omniture

Inisiatif Kelestarian dalam Pergigian, Persekutuan Pergigian Sedunia FDI menyatukan rakan industri pergigian yang prihatin terhadap alam sekitar di bawah satu tujuan

FDI World Dental Federation
2021-05-03 17:00 119

GENEVA, 3 Mei 2021 /PRNewswire/ -- Persekutuan Pergigian Sedunia (FDI) melancarkan inisiatif baharu hari ini dengan komitmen daripada empat rakan pengasas industri – Colgate, Dentsply-Sirona, GSK Consumer Healthcare dan TePe – untuk mengetuai inisiatif pergigian lestari.

Untuk dua tahun yang akan datang, FDI akan bekerjasama dengan rakan kongsi dan pihak berkepentingan utama yang lain bagi memetakan strategi dan melaksanakan penyelesaian yang dapat membantu mengurangkan impak pergigian dan industri tersebut terhadap alam sekitar. Hasil daripada inisiatif ini menjurus kepada penerbitan Kod Amalan Kelestarian FDI yang mengandungi garis panduan serta objektif untuk mencapai prosedur bekalan dan perolehan yang lestari, yang akan ditandatangani bersama oleh syarikat-syarikat yang terlibat di seluruh rantaian bekalan.

Kelestarian alam sekitar dalam pergigian melibatkan pelbagai aspek dan ramai pihak berkepentingan. Pelepasan CO2, penggunaan plastik, penghasilan sisa dan kesan alam sekitar yang lain merupakan cabaran utama di semua peringkat rantaian bekalan sumber pergigian dan khidmat penjagaan. Untuk mengurangkan impak profesion pergigian terhadap alam sekitar, ia memerlukan tindakan dan kerjasama daripada pelbagai pihak. Gabungan empat buah syarikat pengasas industri ini adalah antara pendekatan pro-aktif yang di ambil bagi menangani ancaman alam sekitar dan membangunkan penyelesaian yang berkesan.

Projek ini juga bakal melengkapkan doktor gigi dan pasukan mereka dengan kaedah dan sumber rujukan bagi membantu mereka meningkatkan kelestarian dalam amalan pergigian sambil memaklumkan orang ramai tentang peranan mereka dalam pergigian lestari melalui kesihatan mulut yang lebih baik dan membuat keputusan berasaskan maklumat.

"Saya gembira melihat projek Kelestarian dalam Pergigian FDI ini berkembang menjadi suatu inisiatif yang berkualiti tinggi dengan penglibatan ramai rakan industri bagi mencapai matlamat kelestarian kami dalam profesion pergigian," kata Presiden FDI, Dr. Gerhard K. Seeberger. "Permulaan projek yang sederhana untuk menggalakkan para profesional kesihatan oral dan pengamal pergigian 'memikirkan tentang alam sekitar', kini sedang menuju ke fasa kerjasama, tindakan dan keputusan sebenar."

Empat rakan pengasas industri memberikan ulasan mereka susulan pelancaran ini:

"Sebagai syarikat penjagaan oral utama di dunia dengan fokus untuk membangunkan jenama mengikut tujuan, kami teruja untuk membantu mencorakkan inisiatif Kelestarian dalam Pergigian FDI," kata Ann Tracy, Ketua Pegawai Kelestarian Colgate. "Kami ingin mengubah dunia ke arah masa depan yang lebih sihat dan lebih lestari untuk semua orang, haiwan peliharaan dan planet ini, selaras dengan matlamat kami."

"GSK Consumer Healthcare sedang berusaha membanteras masalah kesihatan oral yang boleh dicegah dan turut memperkasakan doktor gigi serta orang awam ke arah penjagaan gigi yang lebih baik dan lebih lestari," kata Sarah McDonald, Naib Presiden Kelestarian GSK Consumer Healthcare. "Kerjasama ini menyokong inisiatif tersebut serta komitmen kami yang luas dalam menangani jurang alam sekitar dengan kesihatan harian; kehidupan yang sihat hanya boleh didapati di planet yang sihat."

"Di Dentsply Sirona, kami amat berbangga menjadi anggota pengasas projek Kelestarian dalam Pergigian silang sektor yang baharu ini dengan kerjasama FDI," kata Don Casey, Ketua Pegawai Eksekutif Dentsply Sirona. "Sebagai sebuah syarikat, misi kami adalah untuk meningkatkan kesihatan oral di seluruh dunia dan kelestarian merupakan teras kepada strategi kami. Kami komited dalam membantu mewujudkan dunia yang lebih lestari untuk generasi akan datang dan menantikan kemajuan yang akan dicapai melalui inisiatif yang amat bermakna ini."

"Kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif Kelestarian dalam Pergigian ini," kata Helena Ossmer Thedius, Pengarah Pemasaran dan Inovasi TePe. "Kami ingin menyumbang kepada pembangunan yang positif dan masyarakat yang lebih lestari. Usaha ke arah penyelesaian kitar semula dan lestari dalam pergigian merupakan suatu misi yang penting dan kami percaya bahawa kami perlu bekerjasama untuk mencapai kejayaan dan menghasilkan impak sebenar."

Tentang Persekutuan Pergigian Sedunia FDI

FDI ialah badan perwakilan utama untuk lebih satu juta doktor gigi di seluruh dunia, dengan wawasan untuk memimpin dunia ke arah kesihatan oral yang optimum. Keahliannya terdiri daripada 200 ahli persatuan kebangsaan dan kumpulan pakar di lebih 130 buah negara. www.fdiworlddental.org

Tentang projek Kelestarian dalam Pergigian 

Projek Kelestarian dalam Pergigian FDI diasaskan untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada komitmen untuk mengurangkan jejak CO2 dalam pergigian terutama dalam kalangan pengamal, pesakit dan rantaian bekalan sektor tersebut. Projek ini akan menghasilkan suatu siri kaedah dan sumber rujukan untuk pengamal pergigian dan para pesakit bagi mencapai kelestarian alam sekitar yang lebih baik. Melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, projek ini akan membentuk Pernyataan Konsensus yang menggariskan impak pergigian terhadap alam sekitar. Ini akan membentuk asas Kemuncak Konsensus dan menghasilkan Kod Amalan Baik yang mengandungi garis panduan serta objektif untuk mencapai prosedur bekalan dan perolehan yang lestari. Dokumen ini akan ditandatangani bersama oleh syarikat yang terlibat di seluruh rantaian bekalan. Penandatangan baharu digalakkan untuk menandatangani dokumen tersebut dan komited terhadap masa depan yang lebih lestari.

Empat rakan pengasas dalam projek Kelestarian dalam Pergigian ini ialah Colgate, GSK Consumer Healthcare, Dentsply Sirona dan TePe.

Hubungan Media: 

Charanjit Jagait, Pengarah Sokongan dan Komunikasi FDI
E-mel: cjagait@fdiworlddental.org; Tel: +41 79 796 76 13

Source: FDI World Dental Federation
Keywords: Dentistry Environmental Products & Services Green Technology Health Care/Hospital Medical Equipment Medical/Pharmaceuticals New products/services