omniture

Tinjauan Global oleh World Lupus Federation Terhadap Pesakit Lupus Mendapati Separuh daripada Responden Mengalami Kekurangan Akses kepada Penjagaan Kesihatan Semasa Pandemik COVID-19

World Lupus Federation
2021-04-22 07:00

Lebih satu pertiga responden yang menghidap lupus dalam tinjauan ini tidak dapat mengakses vaksin COVID-19 lebih awal daripada populasi awam

WASHINGTON, 22 April 2021 /PRNewswire/ -- Dalam sebuah tinjauan global baharu, lebih 6,100 pesakit yang menghidap lupus dari lebih 85 buah negara berkongsi pengalaman terkini mereka dalam menghadapi pandemik COVID-19 serta pandangan mereka terhadap vaksin COVID-19. Separuh (50%) daripada peserta tinjauan melaporkan akses yang berkurangan terhadap sekurang-kurangnya satu aspek penjagaan kesihatan lupus dalam tempoh tiga bulan yang lalu, termasuk kekurangan akses kepada doktor lupus/pakar reumatologi (36%), ujian perubatan (29%), infusi untuk rawatan lupus (24%) dan ubat-ubatan lupus (17%).

Tinjauan antarabangsa yang dijalankan oleh World Lupus Federation (Persekutuan Lupus Sedunia) ini seterusnya menggariskan keadaan yang menjejaskan pesakit yang menghidap lupus semasa pandemik COVID-19. Tinjauan ini juga mendapati bahawa 10% daripada mereka yang ditinjau telah dijangkiti COVID-19, melebihi purata kes yang disahkan secara global. Seterusnya, responden yang melaporkan kekurangan akses terhadap penjagaan kesihatan lupus juga lebih cenderung melaporkan komplikasi kesihatan yang berkaitan dengan lupus, termasuk lupus yang semakin menjadi-jadi dan kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan lupus.

"Pesakit lupus di seluruh dunia terus mengalami cabaran yang signifikan dan ini mengakibatkan keadaan kesihatan yang negatif dan serius yang berpunca daripada pandemik COVID-19. Terdapat banyak sebab terjadinya cabaran yang dikaitkan dengan akses penjagaan dan rawatan termasuklah penangguhan temu janji doktor berikutan ketakutan terhadap jangkitan COVID-19," kata Paul Howard, Ketua Pegawai Eksekutif LUPUS UK. "Akses kepada penjagaan khusus dan ubat-ubatan yang menjadi kebergantungan mereka adalah sangat penting bagi para pesakit lupus. Tanpanya, pesakit lupus boleh mengalami kesihatan yang memudaratkan malah perlu dimasukkan ke hospital."

Selain daripada isu-isu signifikan yang membabitkan akses penjagaan, tinjauan ini juga mendapati terdapat cabaran unik yang dihadapi oleh pesakit lupus yang berkaitan dengan vaksinasi COVID-19. Lebih satu pertiga daripada responden (35%) tidak dapat mengakses vaksin lebih awal daripada populasi awam di kawasan setempat, walaupun lupus boleh menyebabkan pesakitnya menghadapi risiko jangkitan yang lebih tinggi atau sistem imun yang lemah akibat kesan rawatan lupus yang mengganggu imuniti.

Tiga perempat daripada responden (75%) melaporkan kebimbangan tentang vaksin COVID-19, termasuk kesan sampingan yang mungkin ada pada vaksin (68%) dan interaksi vaksin terhadap lupus dan/atau ubat-ubatan lupus (61%).

"Pesakit lupus amat disyorkan untuk menerima vaksin COVID-19, namun terdapat pertimbangan yang perlu diambil kira," kata Karen H. Costenbader, MD, MPH, Pengarah Program Lupus di Hospital Wanita dan Brigham di Massachusetts, Amerika Syarikat. "Pesakit lupus harus membincangkan rancangan vaksin dengan doktor mereka untuk mengetahui sama ada rejimen rawatan semasa mereka boleh mempengaruhi tindak balas vaksin dan untuk memutuskan masa yang terbaik untuk pengambilannya. Ia merupakan suatu langkah tambahan yang perlu diambil oleh pesakit lupus dalam masa yang sukar ini ketika kita semua berusaha untuk 'kembali kepada keadaan normal' sedapat mungkin."

Klik di sini untuk melihat ringkasan laporan serta hasil tinjauan yang terperinci dan sertai kami pada 10 Mei ini ketika kami berusaha mewujudkan kesedaran tentang lupus di seluruh dunia untuk Hari Lupus Sedunia.

Tentang World Lupus Federation
World Lupus Federation (WLF) ialah gabungan organisasi pesakit lupus yang bersatu untuk meningkatkan kualiti kehidupan mereka yang terjejas oleh lupus. Melalui usaha yang diselaraskan dalam kalangan ahli gabungannya, Persekutuan ini berusaha untuk memperluas inisiatif global bagi mewujudkan kesedaran dan pemahaman yang lebih mendalam tentang lupus, menyediakan pendidikan dan perkhidmatan kepada individu yang menghidap penyakit ini serta berjuang bagi pihak mereka.

HUBUNGAN MEDIA
Mike Donnelly
Lupus Foundation of America
donnelly@lupus.org
(202) 349-1162

Logo - https://mma.prnasia.com/media2/1488983/World_Lupus_Federation_Logo.jpg?p=medium600

Source: World Lupus Federation
Keywords: Health Care/Hospital Survey, Polls & Research