~ Langkah bagi menjadikan upGrad dan EyeWay sebagai peneraju yang menggabungkan realiti bercampur untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran para pelajar upGrad ~
MUMBAI, India and SAN JOSE, California, 14 April 2021 /PRNewswire/ -- upGrad, sebuah syarikat pendidikan tinggi dalam talian yang terbesar di Asia Selatan, serta EyeWay Vision hari ini mengumumkan jalinan kerjasama antara mereka yang meletakkan upGrad sebagai sebuah syarikat teknologi pendidikan India pertama yang menawarkan pengalaman pembelajaran dipacu AR yang dipertingkat. EyeWay Vision Ltd, sebuah syarikat Israel yang membangunkan platform realiti terimbuh yang inovatif dan boleh dipakai, akan menyampaikan realiti terimbuh (AR) imersif yang unik kepada pelajar upGrad.
Pasaran e-pembelajaran global ini dianggarkan bernilai USD144 bilion pada tahun 2019 dan diramalkan akan mencecah USD373.7 bilion menjelang tahun 2026, berdasarkan maklumat daripada firma penyelidikan pasaran, Facts and Factors. Pasaran untuk realiti maya dan terimbuh diramalkan akan mencecah lebih USD67 bilion di seluruh dunia menjelang tahun 2024, menurut firma penganalisis AR/VR, Digi-Capital. upGrad mempunyai lebih satu juta pelajar di lebih 50 buah negara dan telah mencatatkan kadar jangkaan pendapatan tahunan sebanyak USD165 juta untuk tahun fiskal 2021.
"Kerjasama dengan upGrad merupakan peluang terbaik untuk menerapkan teknologi AR EyeWay yang canggih bagi meningkatkan keseluruhan pengalaman pembelajaran yang julung-julung kalinya dicipta serta bersifat imersif dan bebas gangguan, demi memanfaatkan pembelajaran dalam talian bagi mencapai kadar penamatan kursus yang tinggi. AR EyeWay yang unik ini menggunakan teknologi pengesanan mata, unjuran retina secara langsung dan unjuran pemfokusan untuk menghasilkan peningkatan berganda dalam penggunaan visual. Ini dapat mengubah pasaran berbilion dolar seperti teknologi pendidikan apabila pengalaman visual yang sempurna dilihat sebagai ciri yang penting kepada nilai pengguna," ulas Dr. Nikhil Balram, Ketua Pegawai Eksekutif anak syarikat EyeWay Vision Inc. di Silicon Valley yang ditugaskan untuk membawa produk tersebut ke pasaran. Dr. Balram merupakan seorang pakar AR/VR yang terkenal, mantan ketua paparan di Google dan profesor adjung di Carnegie Mellon University, profesor jemputan di Indian Institute of Technology (IIT) di Gandhinagar, India dan bekas profesor pelawat di University of California, Berkeley.
Syarikat perintis AR Israel tersebut sedang membangunkan produk berasaskan teknologi AR imersif yang canggih, sekali gus mendayakan hiburan, pembelajaran digital, e-dagang dan aplikasi perusahaan yang lain dalam bentuk baharu yang imersif. Kedua-dua EyeWay Vision & & upGrad mempunyai visi yang sama, iaitu untuk mewujudkan pengalaman pembelajaran imersif yang dipertingkatkan dan boleh diakses oleh pelanggan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Ronnie Screwvala & Phalgun Kompalli, Pengasas Bersama upGrad, menyatakan dalam sebuah pernyataan bersama, "Di upGrad, kami mempercayai penyampaian teknologi terbaik dan terkini untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran para pelajar kami. Kerjasama dengan EyeWay Vision merupakan suatu langkah rintis yang sedang kami pertimbangkan dalam membangunkan persekitaran pembelajaran interaktif tiga dimensi yang terimbuh bagi memastikan pelajar sentiasa turut serta. Langkah ini bukan sahaja akan mengubah pasaran teknologi pendidikan secara besar-besaran malah akan menyumbang kepada visi kami untuk menjadikan pendidikan bertaraf dunia sebagai aliran utama."
Prototaip EyeWay Vision menawarkan rangkaian yang sangat dinamik, dengan julat kecerahan ultra terang daripada 20 ribu nits hingga kehitaman yang sangat rendah iaitu 0.1 nits, membolehkan penggunaan di dalam dan di luar bangunan dalam semua jenis pencahayaan. Ia menawarkan pelbagai rangkaian warna yang sangat luas (Rec 2020), resolusi retina, ruang pemandangan secara semula jadi yang luas dan fokus yang dinamik, menampilkan kandungan digital yang kaya dan semula jadi yang kelihatan benar-benar realistik. Prototaip ini dijangka tersedia pada suku keempat tahun 2021.
Jeremy Bailenson, Profesor VR di Stanford University, Pengarah yang mengasaskan Virtual Human Interaction Lab Stanford dan ahli Lembaga Penasihat EyeWay Vision menjelaskan, "Pandemik telah memberikan kita suatu pengajaran iaitu pembelajaran digital yang berfungsi dan ia akan terus berkekalan. Fasa seterusnya revolusi maya ini adalah untuk memanfaatkan lebih banyak teknologi imersif. Walaupun AR telah menunjukkan bahawa ia bakal menjadi alat yang luar biasa dalam pembelajaran, namun ia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan batasan yang ada dalam medan pemandangan, kecerahan dan rangkaian warna imej serta resolusi. Eyeway Vision telah mencipta sistem yang luar biasa untuk mengatasi cabaran-cabaran ini dan tiada yang seumpamanya dalam pasaran hari ini. Saya teruja untuk menantikan pembelajaran digital yang lebih imersif dan membantu Eyeway Vision menerajui bidang ini."
"Penggabungan teknologi AR ke dalam pembelajaran dalam talian merupakan suatu penerapan yang menarik yang mewujudkan pengalaman pembelajaran yang unik dan luar biasa kepada para pelajar yang terlibat dengan pembelajaran digital," ulas Anthony Rowe, Profesor Siewiorek and Walker Family, iaitu profesor dalam bidang kejuruteraan elektrik dan komputer di Carnegie Mellon University. "Kerjasama EyeWay dan upGrad membuka laluan ke arah pengalaman pembelajaran digital baharu yang mungkin menjadi teknik pembelajaran akan datang untuk pembelajaran dalam talian," sambung beliau.
Melalui kerjasama ini, upGrad akan memanfaatkan sistem EyeWay tersuai untuk meneroka perkembangan pengalaman pembelajaran dan program dalam talian yang dipertingkatkan AR. Pada peringkat yang lebih tinggi, EyeWay dan upGrad mungkin akan melibatkan rakan kongsi universiti untuk menyertai program perintis. Langkah ini akan menjadikan upGrad sebagai syarikat teknologi pendidikan India nombor satu dan salah sebuah syarikat global yang menggunakan realiti bercampur untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran dalam talian para pelajarnya. EyeWay kini sedang membangunkan prototaip pemakaian AR imersif di kepala. Prototaip ini akan digunakan untuk mendayakan pengalaman pembelajaran AR imersif yang akan terus dibangunkan oleh upGrad dan rakan kongsinya.
Tentang upGrad
upGrad ialah sebuah syarikat teknologi pendidikan tinggi dalam talian di Asia Selatan yang menawarkan lebih 100 jenis kursus dengan kerjasama universiti global terkemuka seperti Deakin Business School (Australia), Duke CE (AS), Michigan State University (AS), Liverpool Business School (UK), IIT Madras (India), IIM Kozhikode (India) dan banyak lagi. Peneraju teknologi pendidikan antarabangsa ini telah memberi impak kepada lebih 1 juta pelajar berdaftar di lebih 50 buah negara di seluruh dunia.
upGrad menduduki tempat Pertama dalam senarai Top StartupsIndia 2020 LinkedIn. Ini merupakan kali ketiga berturut-turut upGrad ditampilkan dalam senarai Top Startuplist LinkedIn selepas tahun 2018 dan 2019. Ia juga merupakan antara GSV Global EdTech 50 dan telah menduduki tempat ke-50 Terbaik dalam senarai Syarikat Pertumbuhan Tinggi Asia Pasifik FT 2021.
Untuk mengetahui lebih lanjut, sila layari: www.upgrad.com
Tentang EyeWay Vision
EyeWay Vision membangunkan sistem realiti terimbuh boleh dipakai yang inovatif dan memberikan pengalaman yang benar-benar imersif pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. EyeWay Vision Ltd. telah ditubuhkan pada tahun 2014 di Israel dan mengumpul dana sebanyak USD46 juta daripada pelabur strategik termasuk Samsung Next, Verizon Ventures, Horizons Ventures, ICONIQ Capital dan OurCrowd. Teknologi proprietari Eyeway dilindungi oleh 17 paten yang telah diterbitkan atau masih belum selesai. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang EyeWay Vision, sila layari http://eyeway-vision.com
Foto - https://mma.prnasia.com/media2/1486982/upgrad_eyeway_vision.jpg?p=medium600