omniture

Penyelidikan Baharu Mendedahkan Pilihan Program Penghijrahan Pelaburan Terbaik untuk Individu Bernilai Bersih Tinggi (HNWI) yang Mencari Keselamatan Kesihatan

Henley & Partners; Deep Knowledge Analytics
2021-03-23 17:00 35

LONDON, 23 Mac 2021 /PRNewswire/ -- Sebagai tindak balas kepada permintaan global yang belum pernah berlaku sebelum ini terhadap program kediaman dan kewarganegaraan melalui pelaburan sebagai cara menangani batasan dan risiko halangan yang disebabkan oleh bidang kuasa tunggal ketika berlakunya pandemik COVID-19, Deep Knowledge Analytics dan Henley & Partners telah menerbitkan Investment Migration Programs Health Risk Assessment(Penilaian Risiko Kesihatan Program Penghijrahan Pelaburan) – suatu senarai kedudukan dan analisis tentang cara negara-negara berdaulat yang menjalankan program ini melaksanakannya semasa pandemik global ini dan kemungkinan menjadi tarikan yang bertahan lama pada masa hadapan.

Mempertimbangkan lebih 4,000 mata data dan 140 parameter berbeza, laporan inovatif ini menampilkan analisis sistematik, kaedah interaktif dan wawasan eksklusif terhadap 31 buah negara yang menganjurkan program penghijrahan pelaburan untuk menarik modal dan bakat asing menangani krisis kesihatan dan ekonomi global akibat COVID-19.

Dr. Juerg Steffen, Ketua Pegawai Eksekutif Henley & Partners menyatakan bahawa ini merupakan sumber yang amat berharga bagi mereka yang sedang mempertimbangkan penghijrahan pelaburan sebagai cara mewujudkan nilai optimum dan mengurangkan risiko dari segi tempat untuk mereka tinggal, bekerja, belajar dan melabur. "Kekacauan dan gangguan yang dialami di seluruh dunia sepanjang tahun lalu menyaksikan akses kepada keselamatan kesihatan menjadi kepentingan yang utama."

Dmitry Kaminskiy, Pengasas Bersama Deep Knowledge Group menyatakan bahawa paradigma "kesihatan sebagai kekayaan baharu" telah menjadi keutamaan penting dalam kalangan komuniti pelaburan global. "Tanggapan bahawa kesihatan dan bukannya kekayaan merupakan kelas aset yang paling berharga, akan menyaksikan peningkatan terhadap negara yang menggalakkan penghijrahan dan penempatan semula individu dan institusi berdasarkan keutamaan kesejahteraan berbanding modal."

Hasil laporan tersebut meletakkan Kanada sebagai negara penghijrahan pelaburan terbaik dari segi kesediaan pengurusan kesihatan dan risiko, manakala New Zealand di kedudukan ke-2 dan Australia berada di tempat ke-3. Empat buah negara Eropah berada di kelompok sepuluh negara terbaik dengan Switzerland berada di tempat ke-4, Austria di tempat ke-5, Itali di tempat ke-9 dan UK menduduki tempat ke-10.

Terdapat juga kejutan yang menarik pada kedudukan negara eselon yang lebih tinggi dengan UAE di tempat ke-6, satu anak tangga selepas Austria dan satu anak tangga di atas Singapura yang berada di tempat ke-7 dan Hong Kong berada pada kedudukan ke-8. Turki dan Ireland berada pada kedudukan di bawah UK iaitu bersama-sama menduduki tempat ke-11. Walaupun merupakan negara yang paling berkuasa di dunia dan mempunyai peratusan tertinggi KDNK dalam penjagaan kesihatan, AS menduduki tempat ke-16 daripada 31 buah negara penghijrahan pelaburan.

Dr. Parag Khanna, Rakan Kongsi Pengurusan FutureMap menyatakan bahawa negara-negara perlu belajar daripada pengalaman COVID dan meningkatkan keselamatan kesihatan mereka serta melakukan reformasi lain untuk menarik pendatang pelabur pada fasa seterusnya. "Pilihan program penghijrahan pelaburan mungkin akan berkembang dengan baik. Banyak negara telah mengubah dasar visa mereka dengan bijak dan cepat ketika pandemik ini yang membolehkan pelancong diklasifikasikan sebagai nomad, nomad untuk ditukarkan kepada usahawan dan usahawan kepada penduduk."

Sila lihat laporan penuh Investment Migration Programs Health Risk Assessment secara dalam talian.

 

 

Source: Henley & Partners; Deep Knowledge Analytics
Keywords: Banking/Financial Service Travel Survey, Polls & Research Legal Services