omniture

Johnson & Johnson Mengumumkan Perjanjian Pembelian Awal dengan African Vaccine Acquisition Trust untuk Calon Vaksin COVID-19 Syarikat

Johnson & Johnson
2021-03-30 22:02

Sehingga 400 juta dos calon vaksin sekali suntik Syarikat akan disediakan untuk negara-negara anggota Kesatuan Afrika

Ketersediaan vaksin ini adalah tertakluk kepada kelulusan kawal selia negara

Data telah menunjukkan bahawa calon vaksin melindungi COVID-19 yang berkaitan dengan kemasukan ke hospital dan kematian di wilayah geografi yang luas, termasuk mereka yang dijangkiti varian yang sangat dibimbangi

NEW BRUNSWICK, New Jersey, 30 Mac 2021 /PRNewswire/ -- Janssen Pharmaceutica NV, salah sebuah syarikat Janssen Pharmaceutical Companies of Johnson & Johnson (NYSE: JNJ) (Syarikat), telah menandatangani sebuah perjanjian dengan African Vaccine Acquisition Trust (AVAT) untuk menyediakan hingga 220 juta dos calon vaksin COVID-19 sekali suntik kepada 55 buah negara anggota Kesatuan Afrika dengan penghantaran yang bermula pada suku ketiga 2021. AVAT juga berpotensi untuk memesan 180 juta dos tambahan yang menghasilkan jumlah keseluruhan hingga 400 juta dos hingga tahun 2022. Ketersediaan calon vaksin ini adalah tertakluk kepada kejayaan memperoleh kelulusan atau kebenaran oleh pihak berkuasa nasional negara-negara anggota AU.

"Sejak bermulanya pandemik ini, Johnson & Johnson telah menyedari bahawa tiada sesiapa pun yang selamat sehingga semua orang adalah selamat dan kami telah komited untuk menyediakan akses global yang adil kepada vaksin COVID-19 yang baharu," kata Alex Gorsky, Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Johnson & Johnson. "Sokongan kami terhadap Kemudahan COVAX dan digabungkan dengan perjanjian tambahan dengan negara dan wilayah akan membantu mempercepat perkembangan global dalam menamatkan pandemik COVID-19 ini."

Johnson & Johnson komited untuk memastikan akses global yang adil kepada calon vaksin COVID-19 sekali suntik bagi penggunaan kecemasan pandemik tanpa berasaskan keuntungan. Pada bulan Disember 2020 yang lalu, Syarikat tersebut telah menandatangani suatu perjanjian prinsipal dengan Gavi, the Vaccine Alliance (Gavi) untuk menyokong Kemudahan COVAX yang mendukung keperluan vaksinasi awal bagi 190 buah negara ekonomi yang mengambil bahagian termasuk kebanyakan negara di Afrika. Syarikat dan Gavi menjangkakan untuk memeterai Perjanjian Pembelian Pendahuluan (Advance Purchase Agreement, APA) yang akan menyediakan hingga 500 juta dos vaksin Syarikat kepada COVAX hingga tahun 2022.

Selain itu, Johnson & Johnson menyedari kesan COVID-19 yang semakin teruk di Afrika serta kemunculan dan penyebaran berterusan varian SARS-CoV-2 di Republik Afrika Selatan yang menunjukkan peningkatan kebolehpindahan.

Data daripada kajian ENSEMBLE Fasa 3 menunjukkan bahawa vaksin COVID-19 Johnson & Johnson telah diterima dengan baik dan menunjukkan pengurangan sebanyak 67 peratus penyakit COVID-19 bergejala pada para peserta yang menerima vaksin tersebut berbanding peserta yang diberi plasebo. Permulaan perlindungan diperhatikan bermula dari hari ke-14 dan kekal hingga 28 hari selepas vaksinasi.

Data juga menunjukkan vaksin ini adalah 85 peratus berkesan dalam mencegah penyakit teruk di semua wilayah yang dikaji dan menunjukkan perlindungan terhadap COVID-19 yang berkaitan dengan kemasukan ke hospital dan kematian di seluruh negara dengan varian yang berbeza, bermula 28 hari setelah vaksinasi. Varian yang diperhatikan dalam analisis yang sedang berlangsung dalam kajian ENSEMBLE ini merangkumi varian B.1.351 yang dikenal pasti dalam 95 peratus daripada kes COVID-19 di Afrika Selatan.

Maklumat Rantaian Bekalan dan Pembuatan
Johnson & Johnson telah mewujudkan rangkaian pembuatan dan pembekalan global untuk vaksin COVID-19nya melalui kerjasama dengan sembilan rakan kongsi di empat buah benua termasuk Aspen Pharmacare di Afrika Selatan. Aspen akan menyokong penghantaran vaksin ke negara-negara anggota AU serta menyumbang kepada ketersediaan vaksin di seluruh dunia.

Vaksin sekali suntik COVID-19 Johnson & Johnson bersesuaian dengan penyimpanan dan saluran pengedaran vaksin standard yang membolehkan penghantaran ke kawasan terpencil. Vaksin ini dianggarkan kekal stabil selama dua tahun pada suhu -25 hingga -15°C, maksimum selama tiga bulan dengan penyejukan rutin pada suhu 2°-8°C. Ini membolehkan vaksin tersebut dihantar menggunakan teknologi rantaian penyejukan yang sama yang digunakan untuk pengangkutan ubat-ubatan dan vaksin lain dalam penggunaan rutin.

Vaksin COVID-19 Johnson & Johnson
Vaksin COVID-19 Johnson & Johnson memanfaatkan platform vaksin AdVac® , suatu teknologi proprietari yang juga digunakan untuk membangunkan dan mengeluarkan regimen vaksin Ebola Janssen yang diluluskan oleh Suruhanjaya Eropah serta vaksin penyelidikan untuk Zika, RSV dan HIV.

Pemfailan Peraturan 
Vaksin COVID-19 sekali suntik Johnson & Johnson diberikan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 12 Mac, Kebenaran Pemasaran Bersyarat daripada Suruhanjaya Eropah pada 11 Mac dan Kebenaran Penggunaan Kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan A.S. pada 27 Februari 2021. Vaksin COVID-19 sekali suntik ini juga telah diberi kebenaran Perintah Interim di Kanada dan permohonan kelulusan tambahan telah diusahakan di beberapa buah negara di seluruh dunia.

Untuk maklumat lanjut tentang pelbagai pendekatan Syarikat bagi membantu memerangi pandemik ini, sila layari: www.jnj.com/coronavirus.

Tentang Johnson & Johnson
Di Johnson & Johnson, kami percaya bahawa kesihatan yang baik merupakan asas kepada kehidupan yang bertenaga, komuniti yang berkembang maju dan perkembangan masa hadapan. Itulah sebabnya selama lebih 130 tahun, kami bermatlamat untuk menjaga kesihatan orang ramai pada setiap peringkat usia dan setiap peringkat kehidupan. Kini, sebagai sebuah syarikat penjagaan kesihatan yang berpangkalan luas dan terbesar di dunia, kami komited untuk memanfaatkan jangkauan dan saiz kami untuk kebaikan. Kami berusaha untuk meningkatkan akses dan kemampuan, mewujudkan komuniti yang lebih sihat serta menempatkan minda, tubuh dan persekitaran yang sihat dalam jangkauan setiap orang di mana-mana sahaja. Kami menggabungkan hati, sains dan kepintaran kami untuk mengubah trajektori kesihatan demi kemanusiaan sejagat. Ketahui lebih lanjut di www.jnj.com. Ikuti kami di @JNJNews.

Tentang Janssen Pharmaceutical Companies of Johnson & Johnson
Di Janssen, kami mencipta masa hadapan dengan menjadikan penyakit sebagai perkara di masa silam. Kami di Pharmaceutical Companies of Johnson & Johnson, berusaha tanpa mengenal penat lelah untuk menjadikan masa depan para pesakit suatu realiti di mana-mana sahaja dengan memerangi penyakit melalui sains, meningkatkan akses menggunakan kepintaran dan memulihkan rasa putus asa dengan hati kami. Kami memberi tumpuan kepada bidang perubatan yang kami dapat melakukan perbezaan terbesar: Kardiovaskular & Metabolisme, Imunologi, Penyakit Berjangkit & Vaksin, Neurosains, Onkologi dan Hipertensi Pulmonari. Ketahui lebih lanjut di www.janssen.com. Ikuti kami di @JanssenGlobal.

Peringatan Tentang Pernyataan Berpandangan ke Hadapan

Siaran akhbar ini mengandungi "pernyataan berpandangan ke hadapan" seperti yang ditakrifkan dalam Akta Pembaharuan Litigasi Sekuriti Swasta 1995 tentang pembangunan vaksin pencegahan yang berpotensi untuk COVID-19. Para pembaca diingatkan agar tidak bergantung pada pernyataan berpandangan ke hadapan ini. Pernyataan ini adalah berdasarkan jangkaan masa kini terhadap peristiwa masa depan. Sekiranya andaian yang mendasari membuktikan ketidaktepatan atau berlaku risiko yang diketahui atau tidak diketahui atau ketidakpastian, hasil sebenar mungkin berbeza secara material daripada jangkaan dan unjuran Syarikat, mana-mana syarikat Janssen Pharmaceutical Companies yang lain, dan/atau Johnson & Johnson. Risiko dan ketidakpastian termasuk, tetapi tidak terhad kepada: cabaran dan ketidakpastian yang wujud dalam penyelidikan dan pembangunan produk, termasuk ketidakpastian kejayaan klinikal dan memperoleh kelulusan badan kawal selia; ketidakpastian kejayaan komersial; kesukaran dan kelewatan pembuatan; persaingan, termasuk kemajuan teknologi, produk dan paten baharu yang diperoleh pesaing; cabaran terhadap paten; keberkesanan produk atau kebimbangan keselamatan yang mengakibatkan produk ditarik balik atau tindakan badan kawal selia; perubahan tingkah laku dan corak perbelanjaan pembeli produk dan perkhidmatan penjagaan kesihatan; perubahan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, termasuk pembaharuan dalam penjagaan kesihatan global; dan trend terhadap pembendungan kos penjagaan kesihatan. Senarai dan keterangan lanjut tentang risiko-risiko, ketidakpastian dan faktor-faktor lain ini terdapat dalam Laporan Tahunan Johnson & Johnson pada Borang 10-K untuk tahun fiskal berakhir pada 3 Januari 2021, termasuk dalam bahagian yang bertajuk "Nota Peringatan Tentang Pernyataan Berpandangan ke Hadapan" dan "Item 1A. Faktor Risiko" serta dalam Laporan Suku Tahunan syarikat terkini yang difailkan pada Borang 10-Q dan pemfailan syarikat yang seterusnya dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Saham. Salinan pemfailan ini boleh didapati dalam talian di www.sec.gov, www.jnj.com atau atas permintaan daripada Johnson & Johnson. Janssen Pharmaceutical Companies atau Johnson & Johnson tidak bertanggungjawab untuk mengemas kini sebarang pernyataan berpandangan ke hadapan sebagai hasil maklumat atau peristiwa atau perkembangan masa hadapan yang baharu.

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/403394/Johnson_and_Johnson_Logo.jpg?p=medium600

 

 

Source: Johnson & Johnson
Related Stocks:
NYSE:JNJ
Related Links:
Keywords: Health Care/Hospital Infectious Disease Control Medical/Pharmaceuticals Pharmaceuticals Contracts