-- Syarikat Kecantikan Global Mengesahkan Pemerolehan StarAsia
NEW YORK, 23 Mei 2013 /PRNewswire/ -- Coty Inc., peneraju kecantikan global yang kian meningkat, dengan sukacitanya mengumumkan persetujuannya untuk memperoleh StarAsia, sebuah pengedar produk kecantikan mantap di pasaran Asia Tenggara (Kemboja, Hong Kong, Indonesia, Malaysia, Singapura, Taiwan dan Vietnam) daripada syarikat induknya, Isibane Pte. Ltd. Urus niaga ini dijangka akan dimuktamadkan pada bulan Julai 2013.
"Pemerolehan StarAsia akan memberi kami platform pengedaran yang mantap untuk menjual jenama massa kami di pasaran membangun yang utama di rantau Asia Tenggara," jelas En. Michele Scannavini, CEO Coty Inc. "Kami tidak sabar untuk menerima organisasi StarAsia sebagai sebahagian daripada keluarga Coty, dan saya yakin bahawa pasukan berbakat di syarikat ini akan dapat menyesuaikan diri dengan baik di Coty."
Berikutan selesainya pengambilalihan, pasukan pengurusan StarAsia yang sedia ada akan terus menyumbang kepada pembangunan perniagaan Coty di rantau ini.
"StarAsia telah berjaya membina platform serantau yang unggul, dengan operasi di tujuh negara di Asia serta rekod prestasi pertumbuhan yang teguh," ujar En. Noe Saglio, CEO StarAsia. "Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Coty, setelah menjadi rakan niaga mereka selama lebih 10 tahun. Organisasi berbilang budaya kami menggabungkan pengalaman antarabangsa dengan pengetahuan setempat, dan kami berharap untuk terus membina kedudukan kami sebagai peneraju pasaran di bawah Coty."
Untuk maklumat lengkap mengenai semua jenama Coty, sila kunjungi www.coty.com.
Perihal Coty Inc.
Coty adalah peneraju yang kian meningkat dalam bidang kecantikan global dengan hasil bersih berjumlah $4.6 bilion bagi tahun fiskal berakhir 30 Jun 2012. Coty ditubuhkan di Paris pada tahun 1904 dan merupakan syarikat kecantikan khusus dengan portfolio wangian terkenal, kosmetik warna dan produk penjagaan kulit & badan yang dijual di lebih 130 negara dan wilayah. Produk Coty menawarkan pelbagai jenama global seperti adidas, Calvin Klein, Chloé, Davidoff, Marc Jacobs, OPI, philosophy, Playboy, Rimmel dan Sally Hansen.
Untuk maklumat lanjut mengenai Coty Inc., sila kunjungi www.coty.com
Perihal StarAsia
Ditubuhkan pada tahun 2001, StarAsia Group adalah pengedar bebas serantau utama bagi jenama FMCG (barangan pengguna laris) Dandanan Peribadi dan Kecantikan dalam Wangian & Produk Dandanan Diri serta Kosmetik & Penjagaan Kulit. Kumpulan ini bertapak di tujuh pasaran Asia dan mempunyai capaian kepada lebih 30,000 gedung di seluruh Asia. Prinsipal StarAsia termasuk Coty, P&G, L'Oreal, Clio, Marc Anthony.