omniture

ADNOC: Detik Bersejarah apabila Kontrak Murban Futures yang Pertama di Dunia Memulakan Perdagangan

ADNOC
2021-03-29 23:29

- Kedudukan Abu Dhabi sebagai hab tenaga global diperkukuhkan apabila Murban Futures ICE melancarkan bursa komoditi IFAD yang baharu

- Murban memulakan perdagangan bersama-sama Brent, WTI dan kontrak niaga hadapan terkemuka yang lain sebagai sebahagian daripada rangkaian ICE

- Sembilan daripada syarikat tenaga dan pedagang terbesar di dunia menyertai ICE dan ADNOC untuk melancarkan Murban Futures

ABU DHABI, Emiriah Arab Bersatu, 29 Mac 2021 /PRNewswire/ -- Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi (Abu Dhabi National Oil Company, ADNOC) dan Bursa Antara Benua (Intercontinental Exchange, ICE) hari ini meraikan permulaan perdagangan secara rasmi bagi minyak mentah terbaik Emiriah Arab Bersatu (UAE), Murban sebagai kontrak Niaga Hadapan di bursa komoditi ICE Futures Abu Dhabi (IFAD) yang baharu. 

Semasa pelancaran berprofil tinggi di Pasaran Global Abu Dhabi (Abu Dhabi Global Market, ADGM) yang dihadiri oleh Yang Amat Mulia Sheikh Mansoor Bin Zayed Al Nahyan, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Presiden Emiriah Arab Bersatu, ADNOC serta rakan kongsi ICE Futures Abu Dhabi, ia menandakan permulaan perdagangan untuk minyak mentah Murban ADNOC pada ICE Futures Abu Dhabi, satu kejayaan yang signifikan bagi Abu Dhabi dan UAE pada ulang tahun jublinya. 

Pengenalan kepada kontrak Murban Futures yang pertama di dunia ini merupakan langkah terkini dalam transformasi berterusan ADNOC untuk menjadi organisasi yang lebih berpusatkan pasaran dan pelanggan. Dengan menjadikan Murban sebagai minyak mentah yang diperdagangkan secara bebas, sama seperti Brent atau WTI, pelanggan memperoleh ketelusan harga yang lebih baik, fleksibiliti untuk melindung nilai dan menguruskan risiko serta meningkatkan akses kepada minyak mentah Murban. Bagi ADNOC, gred minyak mentah terbaiknya menjadi lebih tersedia untuk set peserta pasaran yang lebih luas di seluruh dunia. 

Selain daripada ICE dan ADNOC, sembilan syarikat tenaga dan pedagang terbesar di dunia turut menyertai IFAD sebagai rakan kongsi pengasas. Ini termasuk BP, GS Caltex, INPEX, ENEOS, PetroChina, PTT, Shell, Total dan Vitol. Wakil daripada syarikat rakan kongsi tersebut menyertai acara pelancaran hari ini di ADGM sementara ramai yang lain mengambil bahagian secara maya di seluruh dunia.

Sebagai menghargai kontrak Murban Futures yang baharu, Tuan Yang Terutama Dr. Sultan Al Jaber, Menteri Industri dan Teknologi Canggih UAE serta Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ADNOC berkata: "Ini merupakan detik bersejarah bagi ADNOC, Abu Dhabi dan UAE apabila kami meraikan pelancaran bursa IFAD dengan ICE berserta rakan kongsi kami yang memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat terhadap minyak mentah Murban yang berkualiti tinggi, terutama di pasaran Asia. Pencapaian ini membuktikan visi dan pandangan jauh kepimpinan kami yang bijak, yang telah menyokong langkah progresif ini untuk menjadikan minyak mentah Murban sebagai komoditi yang diperdagangkan secara bebas dan tersedia secara lebih meluas kepada para pembeli dan pedagang di seluruh dunia."

"Pelancaran kontrak Murban Futures yang pertama di dunia menjadikan gred minyak mentah terbesar kami lebih menarik kepada pasaran global yang membolehkan para pelanggan dan peserta pasaran ADNOC menetapkan harga, menguruskan dan memperdagangkan pembelian Murban mereka dengan lebih baik. Murban Crude diiktiraf di seluruh dunia kerana kualiti kimia intrinsik, jumlah pengeluaran yang konsisten dan stabil dengan sejumlah besar pembeli antarabangsa serta bilangan rakan kongsi konsesi dan pengeluaran jangka panjang yang ramai. Dalam menjadikan Murban sebagai komoditi global yang diperdagangkan secara bebas, ia menjadi lebih menarik kepada peserta pasaran dan akan memberikan nilai yang lebih besar kepada ADNOC dan rakan kongsinya. Pencapaian bersejarah dan strategik ini memperkukuhkan status UAE dan Abu Dhabi sebagai hab tenaga global terkemuka dan menyerlahkan peranan berpusat ADNOC sebagai pemangkin untuk memperkasakan cita-cita ekonomi UAE."

Pada awal bulan ini, ADNOC mengumumkan bahawa kesemua gred minyak mentah Murban, Upper Zakum, Das dan Umm Lulu akan dijual ke mana-mana destinasi secara bebas bermula dari bulan Jun yang membolehkan minyak mentahnya menjadi komoditi yang diperdagangkan secara bebas.

Ditemui pada tahun 1958, Murban telah memainkan peranan penting sebagai batu asas pembangunan ekonomi UAE yang lestari. Dengan pelancaran IFAD dan Kontrak Murban Futures yang baharu, ia memasuki era baharu yang memantapkan lagi kedudukan Abu Dhabi sebagai hab tenaga global dan penyedia tenaga yang boleh dipercayai dan penting kepada dunia.

Murban Futures ICE merupakan kontrak yang dihantar secara fizikal, dengan satu kontrak niaga hadapan bersamaan dengan 1,000 tong minyak mentah Murban yang dibawa dari Terminal ADNOC yang terletak di Fujairah, di pantai Timur UAE. Murban ialah gred minyak mentah terbaik ADNOC dengan kapasiti pengeluaran melebihi 2 juta tong setiap hari pada masa ini. Ia menyumbang sekitar 50% daripada jumlah kapasiti pengeluaran UAE pada masa ini, dengan perancangan untuk meningkatkan pengeluaran Murban kepada lebih 2.5 juta tong sehari menjelang tahun 2030, selaras dengan matlamat ADNOC untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 5 juta tong minyak mentah setiap hari.

"Pelancaran IFAD merupakan pencapaian yang luar biasa yang tidak akan dapat direalisasikan tanpa visi, ketabahan dan usaha bertahun-tahun oleh Tuan Yang Terutama Dr. Sultan, pasukannya di ADNOC serta kepemimpinan UAE dalam membawa Murban ke pasaran," kata Jeffrey C. Sprecher, Pengasas merangkap Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Antara Benua. "Pada hari ini, dengan rakan kongsi kami yang cemerlang, kami membawakan penanda aras baharu dan sepertimana Murban memperkasakan UAE sejak 50 tahun yang lalu, kontrak niaga hadapan baharu ini mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadikan Murban sebagai penanda harga untuk pasaran tenaga global."

T.Y.T Dr. Al Jaber akan merasmikan acara pembukaan Bursa Saham New York yang ikonik secara maya pada lewat hari ini, satu lagi bursa antarabangsa yang dimiliki dan dikendalikan oleh ICE untuk meraikan pelancaran IFAD dan kontrak Murban Futures yang baharu.

Tuan Yang Terutama Ahmed Ali Al Sayegh, Menteri Negara (UAE) dan Pengerusi Pasaran Global Abu Dhabi berkata: "Ucapan tahniah yang ikhlas daripada kami kepada Bursa Antara Benua, Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi dan sembilan buah syarikat tenaga global di atas kejayaan melancarkan bursa ICE Futures Abu Dhabi (IFAD). Ini merupakan bursa derivatif yang pertama di Abu Dhabi dan ditubuhkan di ADGM.  Kami berbangga menjadi bidang kuasa pilihan IFAD dan tempat kepada kontrak Murban Crude Oil Futures yang terkemuka di dunia. Pelancaran ICE Futures Abu Dhabi mengukuhkan lagi status Abu Dhabi sebagai hab tenaga global. Kami memberi sokongan sepenuhnya dan mengharapkan pencapaian dan pertumbuhan yang berterusan bagi institusi tempatan kami, IFAD dan komuniti derivatif di UAE dan banyak lagi."

Murban Futures akan diperdagangkan secara global pada platform ICE iaitu salah satu rangkaian bursa tenaga yang terpenting di dunia. Semua dagangan diselesaikan melalui ICE Clear Europe yang berpusat di London. Bermula pada hari ini, Murban kini diperdagangkan bersama-sama dengan ICE Brent dan ICE WTI dalam rangkaian ICE. 

ADNOC beralih kepada harga hadapan untuk minyak mentahnya pada bulan Mac 2020 dan harga Murban yang ditetapkan sebelum ini menggunakan Platts Dubai untuk menentukan harga jualan rasminya (official selling price, OSP). Syarikat ini akan menggerakkan mekanisme penentuan harga hadapan untuk Murban ke dalam Kontrak ICE Murban Futures bermula dari bulan Jun, berbetulan dengan tamatnya tempoh Murban Futures yang pertama.

Pada awal bulan ini, syarikat tersebut juga mengesahkan bahawa Upper Zakum, Das dan Umm Lulu akan ditetapkan pada harga yang berbeza daripada harga Murban yang diumumkan. Walaupun Kontrak ICE Murban Futures yang baharu akan digunakan untuk mengenal pasti harga Murban dua bulan lebih awal, ADNOC akan mengumumkan harga gred minyak mentah Upper Zakum, Das dan Umm Lulu pada awal bulan iaitu sebelum bulan pemuatan (dikenali sebagai M-1).

Mekanisme harga hadapan berasaskan pasaran untuk minyak mentah Murban ADNOC meningkatkan daya tarikan Murban, mewujudkan ketelusan dan fleksibiliti tambahan untuk para peserta pasaran dan pelanggan ADNOC.

Sebagai pasaran baharu untuk Murban Futures, Pasaran Global Abu Dhabi dengan pantas telah menempatkan kedudukannya sebagai pusat perdagangan komoditi terkemuka manakala IFAD menyertai dua entiti perdagangan langsung di pasaran antarabangsa iaitu Perdagangan Global ADNOC dan Perdagangan ADNOC. Kontrak Murban Futures melancarkan minyak mentah utama Abu Dhabi ke pasaran tenaga global dan mengukuhkan kedudukan UAE sebagai hab dan peneraju tenaga.

Tentang ADNOC 

ADNOC ialah sebuah kumpulan tenaga dan petrokimia pelbagai yang terkemuka yang dimiliki sepenuhnya oleh Emiriah Abu Dhabi. Objektif ADNOC adalah untuk memaksimumkan nilai rizab hidrokarbon Emiriah yang luas melalui penerokaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab dan lestari untuk menyokong pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi Emiriah Arab Bersatu. Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari: www.adnoc.ae

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1475957/ADNOC_Logo.jpg?p=medium600  
Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1475958/MurbanAbuDhabi_Logo.jpg?p=medium600

Untuk pertanyaan media, sila hubungi: Philip Robinson, Pengurus, Perhubungan Luaran ADNOC, +971 (0) 50 504 4934, probinson@adnoc.ae 

 

Source: ADNOC
Related Links:
Keywords: Banking/Financial Service Oil/Energy Utilities New products/services