-- "Angka dagangan yang memberangsangkan menunjukkan pertumbuhan mapan kini kembali"
GUANGZHOU, China, 17 Mei, 2013 /PRNewswire/ -- Angka yang dikeluarkan daripada sesi musim bunga Pesta Canton, yang berakhir pada 5hb Mei, menunjukkan bahawa kejayaan acara dagangan China paling berprestij melebihi jangkaan pasaran. Sesi ke-113 Pesta tersebut mengalu-alukan kedatangan hampir 200,000 orang pembeli luar negara, peningkatan sehingga 7 peratus berbanding sesi sebelumnya. Nilai dagangan urus niaga yang berlangsung di sepanjang acara yang diadakan dwi-tahunan itu mencecah US$ 35.5 bilion, peningkatan hampir 9 peratus berbanding sesi sebelumnya.
Para pakar bersetuju bahawa statistik yang memberangsangkan ini menunjukkan kemajuan konsisten dalam situasi dagangan tahun ini. Dagangan asing China meningkat sebanyak 13.4 peratus dalam suku pertama tahun 2013 berbanding suku pertama tahun sebelumnya, dengan nilai eksport meningkat sebanyak 18.4 peratus.
"Tahun lepas adalah tahun paling sukar kepada pengeksport China," kata Liu Jianjun, jurucakap Pesta Canton dan timbalan pengarah Pusat Dagangan Asing China.
"Ketika ekonomi China mula pulih, pengeksport rata-rata bersetuju bahawa situasi akan bertambah baik dalam tahun 2013 daripada segi peningkatan pesanan dari luar negara."
Pesta Canton terkini ini menekankan kepentingan pasaran yang sedang membangun untuk mengekalkan dagangan yang lebih baik. Dibandingkan dengan Pesta Canton ke-112, bilangan pembeli Afrika yang menghadiri acara itu meningkat sehingga 30 peratus, sementara bilangan pembeli Oceania meningkat sebanyak 15 peratus. Nilai urus niaga yang ditandatangani dengan negara-negara BRIC, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Timur Tengah dan Jepun semuanya menunjukkan peningkatan.
Ramai pengeksport China yang menghadiri Pesta itu berasa teruja dengan angka ini. Zheng Yi, pengurus besar Guangzhou Chaofan Leather berkata bahawa jualan syarikat itu dalam pasaran antarabangsa meningkat lebih daripada 20 peratus dalam suku pertama tahun ini berbanding suku pertama tahun sebelumnya.
"Sekarang kami sibuk mengilangkan produk pesanan luar negara dari sesi terakhir Pesta Canton ini," komen Zheng. "Pertumbuhan mapan ini adalah hasil tumpuan usaha kami untuk mengeluarkan jenama khusus yang menepati keperluan permintaan daripada pasaran asing."
Sementara masih mementingkan kualiti jenama dan persaingan, Pesta Canton juga menggalakkan inovasi. Dibandingkan dengan sesi-sesi sebelumnya, salah satu perkara yang menonjol di acara ini adalah kawasan pameran rekaan produk yang mengalami 73 peratus peningkatan.
Sambil dunia menjangkakan tahun yang lebih positif untuk dagangan, Pesta Canton akan terus bertindak sebagai enjin pertumbuhan mapan. Para penganjur, pembeli dan syarikat-syarikat kini menanti-nantikan sesi seterusnya yang akan diadakan pada musim luruh.
Untuk maklumat lanjut, sila lawati: http://www.cantonfair.org.cn/en/index.asp