omniture

CGTN: China siap siaga untuk pembangunan bertumpu rakyat, mesra alam, berkualiti tinggi

CGTN
2021-03-09 01:27 2388

BEIJING, 9 Mac 2021 /PRNewswire/ -- Ketika China memasuki peringkat pembangunan baharu, wilayah-wilayah dan sektor-sektor yang berbeza di seluruh negara bersiap siaga untuk meningkatkan kualiti pembangunan dalam ekonomi kedua terbesar di dunia ini.

Turut menyertai perbincangan panel semasa Dua Sesi yang sedang berlangsung di China, Presiden Xi Jinping menekankan beberapa kata kunci yang amat penting untuk pembangunan dalam tahun-tahun akan datang: paradigma pembangunan baharu, transformasi hijau, falsafah bertumpu rakyat dan pembangunan berkualiti tinggi.

Kata-kata ini merupakan konsep penting yang diketengahkan dalam rangka tindakan pembangunan China yang terkini – draf Rangka untuk Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 (2021-2025) bagi Pembangunan Ekonomi dan Sosial serta Objektif-objektif Jangka Panjang sehingga tahun 2035, yang sedang dikaji di sesi keempat Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) kali ke-13, badan perundangan tertinggi China.

Paradigma pembangunan baharu

Xi, yang juga merupakan setiausaha agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) dan pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, menyeru Wilayah Autonomi Mongolia Dalam utara China untuk berkhidmat dan berintegrasi ke dalam paradigma pembangunan baharu negara pada hari Jumaat.

Turut menyertai perbincangan bersama rakan-rakan penggubal undang-undang dari wilayah berkenaan, beliau menyeru usaha untuk membina Mongolia Dalam menjadi asas negara untuk sumber tenaga dan strategik yang utama, asas pengeluaran untuk pertanian dan penternakan serta pintu gerbang untuk pembukaan ke arah utara.

Xi berkata Mongolia Dalam harus mencari peranannya dalam pewujudan paradigma pembangunan baharu "dwiperedaran" negara yang mana pasaran domestik dan luar negara saling mengukuhkan antara satu sama lain, dengan pasaran domestik sebagai tulang belakang.

Transformasi hijau

Mongolia Dalam harus berusaha untuk menggiatkan transformasi hijau industri-industri dan bidang-bidang utama, menggalakkan pengeluaran yang lebih bersih dan mempercepatkan pembangunan mesra alam serta rendah karbon, kata Presiden Xi, mendesak usaha untuk mendorong pembangunan pintar dan mesra alam sektor-sektor berkaitan ke arah pembangunan berkualiti lebih tinggi.

Pembangunan mesra alam juga merupakan topik utama semasa perbincangan Xi bersama penggubal undang-undang dari Wilayah Qinghai barat laut China pada hari Ahad. Beliau berkata bahawa Qinghai harus mengutamakan perlindungan ekologi, menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi dan mewujudkan kehidupan berkualiti tinggi untuk rakyat, menyeru wilayah tersebut untuk melakar pencapaian baharu dalam melindungi ekologi Dataran Tinggi Qinghai-Tibet serta memajukan pembangunan lestari.

Xi menggalakkan Qinghai untuk menggiatkan usaha membina asas perindustrian tasik garam bertaraf dunia dan memupuk sistem ekonomi yang mencapai pembangunan pusingan yang mesra alam dan rendah karbon.

Qinghai menggalas tanggungjawab yang besar untuk keselamatan ekologi China dan pembangunan lestari negara, kata beliau, menggesa wilayah tersebut untuk melindungi Sanjiangyuan —"sumber tiga batang sungai," termasuk sungai Yangtze, sungai Kuning dan sungai Lancang.

China berikrar untuk mencapai puncak emisi karbon dioksida sebelum tahun 2030 dan meraih keneutralan karbon sebelum tahun 2060.

Falsafah bertumpu rakyat

Falsafah bertumpu rakyat dalam pembangunan telahpun ditekankan dalam cadangan oleh Jawatankuasa Pusat CPC bagi merangka FYP ke-14 dan matlamat jangka panjang. Negara ini akan menggalakkan kesejahteraan bersama buat semua orang dan memastikan pembangunan adalah untuk rakyat dan oleh rakyat sementara hasilnya dikongsi oleh rakyat.

Presiden Xi mengulangi konsep ini semasa berlangsungnya perbincangan panel bersama timbalan-timbalan dari Qinghai, menyatakan bahawa wilayah-wilayah di seluruh China harus mematuhi falsafah bertumpu rakyat dalam pembangunan dan mengejar pembangunan yang inovatif, terselaras, mesra alam, terbuka dan bersama.

Beliau menggesa kerajaan wilayah Qinghai untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan menambah baik perkhidmatan awam seperti pendidikan, keselamatan sosial, rawatan kesihatan, perawatan dan perumahan.

Beliau turut menyeru Mongolia Dalam dan Qinghai untuk menggabungkan pencapaian dalam perjuangan membasmi kemiskinan dan memajukan strategi pengukuhan luar bandar.

Di mesyuarat kumpulan bersama antara penasihat politik negara daripada sektor pendidikan, perubatan dan kesihatan pada hari Sabtu, Xi menegaskan pemberian "keutamaan strategik" bagi melindungi kesihatan orang ramai dan membina sistem perkhidmatan pendidikan awam asas yang berkualiti tinggi dan seimbang.

Mesyuarat ini diadakan semasa sesi keempat Persidangan Perundingan Politik Rakyat Cina Jawatankuasa Kebangsaan ke-13, badan penasihat politik tertinggi negara.

Xi memuji petugas kesihatan kerana "membina tembok besi" terhadap COVID-19 pada waktu yang kritikal dan menyeru pembaharuan serta peningkatan sistem pencegahan dan kawalan penyakit.

Pembangunan berkualiti tinggi

Pada hari Sabtu, Presiden Xi menyebut perkataan "berkualiti tinggi" beberapa kali dalam perbincangan beliau bersama penasihat politik negara.

Jaringan perlindungan kesihatan awam China harus diperkukuhkan dan usaha perlu dilakukan bagi menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi terhadap hospital awam, kata beliau, menuntut rawatan kesihatan yang komprehensif buat rakyat pada semua peringkat kehidupan.

Berhubung bidang pendidikan, beliau berkata bahawa negara perlu berusaha untuk membina sistem perkhidmatan pendidikan awam asas yang berkualiti tinggi dan seimbang. Beliau turut menyeru usaha untuk melatih lebih ramai bakat yang dapat menyumbang kepada pembangunan berkualiti tinggi dan keandalan diri tahap tinggi China.

Xi menyimpulkan kepentingan pembangunan berkualiti tinggi pada hari Ahad, menyifatkannya sebagai tema pembangunan ekonomi dan sosial China dalam tempoh FYP ke-14 dan seterusnya.

Wilayah-wilayah berbeza harus mencari jalan ke arah pembangunan berkualiti tinggi yang sesuai dengan keadaannya dan mengambil tindakan tegas bagi meningkatkan taraf hidup rakyat, tambah beliau.

https://news.cgtn.com/news/2021-03-07/China-gears-up-for-people-centered-green-high-quality-development-YrttpZd5pm/index.html

 

Source: CGTN
Related Links:
Keywords: Broadcast Technology Computer/Electronics Environmental Products & Services Green Technology Publishing/Information Service New products/services Future Events