LONDON, 5 Januari 2021 /PRNewswire/ -- Keputusan terkini Henley Passport Index — kedudukan asal untuk kesemua pasport di dunia mengikut bilangan destinasi yang boleh diakses oleh para pemegang pasport tanpa mendapat visa terlebih dahulu — memberi petunjuk yang menarik terhadap masa depan kebebasan perjalanan seluruh dunia yang telah berubah disebabkan oleh pandemik Covid-19 ini.
Tanpa mengambil kira tentang sekatan sementara, Jepun kekal memegang kedudukan pertama, dengan para pemegang pasportnya mempunyai akses ke 191 buah destinasi tanpa visa. Ini merupakan tahun ketiga berturut-turut, Jepun menduduki tempat teratas. Asia Pasifik (APAC) mendominasi senarai indeks tersebut — berdasarkan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) — yang kini kelihatan semakin kukuh. Singapura berada di kedudukan ke-2, dengan akses ke 190 buah destinasi dan Korea Selatan memegang tempat ke-3 bersama-sama dengan Jerman, dengan kedua-dua negara ini mempunyai akses ke 189 buah destinasi tanpa visa/visa semasa ketibaan. Berada di kedudukan yang agak bawah tetapi masih berada dalam kelompok 10 teratas, New Zealand mendapat tempat ke-7, dengan akses tanpa visa ke 185 buah destinasi, manakala Australia berada pada kedudukan ke-8, dengan akses ke 184 buah destinasi.
Sepanjang sejarah indeks tersebut selama 16 tahun, kedudukan teratas secara tradisinya telah dipegang oleh negara-negara EU, UK atau AS dan pakar-pakar meramalkan kedudukan kekuatan rantau APAC akan terus meningkat kerana rantau ini mempunyai negara-negara terawal yang akan memulakan proses pemulihan pandemik.
Dr. Christian H. Kaelin, Pengerusi Henley & Partners dan merupakan pencipta kepada konsep indeks pasport ini menyatakan bahawa dengan keadaan di AS dan UK yang masih berdepan dengan cabaran hebat berkaitan virus tersebut, keseimbangan kuasa akan berubah. "Sepanjang tujuh tahun yang lalu, kedudukan pasport AS telah turun daripada tempat pertama kepada tempat ke-7, iaitu kedudukan terkini yang dikongsi bersama dengan UK. Disebabkan oleh kekangan perjalanan yang berkaitan dengan pandemik ini, pelancong dari kedua-dua buah negara tersebut kini menghadapi sekatan utama dari lebih 105 buah negara, dengan para pemegang pasport AS dapat melakukan perjalanan ke kurang daripada 75 buah destinasi, manakala para pemegang pasport UK kini mempunyai akses ke kurang daripada 70 buah destinasi."
Apabila vaksin Covid-19 pertama telah diluluskan hanya lebih sebulan yang lalu, pakar industri syarikat penerbangan percaya bahawa pemvaksinan mandatori sebelum perjalanan udara mungkin akan menjadi suatu kemestian. Suatu inovasi teknologi yang dijadualkan akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2021 akan menyumbang kepada pemulihan mobiliti global, iaitu Inisiatif Pas Perjalanan IATA — merupakan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengembara menyimpan dan menguruskan pensijilan yang disahkan untuk ujian Covid-19 atau vaksin.
Pakar-pakar meramalkan bahawa dari segi mobiliti global di masa hadapan, kita tidak boleh mengharapkan ia akan kembali semula kepada pola sewaktu pra-pandemik. Dr. Parag Khanna, Pengasas FutureMap, menyatakan kewarganegaraan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk menjamin perjalanan yang selamat. "Malah untuk pasport yang dianggap paling berkuasa, protokol tambahan akan turut diperlukan untuk memperoleh semula kelancaran mobiliti. Belia pada masa kini mempunyai kesedaran sosial dan alam sekitar serta kurang nasionalistik — kesemua sifat tersebut membuatkan mereka berpotensi untuk menjadi generasi yang mempunyai mobiliti paling tinggi dalam sejarah manusia. Mereka menjadi pengarak kepada perubahan terbesar dalam mobiliti iaitu berubah daripada bersikap nasionalistik kepada menjadi diri mereka sendiri."
Dapatan utama selanjutnya serta analisis pakar terdapat dalam Laporan Mobiliti Global Q1 2021 yang dikeluarkan oleh Henley & Partners hari ini. Laporan ini termasuk penyelidikan baharu oleh Deep Knowledge Group, yang merangkumi data daripada Penilaian Risiko dan Keselamatan Covid-19 terhadap kestabilan ekonomi, sosial dan kesihatan di 250 buah negara dan wilayah serta keputusan terkini Henley Passport Index . Rumusan daripada laporan ini ialah sama ada negara maju atau negara membangun, kebebasan perjalanan bukan sahaja disebabkan oleh kekurangan kebebasan sosial atau pembangunan ekonomi yang lemah tetapi juga disebabkan oleh kegagalan di dalam pengurusan risiko, ketersediaan kesihatan dan pemantauan serta pengesanan. Dalam erti kata lain, ketidakbolehan pergerakan global tidak lagi cuma menjadi kesukaran kepada warganegara negara-negara yang kurang maju.
Keadaan ini mungkin menjadi penyebab kepada kewujudan beberapa perjanjian visa berprofil tinggi pada tahun 2020. Pengecualian yang ketara ialah negara UAE yang terus kekal dengan trajektori menaik yang menakjubkan dan ditunjukkan pada Henley Passport Index. Negara ini telah memeterai perjanjian penting yang diaturkan oleh AS bagi membentuk hubungan rasmi dengan Israel dan membolehkan penduduk kedua-dua buah negara untuk mengakses antara satu sama lain tanpa visa. UAE kini mempunyai akses ke 173 buah destinasi tanpa visa/visa semasa ketibaan dan menduduki tempat ke-16 dalam senarai kedudukan tersebut. Ini merupakan peningkatan yang menakjubkan jika dibandingkan dengan kedudukan yang dipegang oleh UAE sewaktu indeks ini ditubuhkan pada tahun 2006, negara ini telah menduduki tempat ke-62, dengan akses ke 35 buah destinasi sahaja tanpa visa/visa semasa ketibaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners Dr. Juerg Steffen menyatakan ketidaktentuan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19 telah mendorong kepada peningkatan rayuan yang terlampau tinggi bagi penghijrahan pelaburan. "Peristiwa yang belum pernah berlaku sebelum tahun 2020 ini secara serentak telah menjadikan faktor tolakan bertambah buruk yang mendorong kepada keadaan seperti ketidakstabilan politik dan ekonomi tetapi memberi keutamaan semula kepada faktor tarikan iaitu kestabilan, keselamatan serta akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan yang berkualiti yang lebih diberikan perhatian berbanding sebelumnya. Kewarganegaraan dan kediaman alternatif kini menjadi pertimbangan standard untuk keluarga dan usahawan antarabangsa yang mahukan perlindungan terhadap ketidaktentuan dan mewujudkan nilai jangka panjang melalui mobiliti global yang dipertingkatkan."
Hubungan Media
Sarah Nicklin
Ketua Perhubungan Awam Kumpulan
sarah.nicklin@henleyglobal.com