omniture

Pernyataan - Pernyataan Bersama oleh Menteri Lametti dan Menteri Bennett tentang Dewan Senat Meluluskan Rang Undang-Undang C-15 iaitu Akta yang Menghormati Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Hak Orang Asli

Department of Justice Canada
2021-06-17 19:30 0

OTTAWA, Ontario, 17 Jun 2021 /PRNewswire/ -- Yang Berhormat David Lametti, Menteri Kehakiman dan Peguam Negara Kanada serta Yang Berhormat Carolyn Bennett, Menteri Perhubungan Raja-Orang Asli, hari ini telah mengeluarkan pernyataan berikut:

"Kami berasa amat gembira kerana Dewan Senat telah meluluskan Rang Undang-Undang C-15, Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Akta Hak Orang Asli. Kami kini sedang menunggu Perkenan Diraja.

"Hari ini merupakan satu langkah penting dalam mengiktiraf, mempromosi, melindungi dan menegakkan hak asasi manusia bagi Orang Asli di Kanada. Ia menandakan satu lagi langkah ke hadapan yang penting dalam sejarah hubungan Raja-Orang Asli yang akan membantu menjalin hubungan yang lebih kukuh dan menyokong usaha ke arah penentuan nasib sendiri Bangsa-Bangsa Pertama, Inuit dan Métis sambil mengambil tindakan untuk bersama-sama meningkatkan perdamaian.

"Pelaksanaan Deklarasi ini melalui Rang Undang-Undang C-15 merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk menangani ketidakadilan, memerangi prejudis dan menghapuskan semua bentuk keganasan, perkauman dan diskriminasi yang merangkumi perkauman dan diskriminasi sistemik terhadap Orang Asli.

"Undang-undang ini akan memerlukan Kerajaan Kanada untuk mengkaji undang-undang, dasar dan amalan persekutuan serta mengambil semua langkah dalam perundingan dan kerjasama dengan Orang Asli bagi memastikan konsistensi dengan Deklarasi tersebut. Ia menyediakan asas bagi perubahan transformasi dalam hubungan Kanada dengan Orang Asli. 

"Undang-undang ini akan melengkapkan lain-lain inisiatif di seluruh Kanada dengan rakan Orang Asli untuk menutup jurang sosio-ekonomi, meningkatkan perdamaian serta memperbaharui hubungan berdasarkan pengesahan terhadap hak, penghormatan, kerjasama dan perkongsian.  

"Usaha untuk merungkai dasar kolonial yang berabad-abad lamanya ini adalah amat mendesak. Penemuan mengerikan kubur yang tidak bertanda di bekas Sekolah Kediaman India Kamloops serta kubur lain yang mungkin wujud merupakan satu lagi peringatan tentang kebenaran tersebut. Pengalaman menyakitkan yang dialami oleh masyarakat dan ahli keluarga Bangsa-Bangsa Pertama, Inuit dan Métis adalah benar dan berterusan serta mesti ditangani.

"Melalui Seruan untuk Bertindak 43 dan 44, Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian menyeru semua peringkat kerajaan untuk melaksanakan Deklarasi ini sebagai rangka kerja bagi perdamaian dan membangunkan pelan, strategi dan langkah-langkah tindakan yang kukuh bagi mencapai matlamatnya.

"Bersama-sama, kita mesti terus berusaha ke arah perdamaian untuk memastikan bahawa hak, bahasa, budaya dan identiti semua Orang Asli diiktiraf, diberi penghargaan dan dihormati. Rang Undang-Undang C-15 menyediakan rangka kerja untuk kerajaan persekutuan memajukan kerjasama dengan Orang Asli bagi manfaat semua rakyat Kanada."  

Pautan Berkaitan

Untuk maklumat lanjut, pihak media boleh menghubungi: Chantalle Aubertin, Setiausaha Akhbar, Pejabat Menteri Kehakiman dan Peguam Negara Kanada, 613-992-6568; Perhubungan Media: Jabatan Kehakiman Kanada, 613-957-4207, media@justice.gc.ca; Ani Dergalstanian, Setiausaha Akhbar dan Penasihat Komunikasi, Pejabat Yang Berhormat Carolyn Bennett, Menteri Perhubungan Raja-Orang Asli, 819-997-0002; Perhubungan Media: Perhubungan Raja-Orang Asli dan Hal Ehwal Utara Kanada, 819-934-2302, RCAANC.media.CIRNAC@canada.ca

Source: Department of Justice Canada
Related Links:
Keywords: Native American Canadian Federal Government Legal Services Public Interest