang masak tempatan iaitu Nick Wallace, Regina Wallace, Jamie Gwen dan Ally Phillips.
  • Sesi dan kelas Virtual Dole Kids Cooking Camp untuk golongan dewasa yang menawarkan kelas memasak dan teknik bagaimana untuk membeli belah dengan bijak dan makan dengan sihat dengan kos rendah.
  • Membina taman belajar lestari yang terletak di Boys and Girls Clubs dan sekolah rendah, yang bertujuan untuk menginspirasikan kanak-kanak terhadap pemakanan sihat sepanjang hayat dengan buah-buahan serta sayur-sayuran.
  • Pelan masa depan untuk bekerjasama dengan usahawan tempatan bagi memperluaskan pasar tani dan trak makanan sihat di kawasan ketandusan makanan bandar berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai program tersebut dan cara untuk terlibat, kunjungi https://bit.ly/dolesunshine atau sertai Dole hari ini pada jam 12:15 pm ET untuk perbincangan Facebook Live bersama Cef Nick Wallace. Saksikan di facebook.com/dolesunshine.

Latar Belakang Dole Packaged Foods, LLC

Dole Packaged Foods, LLC, ialah peneraju dunia dalam menanam, mendapatkan, mengedarkan dan memasarkan buah-buahan serta makanan ringan yang sihat. Dole menjual barisan rak penuh dengan buah-buahan bungkus yang stabil, buah-buahan sejuk beku, buah-buahan kering dan jus. Syarikat ini memberi tumpuan pada empat tonggak kelestarian dalam semua operasinya: pengurusan air, jejak karbon, pemuliharaan tanah dan pengurangan bahan buangan. Untuk maklumat lanjut sila kunjungi dolesunshine.com.

Source: Dole Packaged Foods, LLC
Keywords: Food/Beverages Retail Corporate Social Responsibility Public Interest