omniture

Persekutuan Diabetes Antarabangsa menyeru pembiayaan dan latihan yang lebih baik untuk membantu jururawat menangani krisis diabetes global

International Diabetes Federation
2020-11-14 08:00 328

IDF memulakan Hari Diabetes Sedunia dan Tahun Jururawat dan Bidan Antarabangsa dengan menawarkan latihan diabetes yang bertauliah secara percuma 

BRUSSELS, 14 November 2020 /PRNewswire/ -- Pada Hari Diabetes Sedunia ini, Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menyeru agar lebih banyak jururawat dilatih untuk membantu penghidap diabetes memahami dan menguruskan keadaan mereka.

Lebih 460 juta orang dianggarkan menghidap diabetes pada masa ini di seluruh dunia dan bilangan ini dijangka meningkat kepada 578 juta menjelang tahun 2030. Tahun lalu saja, penyakit ini menyebabkan kematian 4.2 juta orang dan sekurang-kurangnya $760 bilion perbelanjaan kesihatan dihabiskan - 10% daripada jumlah perbelanjaan penjagaan kesihatan seluruh dunia. Kesan diabetes menjadi tumpuan utama pada tahun ini memandangkan separuh daripada pesakit yang didiagnos positif COVID-19 di sesetengah rantau didapati menghidap penyakit tersebut.

Jururawat berperanan penting dalam membantu penghidap diabetes memahami dan menguruskan keadaan mereka serta menangani faktor risiko diabetes jenis 2 pada individu yang paling mudah terkena jangkitan penyakit. Oleh kerana kelaziman diabetes terus meningkat di seluruh dunia, lebih ramai jururawat terlatih diperlukan untuk membantu individu yang terjejas mengelakkan komplikasi yang sangat teruk - seperti serangan jantung, strok, kehilangan penglihatan, penyakit buah pinggang dan amputasi anggota bawah - dan menggalakkan tingkah laku gaya hidup yang lebih sihat. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberikan amaran mengenai kekurangan 5.9 juta jururawat di seluruh dunia dan mengatakan graduan kejururawatan perlu ditingkatkan kepada 8% setahun untuk mengatasi masalah kekurangan ini menjelang tahun 2030.

IDF mendesak pemerintah negara bertindak balas dan mengambil lebih ramai jururawat untuk membantu merawat penghidap diabetes yang bertambah dan mengutamakan peranan jururawat dengan melabur dalam pembangunan profesional mereka.

Mengulas tentang kekurangan bilangan jururawat sedia ada, Presiden IDF, Profesor Andrew Boulton berkata: "Jururawat merupakan nadi penjagaan kesihatan di seluruh dunia dan mempunyai peranan penting dalam memerangi diabetes secara global. Malangnya, bilangan jururawat yang ada kini tidak mencukupi. Melabur dalam pembangunan jururawat sekarang untuk menjimatkan kos pada masa akan datang merupakan satu kenyataan yang sukar bagi mereka yang menguruskan belanjawan kesihatan. Para pembuat keputusan penjagaan kesihatan sering kali mengabaikan masalah ini sehingga ke suatu masa yang membolehkan mereka melepaskan diri daripada bertanggungjawab terhadap akibat berkaitan. Inilah pendekatan "berjimat sekarang dan terima akibat kemudian" yang pasti gagal. Namun, terbukti kerajaan hari ini telah pun menerima akibat atas kegagalan terdahulu. Bilangan pesakit diabetes semakin pantas meningkat dan tindakan segera diperlukan. Pemerintah mesti mengambil dan melatih tenaga kerja secukupnya untuk membantu penghidap diabetes yang semakin bertambah. Jururawat merupakan komponen penting bagi penyampaian rawatan diabetes yang berkesan, menyokong pengurusan diabetes yang berterusan dan mencegah komplikasi diabetes. Jururawat membuat perubahan."

Judith Mendez RN BSN ialah jururawat dari Belize yang mempunyai hampir 20% penghidap diabetes. Judith, yang juga penghidap diabetes berkata: "Peranan jururawat sangat penting di Belize dan di negara-negara yang mempunyai saiz dan perkembangan ekonomi yang serupa. Sumber yang ada untuk penjagaan diabetes tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan mendesak bagi mencapai kesedaran, pencegahan, pendidikan dan sokongan diabetes yang lebih baik.

"Mereka yang didiagnosis dengan diabetes jenis 2 biasanya hanya diminta untuk memakan pil dan berhati-hati memilih makanan. Tindakan ini adalah seperti menggunakan pembalut luka untuk menyelesaikan krisis dan ia tidak akan berjaya. Jururawat sering diseru untuk memberikan lebih daripada sekadar penjagaan perubatan. Orang ramai mempercayai jururawat, selalunya melebihi profesional kesihatan yang lain. Kami mendengar dengan simpati – tempat yang selamat untuk penghidap diabetes mendapatkan sokongan yang diperlukan. Peningkatan jumlah penghidap diabetes menyebabkan banyak sistem penjagaan kesihatan berada pada tahap yang kritikal. Kerajaan mesti melabur dalam bidang kejururawatan sekarang untuk membantu meningkatkan pendidikan kesihatan rakyat dan meredakan tekanan."

Untuk memperingati Hari Diabetes Sedunia 2020, IDF menggalakkan jururawat dan profesional kesihatan lain meningkatkan pemahaman penjagaan diabetes dengan menawarkan akses percuma kepada kursus dalam talian, IDF School of Diabetes tentang peranan pendidik diabetes. Diiktiraf oleh Majlis Akreditasi Eropah untuk Pendidikan Perubatan Berterusan (EACCME), IDF School of Diabetes ialah satu platform digital yang menyampaikan pendidikan diabetes berasaskan bukti berstandard tinggi untuk profesional kesihatan. Pelajar yang berjaya menghabiskan kursus akan mendapat satu kredit EACCME dan sijil tamat kursus.

Hari Diabetes Sedunia 2020 disokong oleh AstraZeneca, Lilly Diabetes, Merck, Pfizer-MSD Alliance, Novo Nordisk dan Sanofi.

Nota kepada Editor 

Fakta dan angka diabetes sokongan:

  • 463 juta orang dewasa (1 dalam 11 orang) menghidap diabetes pada tahun 2019
  • Jumlah penghidap diabetes dijangka meningkat kepada 578 juta menjelang tahun 2030
  • 1 dalam 2 orang dewasa yang menghidap diabetes kekal tanpa didiagnos (232 juta). Kebanyakannya menghidap diabetes jenis 2
  • Lebih tiga perempat penghidap diabetes tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana
  • Dua pertiga penghidap diabetes tinggal di kawasan bandar dan tiga perempat berada dalam lingkungan umur bekerja
  • Satu perlima penghidap diabetes (136 juta) berumur lebih 65 tahun
  • Bergantung pada wilayah global, hingga 50% diagnosis COVID-19 melibatkan penghidap diabetes
  • Diabetes menyebabkan kematian 4.2 juta orang pada tahun 2019
  • Diabetes mengakibatkan sekurang-kurangnya $760 bilion perbelanjaan kesihatan pada tahun 2019 - 10% daripada jumlah yang dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan di seluruh dunia

Tentang Persekutuan Diabetes Antarabangsa 

Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) ialah organisasi yang menaungi lebih daripada 240 persatuan diabetes nasional di lebih daripada 160 negara dan wilayah. Ia mewakili kepentingan penghidap diabetes yang semakin meningkat dan mereka yang berisiko. Persekutuan telah memimpin komuniti diabetes global sejak tahun 1950. www.idf.org

PDF - https://mma.prnewswire.com/media/1333291/International_Diabetes_Federation_English.pdf

 

Source: International Diabetes Federation
Keywords: Health Care/Hospital New products/services